Saturday, May 9, 2009

Wajarkah Dibimbangi Wanita Ke Universiti, Lelaki Ke Pusat Serenti?

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,


Kecemerlangan wanita dalam bidang akademik sebenarnya adalah satu fakta yang dipandang positif. Pada masa kini, dua orang Naib Canselor dua buah universiti terkemuka tanahair iaitu Datuk Rafiah Salim di Universiti Malaya (UM) dan Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah kaum wanita. Kejayaan Nur Amalina Che Bakri merangkul 17 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2004 telah mencetuskan satu lagi fenomena untuk lebih ramai pelajar termasuk lelaki mengumpul sebanyak A yang boleh dicapai. Pendeknya, pencapaian cemerlang wanita telah terbukti sementelah baru-baru ini, 64.5 peratus kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2008/2009didominasi oleh golongan hawa ini.

Apa yang menjadi persoalan ialah kecerdikan wanita ini seringkali dipandang negatif iaitu mereka dianggap bakal mengambil-alih bidang tugas sekaligus menguasai peranan dan tanggungjawab apabila terjun dalam bidang pekerjaan yang lazimnya didominasi kaum Adam. Masyarakat yang terbius dengan pemikiran sekuler-kapitalis beranggapan begini kerana beranggapan menuntut ilmu hanya untuk meraih manfaat dunia semata-mata sedangkan menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap Muslim lelaki dan wanita. Penerapan Islam kaffah telah melahirkan wanita-wanita hebat yang banyak menyumbang demi untuk Islam. Saidatina A'isyah, seorang wanita yang duduk di sisi Rasulullah bukan hanya sebagai isteri tetapi turut peranan salah seorang Ummul Muminin radiallahuanha yang menjadi pakar rujuk kepada para sahabat yang mana Rasulullah bersabda: Ambillah setengah pengetahuan agama kalian dari al-Humaira.

Alhamdulillah, Fikratul Ummah kali ini akan menyinggung isu yang lahir dari salah-faham natijah kecerdikan wanita yang dianggap bertentangan dengan stigma wanita kurang akal dan banyak nafsu sebagaimana yang difahami banyak pihak. Selain itu, apa yang perlu difahami hasil dari hadis Nabi yang menyebut wanita sebagai kurang agama iaitu sewaktu mereka dalam keadaan haid bukanlah bermakna ianya satu faktor untuk mendiskredit keupayaaan mereka.Hakikatnya, sungguhpun dalam keadaan haid, wanita yang menjalankan tugas dan kewajipannya sesuai dengan hukum syarak tetap beroleh pahala. Fakta ini juga menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggap pahala hanya diraih hasil amalan ibadah khusus semata-mata.

Disamping dua artikel tentang kecemerlangan wanita dalam bidang akademik serta penjelasan tentang tanggapan negatif berkenaan kurangnya akal wanita dan banyaknya nafsu mereka, Fikratul Ummah juga akan memaparkan satu artikel tentang Palestin, bumi anbiya' yang pernah dibebaskan oleh Salahuddin Al-Ayubi dari tangan Tentera Salib iaitu 60 Tahun Mimpi Ngeri Palestin. Harapan kami agar artikel ini akan membuka minda dan pemikiran kita keluar dari kepompong assobiyyah dan wathaniyyah yang mana virus kejamnya berjaya memisahkan kesatuan umat Islam dan melalaikan mereka dari memikirkan masalah akar yang menjadi dalang penyelesaian total untuk
masalah ini.

Waallahu 'alam bissawab.

==============================================================================




Di Malaysia, akhir bulan Jun dan awal bulan Julai adalah musim di mana pelajar baru mendaftar untuk memasuki sama ada Institusi Pengajian Tinggi Awam atau swasta. Jika di perhatikan pada waktu inilah ibu bapa juga sibuk menyiapkan barang-barang keperluan asrama untuk anak-anak mereka yang bakal menjadi graduan apabila selesai belajar nanti. Harapan yang tinggi disandarkan pada anak-anak agar suatu hari nanti anak-anak mereka akan mendapat pekerjaan yang baik dan mereka dapat menumpang senang. Para pelajar pula cuba belajar bersungguh-sungguh dengan harapan setelah tamat pengajian mereka akan mendapat kerja yang dapat menjamin kesenangan hidup mereka. Ini adalah fenomena biasa setiap tahun yang dialami oleh rakyat Malaysia. Tetapi yang menjadi isu yang ingin dikupas disini adalah bilangan pelajar wanita yang setiap tahun mengatasi bilangan pelajar yang mendaftar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Saban tahun juga isu ini akan terpampang di dada-dada akhbar dan kadangkala menjadi tajuk perbahasan di Parlimen. Maka timbullah persoalan-persoalan kenapa pelajar lelaki semakin pupus di IPT, ke mana menghilangnya pelajar lelaki dan ada yang dengan sinis menjawab bahawa semua pelajar lelaki bertumpu ke Pusat Serenti.

