Saturday, May 9, 2009

Feminisme dan Peranan Politik Wanita Dalam Islam





Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,




Kejatuhan Daulah Islamiyyah pada tanggal 3 Mac 1924 iaitu 84 tahun lalu tidak hanya menyebabkan hukum-hakam Islam lebih ditumpukan kepada aktiviti ruhiyah semata-mata, akan tetapi kejayaan Kuffar-Barat membunuh satu-satunya kekuatan umat Islam di seluruh dunia iaitu Khilafah turut menyebab mereka semakin hari semakin jauh dari deen yang mulia ini. Pada masa yang sama, jarum-jarum serta virus sekuler-kapitalis semakin rancak menyerang pemikiran umat Islam sehingga menyebabkan mereka tidak memahami ajaran Islam dan mengagungkan pemikiran Kuffar-Barat. Satu aspek penting yang sering menjadi bahan untuk mereka iaitu musuh-musuh Islam menyerang Islam ialah penglibatan wanita dalam berpolitik dan pemerintahan. Apabila kaum Hawa dinafikan hak untuk terlibat dalam politik, pihak Kuffar-Barat menganggap Islam adalah agama yang zalim dan menindas golongan wanita. Justeru, langkah-langkah yang diambil untuk memastikan Islam dianggap kejam terhadap kaum yang dianggap lemah ini adalah memasukkan isu-isu malar segar (evergreen) seperti feminisme dan kesetaraan gender dalam bidang politik. Malah, penglibatan wanita-wanita Islam dalam politik seperti menang pilihanraya dalam sistem demokrasi dianggap satu titik tolak ke arah memartabatkan kaum ini dan memperjuangkan nasib mereka agar setaraf dengan kaum lelaki dalam semua aspek kehidupan yang selama ini dimonopoli kaum Adam.

Alhamdulillah, kali ini Fikratul Ummah akan mengangkat dua tajuk iaitu "Tangan-tangan yang Menggoncang Dunia" dan "Feminisme dan Peranan Politik Wanita dalam Islam". Harapannya tiada lain iaitu supaya umat Islam akan dapat memahami bahawa kaum wanita mampu menggoncang dunia dengan meneladani perjuangan wanita-wanita di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat radiallahu anhum tanpa perlu terjun dalam politik hasil 'air tangan' sistem demokrasi. Disamping itu, memahami peranan politik wanita dalam Islam akan memberi kita kefahaman bahawasanya penglibatan wanita dalam politik bukan sebagaimana definisi politik menurut sistem sekuler-kapitalis. Artikel ini juga sarat dengan penjelasan berkenaan hadis riwayat Abu Bakrah radiallahu anhu yang sering digunakan golongan orientalis dan Islam moderat/liberal untuk menghalalkan wanita menjawat jawatan dalam pemerintahan negara. Semuga ia membantu memantapkan fikrah Islam dengan dalil dan nas yang sahih seterusnya menjadikan rujukan kepada umat untuk memahami isu wanita, feminisme, kesetaraan gender dan peranan wanita dalam politik sebagaimana yang digariskan oleh hukum syarak.

Wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

============================================================================





Feminisme dan Peranan Politik Wanita Dalam Islam


Gerakan feminisme di Malaysia sangat dipengaruhi oleh gerakan feminisme Barat yang lebih bermotif reformasi sosial dan politik golongan wanita. Gerakan ini mengeksploitasi pelbagai bentuk isu dalam masyarakat seperti kemiskinan, keadilan sosial dan merintis pemodenan. Mereka menjadikan isu kesetaraan jantina sebagai landasan perjuangan mereka. Oleh kerana itu, untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat, perlu wujud kesetaraan peranan antara wanita dan lelaki dalam segala bidang termasuk politik.