Statistik kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009. Fenomena ini meresahkan banyak pihak termasuk pakar dalam dasar kepimpinan iaitu Prof Madya Dr Azahari Ismail. Menurut beliau, fenomena kepupusan itu akan memberi implikasi besar kepada agama, sosio-ekonomi dan psikologi masyarakat, khususnya institusi keluarga, kerana lazimnya lelaki adalah ketua keluarga. Selain itu kejayaan seseorang itu bergantung kepada pendidikan dan jikalau bapa itu tiada pendidikan bermakna institusi keluarga akan hancur. [BERNAMA, 24/06/08]. Berlainan pula pendapat pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nazarudin Zainun yang berpendapat bahawa sejauh mana penguasaan pelajar wanita di IPT mengancam sosio dan budaya masyarakat seperti yang digembar-gemburkan ketika ini bergantung kepada persepsi orang yang menilai. Beliau bagaimanapun secara peribadi berpendapat, tidak ada salahnya negara mempunyai lebih ramai kaum wanita yang berpelajaran tinggi kerana fitrahnya, golongan inilah juga yang akan melahirkan dan membesarkan generasi masa depan yang juga berpendidikan. [UM 18/06/08].

Meningkatnya bilangan pelajar wanita di IPT ketika ini seperti yang dipersetujui banyak pihak turut berpunca daripada konsep pendidikan terutamanya di peringkat IPT seperti yang diamalkan di negara ini. Berorientasikan peperiksaan yang memerlukan ketekunan dan semangat mengulang kaji pelajaran yang tinggi, konsep pendidikan sebegitu perlu diakui memberi kelebihan kepada pelajar perempuan. Pelajar lelaki pula tidak ramai yang ulat buku, sebaliknya lebih selesa mengembangkan bakat dan kemahiran diri secara praktikal. Ini sekali gus menjelaskan mengapa golongan ini lebih ramai di kolej komuniti seperti di Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Mara (IKM), biarpun sebenarnya berkelayakan melanjutkan pelajaran di IPT.

Sesungguhnya di dalam Islam, mencari ilmu itu amat dituntut dan menentukan taraf seseorang itu disisi Allah. Di dalam al-Quran al-Karim terdapat banyak sekali ayat-ayat yang menunjukkan keutamaan ilmu pengetahuan itu. Antaranya ialah:

“Allah telah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia jua, begitu pula para Malaikat dan para ahli ilmu pengetahuan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan.”[TMQ Ali-Imran(3): 18]

Perhatikanlah pada ayat yang di atas itu, bagaimana Allah Subhanahu wa Taala telah memulakan penyaksian itu dengan diriNya sendiri, keduanya dengan para Malaikat dan sesudah itu dengan para ahli ilmu pengetahuan. Itu saja sudah cukup untuk membuktikan, betapa tingginya keutamaan ilmu pengetahuan dan kelebihannya.

Allah berfirman pula:

“Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan begitu pula orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
[TMQ Al-Mujadalah(58): 11]

“Katakanlah: Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu pengetahuan.” [TMQ Az-Zumar(39): 9]

Sabda Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Salam :

“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah Subhanahu Wa Taala akan melorongkan baginya jalan ke syurga.”[HR:Muslim]

“........dan pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan baik dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik daripada solat seribu rakaat. ”[HR:Ibnu Majah]


“Menuntut ilmu adalah wajib di atas setiap orang Muslim ”[HR:Ibnu Majah]