Peranan wanita Malaysia dalam dunia politik bermula dengan Halimaton Saadiah yang bertanding dalam pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1955. Perlantikan Fatimah Haji Hashim sebagai Menteri Kebajikan Am pada 20 Mei 1969 semakin menyemarakkan penglibatan wanita dalam politik negara. Beliau yang memegang jawatan menteri dari tahun 1969 sehingga tahun 1973 merupakan satu-satunya menteri wanita pada masa itu. Setelah masa beliau, jumlah perempuan dalam parlimen semakin meningkat. Bagaimanapun, penglibatan kedua-dua tokoh wanita di atas dalam dunia politik telah memicu para wanita untuk mengikuti jejak langkahnya hingga pilihan raya tahun ini. Wanita Malaysia terus melakar sejarah setelah berjaya merebut 24 kerusi parlimen dalam Pilihanraya Umum 8 Mac 2008 yang merupakan 10.81 % daripada 222jumlah kerusi parlimen yang dipertandingkan, manakala sejumlah 40 kerusi dewan undangan negeri (DUN) atau 7.92% dari 505 kerusi Dun telah berjaya ditawan.

Meskipun jumlah wanita yang berjaya menembusi tembok parlimen belum memenuhi kuota minima 30% seperti yang diharapkan, The Joint Action Group for Gender Equality (JAG) percaya bahawa dalam jangkamasa 7 tahun lagi, sasaran 30% jumlah wanita sebagai ahli parlimen akan dapat dicapai. Mereka merasa yakin kerana pada masa kini setengah dari jumlah pemilih adalah wanita selain dari ramainya calon wanita yang bertanding dalam pilihan raya tahun ini. Bagaimanapun, mereka sangat menekankan bahawa dengan banyaknya perempuan dalam parlimen, masalah yang dihadapi masyarakat, khususnya yang melanda kaum hawa akan dapat diselesaikan.

Apa yang mereka perjuangkan sebenarnya amat penting untuk kita persoalkan. Benarkah dengan bertambahnya jumlah wanita di parlimen masalah wanita akan dapat di selesaikan? Mungkin kita perlu merenung dengan mendalam kisah yang terjadi di Argentina. Di negara Amerika Latin ini, jumlah wanita yang berada di Kongres Kebangsaan (National Congress) telah mencapai 40% tapi masalah wanita tetap tidak dapat diselesaikan. Kajiselidik yang dijalankan oleh the National Women's Council (Consejo Nacional de la Mujer, CNM) menerusi sebuah artikel yang terdapat di akhbar online iaitu Minuto Uno mengatakan bahawa setiap seorang dari tiga wanita Argentina telah mengalami penderitaan fizikal, psikologi, seksual dan keganasan ekonomi di dalam rumah. Selain itu, di wilayah Buenos Aires, 70 peratus daripada 9,000 hingga 11,000 panggilan kecemasan setiap tahun adalah panggilan yang berkaitan dengan kekerasan jantina [La NaciĆ³n 3 Dec. 2007; El Siglo 29 Sept. 2007]. Ini merupakan salah satu bukti bahwa banyaknya jumlah wanita di parlimen tidak menjamin permasalahan yang dialami kaum ini dapat diatasi.

Apa yang terjadi di Argentina sebenarnya adalah sesuatu yang perlu kita fikirkan. Benarkah masalah yang dihadapi wanita adalah masalah gender (ketidak setaraan gender antara lelaki dan wanita)? Kalaupun ini adalah benar, kenapa dengan banyaknya jumlah lelaki di parlimen permasalahan yang dihadapi lelaki masih juga melimpah? Ini adalah kerana dari segi faktanya, sebahagian besar pencuri, pemerkosa, perompak dan penganggur adalah lelaki. Jadi, bagaimana atau apakah kesetaraan gender antara lelaki dan wanita yang sebenar? Perlukah wanita memimpin lelaki atau sebaliknya? Juga, apakah sebenarnya peranan wanita dalam politik?

Kesetaraan gender yang dibawa oleh golongan feminis ini sama sekali tidak ada dalam Islam. Idea ini muncul di Barat pada masa pencerahan (enlightenment era) ketika para wanita bangkit untuk menuntut hak-hak mereka. Ini terjadi kerana sebelum masa pencerahan, iaitu di zaman gelap (dark ages), para agamawan yang mengatasnamakan Tuhan telah mendominasi sistem di dalam masyarakat dengan tidak memberikan hak kepada wanita untuk terlibat dalam urusan umum seperti menuntut ilmu, bekerja di luar ataupun berpolitik. Bahkan yang paling ekstrim, keberadaan perempuan pun masih dipertikai: apakah mereka makhluk atau bukan? Amat memilukan kerana pada masa itu, wanita Eropah benar-benar telah kehilangan kemuliaannya.