Sesungguhnya kefardhuan menuntut ilmu itu sudah tidak dapat dipertikaikan lagi. Tetapi adakah itu yang menjadi keutamaan dalam mencari ilmu sekarang? Cuba kita tanyakan kepada pelajar-pelajar di IPT mengapa mereka belajar. Kebanyakkan daripada mereka belajar adalah untuk mendapatkan kerja yang baik, bukannya kerana kewajipan menuntut ilmu itu. Dalam minda masyarakat sekarang ialah ‘kamu mesti belajar untuk mendapatkan kerja yang dapat menjadikan kamu hidup senang lenang’. Persepsi ini wajib dibuang dari minda masyarakat sekarang. Sepatutnya peluang pekerjaan itu disediakan oleh negara supaya keperluan asas rakyatnya terpelihara. Oleh itu tidak timbullah isu sukar mendapatkan pekerjaan selepas tamat belajar, kerana ianya telah dijamin oleh negara (pemerintah). Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Sallam bersabda yang bermaksud: “Imam (pemimpim) itu adalah pemelihara, dan dia akan dipertanggungjawabkan dari apa yang dipeliharanya yakni rakyatnya” [HR Bukhari]

Dalam hadith lain riwayat Imam Bukhari disebutkan bahawa ada seseorang yang mencari Rasullullah dengan harapan Rasulullah akan memberi penyelesaian akan masalah yang dihadapinya. Dia adalah seorang pengganggur yang tidak mempunyai sumber pendapatan dan tidak mampu memenuhi keperluan utamanya. Kemudian Rasulullah memanggilnya. Baginda menggenggam sebilah kapak dan sepotong kayu yang diambil sendiri oleh baginda. Kemudian baginda menyerahkan kepada orang tersebut. Baginda perintahkan kepadanya agar ia pergi ke suatu tempat yang telah baginda tentukan agar dia bekerja di sana dan kembali untuk memberitahu tentang keadaanya. Setelah beberapa waktu, orang itu mendatangi Rasulullah sambil mengucapkan rasa terima kasih kepada baginda atas bantuannya. Dia lalu menceritakan tentang kesenangan yang kini dikecapinya.

Satu ketika, Amirul Mukminin, Umar al-Khattab memasuki masjid di luar waktu sembahyang. Didapati ada dua orang yang sedang berdoa kepada Allah Subhanahu wa Taala. Umar Radhiallahu Anhu lalu bertanya: “Apa yang sedang kalian lakukan, sedangkan orang di sana kini sedang sibuk bekerja?”

Mereka menjawab: “Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bertawakal kepada Allah.”

(Mendengar jawapan itu), maka marahlah Umar Radhiallahu Anhu sambil berkata: “Kalian adalah orang-orang yang malas bekerja, padahal kalian tahu bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas dan perak.”

Kemudian Umar Radhiallahu Anhu mengusir mereka dari masjid setelah memberi mereka sebakul biji benih. Beliau mengatakan kepada mereka: “Tanamlah dan bertawakallah kepada Allah.”

Dari sini Imam al-Ghazali menyatakan bahawa wajib atas pemerintah memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada orang yang mencari kerja. Menyediakan kerja adalah kewajipan negara dan merupakan sebahagian dari tanggungjawabnya terhadap pemeliharaan dan pengaturan urusan umat. Itulah kewajiban yang telah ditetapkan oleh syara’ dan telah diterapkan oleh para pemimpin Daulah Islamiyyah terutama di masa kejayaan dan kecemerlangan penerapan Islam dalam kehidupan.

Kewajipan menuntut ilmu itu bukanlah hanya terhad kepada ilmu-ilmu akhirat sahaja. Islam mewajibkan kita menuntut ilmu-ilmu dunia yang bermanfaat dan berguna untuk kita dalam hal-hal yang berhubung-kait dengan kehidupan di dunia agar setiap muslim tidak ketinggalan dan dapat mengikuti perkembangan ilmu pengetahuan yang dapat memberi kemajuan kepada penghuni dunia dalam batas-batas yang dibenarkan syarak sebagaimana hadis Nabi: “Barangsiapa yang menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah dia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan bahagia) di akhirat, wajiblah dia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah dia memiliki ilmu kedua-duanya pula” [HR Bukhari dan Muslim].


Ilmu-ilmu dunia yang dimaksudkan itu termasuk ilmu-ilmu praktikal atau amali yang kebanyakkan dipelajari oleh kaum lelaki. Ini bukan bermakna wanita itu tidak diberi peluang untuk menceburi bidang yang sama dengan lelaki, tetapi pekerjaan bagi wanita hendaklah sesuai dengan fitrah wanita itu dan tidak ada hukum syarak yang dilanggar semasa menjalankan tugasnya. Isu gender ini seringkali menjadi perdebatan bagi mereka yang tidak memahami dengan jelas kenapa wanita ini berbeza dengan lelaki dari segi zahir dan batin. Sebagai contoh adakah wanita sesuai menjadi tentera, jurutera pelantar minyak serta kerja-kerja yang melibatkan penggunaan fizikal. Secara logik akal, memang terdapat wanita yang mempunyai kekuatan fizikal seperti lelaki. Tetapi adakah wanita dibenarkan bercampur bebas dengan golongan lelaki dalam suatu tempat dan adakah aurat wanita itu dapat dijaga jika dia melakukan aktiviti fizikal yang lasak? Selain itu, isu penting yang mesti difahami oleh semua umat Islam ialah kaum wanita, walau setinggi mana pun ilmu yang berjaya diraihnya, wanita tidak wajib bekerja selagi ada suami dan wali yang mampu menanggungnya. Ini berbeza dengan lelaki yang dibebankan tanggungjawab menyara keluarga.

“Kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf.” [TMQ Al-Baqarah [2]: 233].

Sebenarnya Islam memandang kedudukan lelaki dan wanita adalah sama, sekalipun dalam keadaan tertentu mereka diperlakukan berbeza. Mereka (lelaki dan wanita) adalah sama dilihat dari sudut insaniahnya kerana masing-masing memiliki akal, naluri-naluri (ghara’iz) dan keperluan jasmani (hajat al-udhuwiyyah). Akan tetapi mereka berbeza dilihat daripada jenisnya dengan pengkhususan masing-masing yang memang menyebabkan keduanya diberi aturan-aturan yang berbeza. Apalagi dalam Islam kemuliaan tidak dilihat dari jenis jantina, atau kedudukan, tetapi dilihat dari ketakwaannya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” [TMQ:Al-Hujurat (49):13].

Oleh yang demikian kepupusan pelajar lelaki di IPT adalah bukan satu isu besar yang mengancam kedudukan sosio budaya masyarakat di Malaysia. Malah ia timbul akibat dari pelbagai faktor yang saling berkait antara satu sama lain. Apa yang utama adalah tugas negara untuk memastikan bahawa semua rakyatnya mendapat pendidikan yang sempurna tidak kira sama ada mereka itu tua atau muda, lelaki ataupun wanita. Pendidikan itu pula bukanlah satu alasan untuk menimbulkan kebimbangan bahawa kaum wanita akan mengambil bidang pekerjaan yang secara lazimnya dimonopoli kaum Adam, sebaliknya pendidikan itu adalah untuk melahirkan manusia berilmu yang bukan sahaja untuk mengejar kesenangan dunia tetapi keredhaan Allah di akhirat.

Walaubagaimanapun, untuk memastikan bahawa rakyatnya berpendidikan, antara faktornya ialah kewujudan pemerintah yang menjalankan sistem pemerintahan Islam iaitu sistem khilafah. Sistem khilafah ini jika dilaksanakan sudah pasti akan memberi pendidikan kepada semua gender tanpa mengira bangsa dan agama. Sudah pasti, semua ini akan hanya dinikmati di dalam sebuah Negara Islam yang hakiki.

1 comment:

  1. ASALAMUALAIKUM
    Kerana majorotinya masarakat melayu 2day berfikiran PURBA/SESAT/TAHYUL spt awk lah bangsa melayu jd spt hari ni. Sye pasti tdk ada seorang melayu pun yg mampu menerima tanggapan sye pd awk. sYE BERUMUR 40 TH sekolah skadar mampu membce dan menulis/ DAN SAYA BUTA/PEKAK/BISU berugama tauhid / sye menyembah tuhan yg nabi ibrahim sembah dan tuhan yg nabi muhamad saw sembah- SESUNGGUHNYA SYE PUNYA FORMULA YG JELAS PASTI BGAIMNE NK MENYELESAIKAN MASALAH BANGSA AWK YG SEMAKIN HARI SEMAKIN HANCUR SECARA TOTAL/ emel sye ( johor@mail.com -- kingsjohor@gmail.com tq

    ReplyDelete