Kesetaraan (equality) dalam perspektif Islam

Kondisi yang dialami para wanita di Barat sangat berbeza dengan yang dihadapi oleh para Muslimah di dunia Islam. Dalam dunia Islam, para perempuan diperlakukan dan dilayani sebagai manusia, iaitu mereka (perempuan) dan lelaki adalah makhluk Allah Subhanahu wa Taala. Selain itu, dalam dunia umum, wanita diberi kesempatan dan peluang untuk menimba ilmu dan berpolitik. Hal ini dapat kita lihat pada masa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan Umar bin Al-Khatab Radiallahu Anhu, yang mana Nabi Salallahu Alaihi wa Sallam mengajarkan Al-Quran kepada kaum wanita dan juga menerima baiat dari dua orang perempuan pada masa Baiat Al-Aqabah II. Selain itu, pada masa Umar bin Al-Khattab Radiallahu Anhu ada seorang wanita yang menegur Umar kerana ingin menetapkan jumlah mahar perkahwinan.

Akan tetapi dari semua kesetaraan yang ada, kesamaan yang paling mendesak (urgent) yang perlu kita sedari adalah adanya persamaan hak dan kewajiban untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam [TMQ Ali-Imran : 102]

Allah Subhanahu wa Taala tidak membezakan kemuliaan seseorang berdasarkan jenis kelamin dirinya tetapi menjadikan ketakwaan sebagai tolok ukur atau ‘standard’ kemuliaan seseorang. Jadi, inilah persamaan yang semestinya para perempuan perjuangkan. Persamaan untuk menerapkan syariat Islam, untuk menjadi manusia yang bertakwa, serta manusia yang mulia di dunia dan akhirat. Kalaupun wujud perbezaan peranan dan cara mengatur urusan perempuan dalam Islam, itu bukanlah suatu masalah kerana yang menentukannya adalah Sang Pencipta lelaki dan perempuan iaitu Allah Subhanahu wa Taala. Jadi, apapun peranan yang Allah Subhanahu wa Taala berikan pasti akan mendapatkan pahala di sisi-Nya. Di sini kita boleh menilai bahwa keadilan didalam Islam adalah adanya kesamaan hak dan kewajiban untuk melakukan ibadah. Akan tetapi dalam hal peranannya, adil bukan bererti sama tetapi menempatkan segala sesuatu sesuai dengan tempatnya. Alhamdulillah, untuk menghindari perdebatan di antara manusia, Allah menjadikan penentuan peranan antara lelaki dan perempuan sebagai hak –Nya.

Perempuan dan pemimpin negara

Salah satu perbezaan peranan antara perempuan dan lelaki adalah dalam masalah kepimpinan yang berhubung dengan pemerintahan. Untuk peranan ini, hanya lelaki yang diberi tanggungjawab oleh Allah Subhanahu wa Taala, sedangkan perempuan tidak dibebani tanggungjawab ini. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

“Tidak akan berjaya suatu kaum yang mengangkat seorang wanita sebagai pemimpin mereka”. Hadis ini telah dianggap sahih dan terdapat dalam Kutub al-Sittah.

Akan tetapi, para feminis mengatakan bahawa hadis ini merupakan kebohongan yang dilakukan oleh Abu Bakrah. Alasan mereka, pada masa kekhalifahan Umar bin Khattab, Abu Bakrah pernah di sebat kerana memberikan kesaksian palsu tentang perselingkuhan (perzinaan) Al-Mughirah dan Ummu Jamil sehingga hadis yang diriwayatkannya tidak boleh diterima.

Pendapat mereka ini sebenarnya sejalan dengan para orientalis yang ingin menciptakan keraguan pada sumber autentik Islam iaitu Hadis Nabi. Mereka menuduh bahawa kerana kesaksian Abu Bakrah tidak diterima, maka segala hadis yang diriwayatkannya meskipun telah dinyatakan sahih oleh Al-Bukhari dan Muslim perlu untuk dikaji semula kesahihannya.

Dalam menyingkap permasalahan ini kita tidak boleh menjustifikasi bahawa dengan disebatnya Abu Bakrah merupakan bukti dia telah berbohong dan kesaksiannya tidak diterima selama-lamanya. Ini kerana pertama, adanya kaedah umum yang telah disepakati oleh ahli hadis bahawa semua sahabat adalah adil. Abu Bakrah merupakan sahabat Rasulullah seperti yang dinyatakan oleh Al-Hasan Al Basri, salah seorang ulama tabi’in yang terkemuka. “Tidak ada seorang sahabat pun dari sahabat-sahabat Rasulullah yang tinggal di Basrah lebih mulia dibandingkan dengan Imran ibn Husayn dan Abu Bakrah. Dia mempunyai banyak pengikut dan merupakan orang terpandang di Basrah”. Kedua, periwayatan dan kesaksian merupakan dua fakta yang berbeza. Periwayatan bergantung pada penukilan orang yang adil serta kuat hafalan dari orang yang sejenis mulai dari sumber berita yang pertama hingga terakhir. Periwayatan tidak memerlukan nisab, juga tidak ada larangan anak meriwayatkan dari orang tua dan saudaranya, periwayatan juga boleh dinukilkan atau diwakilkan melalui orang. Sedangkan kesaksian, selain adanya syarat adil dan terpenuhnya nisab, tidak dibenarkan anak menjadi saksi orang tua dan saudaranya. Kesaksian juga mesti berdasarkan kesaksian mata atau telinga secara langsung. Selain itu, adil dalam periwayatan berbeza dengan adil dalam kesaksian. Adil dalam periwayatan bererti muslim, berakal, serta selamat dari sebab-sebab kefasikan dan terkikisnya muru’ah (kehormatan diri). Sebaliknya, adil dalam kesaksian bererti konsisten, iaitu bersikap “preventif” (mencegah) terhadap apa yang dianggap orang sebagai tidak konsisten.

Sebenarnya dalam kes Abu Bakrah, beliau disebat (dihukum) kerana salah satu syarat kesaksian ialah terpenuhnya nisab (4 orang) tidak terjadi. Ziyad, salah seorang saksi, menarik kembali kesaksiannya ketika tiba di Madinah. Setelah Abu Bakrah disebat 80 kali, Umar meminta beliau untuk bertaubat, tetapi beliau menolak. Umar lalu mengatakan bahawa dirinya akan disebat lagi jika tetap tidak mahu bertaubat. Dalam situasi ini, beliau memilih untuk disebat daripada menarik kembali kesaksiannya dan bertaubat. Sikap ini menunjukkan bahawa beliau konsisten atau adil. Beliau tetap mempertahankan pendapat beliau. Selain itu Umar telah mengakui bahwa dia mejatuhkan hukuman sebat kepada Abu Bakrah hanya agar kelak kesaksian Abu Bakrah dapat diterima kembali. Jadi, sebenarnya tidak ada bukti yang menunjukkan bahwa beliau telah berbohong. Yang perlu dipertanyakan adalah Ziyad: kenapa setelah di Madinah dia menarik kesaksiannya? Tidak ada penjelasan kenapa Ziyad berubah fikiran, tetapi pada masa Muawiyah, Ziyad telah dijatuhi tuduhan oleh Muawiyah atas “kebohongan” dalam kesaksiannya yang menyebabkan Abu Bakrah disebat. Tetapi Abu Bakrah melarang Muawiyah untuk melakukannya. Setelah kes ini, Abu Bakrah bersumpah untuk tidak berbicara dengan Ziyad yang masih saudara seibunya itu hingga meninggal dunia. Ziyad pun akhirnya memenuhi tuduhan Muawiyah dan berusaha mendekati anak-anak Abu Bakrah untuk menebus kesalahannya. [lihat Ibn Sa’ad, at Thabaqat al-Kubra, juz VII, hlm 15).

Oleh kerana Abu Bakrah terbukti tidak bersalah, maka berdasarkan hadis yang diriwayatkannya, haram hukumnya bagi perempuan untuk menjadi pemimpin negara. Lalu, bolehkah perempuan berpolitik?

Politik Perempuan dalam Pandangan Islam

Sebelum melanjutkan pada pembahasan politik perempuan dalam pandangan Islam, perlu diketahui bahwa politik dalam Islam sangat berbeza dengan politik dalam pandangan sekularisme. Tujuan berpolitik dalam Islam bukanlah untuk meraih kekuasaan seperti yang terjadi pada masa kini sebaliknya tujuan politik adalah untuk mengatur urusan umat. Mengatur urusan umat bererti menjamin seluruh permasalahan umat diselesaikan dengan aturan Allah. Jadi, kemampuan berpolitik bukan hanya menjadi hak dan kewajiban para penguasa, malah seluruh kaum Muslimin. Sayangnya hal ini tidak disedari oleh sebahagian besar kaum Muslimin, menyebabkan mereka terjebak dalam sistem demokrasi yang membawa bencana pada diri mereka sendiri. Tidak ketinggalan dengan para muslimahnya yang mana atas nama demokrasi, mereka menuntut untuk duduk di parlimen, seterusnya menggubal undang-undang yang dapat “menguntungkan” kaum perempuan. Padahal, seharusnya mereka tahu bahawa pada hakikatnya, siapapun yang menduduki kerusi parlimen adalah manusia-manusia yang ingin mensejajarkan dirinya dengan Allah Subhanahu wa Taala dalam membuat hukum. Dengan mengandalkan suara majoriti, mereka dengan berani membuat hukum yang akan diterapkan. Padahal kepada siapa mereka akan kembali dan kepada siapa mereka akan mempertanggungjawabkan semua perbuatan mereka kalau bukan kepada Allah Subhanahu wa Taala, yang telah menciptakan mereka.

Kewajiban berpolitik sebenarnya merupakan sebahagian dari dakwah Islam. Islam mewajibkan seluruh kaum Muslim sama ada lelaki mahupun perempuan untuk berdakwah mengajak kepada yang ma’ruf dan menjauhi yang mungkar. Amar ma’ruf nahi mungkar ini bermaksud menyeru untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Taala dengan menerapkan seluruh hukum syariat-Nya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” [TMQ Ali-Imran: 104].

Perlu kita ketahui, ayat ini diturunkan di kota Madinah yang merupakan negara Islam dan hukum-hukum yang diturunkan di Madinah bukan hanya mengatur bagaimana cara beribadah dengan Allah Subhanahu wa Taala, tetapi juga yang mengatur sistem kehidupan. Pada saat itu, hukum-hukum yang mengatur masyarakat seperti sistem kewangan (dinar-dirham), politik luar negara, hudud, sistem ekonomi, sistem kewangan, pemerintahan dan pendidikan telah diturunkan. Oleh karena itu, agar kaum muslimin dapat menjalankan kewajibannya untuk melakukan amar ma’ruf nahi mungkar dia harus memiliki kesedaran berpolitik. Jadi, sama ada lelaki mahupun perempuan, mereka punya hak yang sama untuk berdakwah amar ma’ruf nahi mungkar.

Khatimah

Lelaki dan wanita dalam Islam memiliki hak dan kewajiban yang sama untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Taala. Kebahagiaan yang mereka capai juga sama iaitu menggapai keredhaan Allah Subhanahu wa Taala. Tujuan hidup inilah yang semestinya menjadikan lelaki dan perempuan untuk menerima segala peranan yang telah ditetapkan oleh Al-Khaliq. Walaubagaimanapun, menegakkan kembali Khilafah sebagai sebuah institusi yang menerapkan dan menjaga syariat Islam merupakan kewajiban untuk seluruh kaum muslimin sama ada lelaki mahupun perempuan. Disinilah sebenarnya ruang yang diberikan Allah Subhanahu wa Taala kepada wanita untuk terlibat dan terjun ke dalam dunia politik.

Wallahu a’lam bi ash-shawab.

No comments:

Post a Comment