Saturday, May 9, 2009

Islam Memerdekakan Wanita



Bulan kemerdekaan muncul lagi. Bulan yang membawa seribu satu makna dalam kalendar sejarah tanahair. Kemunculannya dinantikan, ketibaannya disambut penuh kemeriahan. Kehadirannya dihayati dengan penuh semangat patriotisme dan kecintaan yang padu kepada tanahair. Sesetengah golongan alim ulamak yang menyokong semangat patriotisme ini menjustifikasikan hujah mereka berdasarkan sebuah hadis palsu iaitu “hubbul wathan minal iman” yang bermakna mencintai tanah air sebahagian dari iman. Di bulan ini juga pelbagai kempen dijalankan untuk menyemarakkan lagi suasana. Antara suatu kemestian yang lazim dan ‘wajib’ ialah mengibarkan jalur gemilang, lambang kemegahan negara. Pelbagai persoalan bermain di minda rakyat jelata. Selain persoalan tentang hukum merayakan kedatangan bulan kemerdekaan dengan rutin tahunan yang sudah sedia ada termasuk peruntukan wang hangus untuk acara pertunjukan bunga api, adakah acara itu akan terus diadakan juga pada tahun ini? Ironinya, di saat seluruh rakyat diminta berjimat cermat akibat kenaikan harga barang dan minyak, pemerintah yang bermazhab Islam Hadhari terus istiqamah dengan aktiviti yang membuatkan rakyat jelata ‘naik minyak’.

Hakikatnya bukanlah bulan kemerdekaan itu yang perlu dihayati sebaliknya apa yang lebih penting ialah satu persoalan yang perlu ditanya kepada setiap individu khususnya Muslimah iaitu adakah Muslimah hari ni benar-benar merdeka jika dilihat dari sudut pandangan Islam?

Kejatuhan Daulah Islamiyyah setelah dimakamkan secara rasminya pada tanggal 28hb Rejab 1342H oleh Mustafa Kamal Attarturk laknatullah alaihi telah menyebabkan pemikiran Islam sebahagian penganutnya yang sebelumnya lemah punah berderai. Natijah yang memilukan ini yang bermula seawal abad ke 16 Masehi dengan usaha golongan Missionaries menyuntik benih-benih pemikiran Kufur ke dalam minda umat Islam. Idea feminisme yang sebenarnya lahir hasil dari kebencian pada pemikiran Barat yang cenderung pada male chauvinism atau penguasaan kaum lelaki ke atas wanita yang kononnya dianggap ‘ubat’ atau ‘penawar’ rupa-rupanya telah menjadi virus yang menjerat diri kaum wanita. Seluruh dunia seolah-olah mengiktiraf bahawa wanita adalah spesis yang tidak pernah mendapat hak dan menikmati kebebasan sebagaimana kaum lelaki. Buktinya, kewujudan suatu konvensyen di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (‘PBB’) iaitu Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (Konvension tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi keatas Wanita) yang diadopsi oleh PBB pada tahun 1979 seringkali dianggap sebagai dokumen undang-undang antarabangsa berkenaan dengan hak asasi wanita [www.un.org/womenwatch]. Menerima-pakai konvensyen ini bermakna setiap negara yang menganggotai PBB akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menghentikan diskriminasi ke atas wanita dalam pelbagai aspek termasuk:-

i) Sistem perundangan yang mengandungi prinsip persamaan lelaki dan wanita, menghapuskan undang-undang yang mendiskriminasikan kaum wanita dan mengguna-pakai undang-undang yang menghapuskan diskriminasi pada golongan ini.

ii) Mengadakan tribunal dan institusi awam untuk memastikan perlindungan pada wanita dari didiskriminasi dan

iii) Memastikan penghapusan semua bentuk diskriminasi pada wanita oleh individu, organisasi dan syarikat.

Konvensyen ini menyediakan teras untuk merealisasikan persamaan hak atas lelaki dan wanita dengan memberi mereka akses dan peluang yang sama dalam bidang politik dan kehidupan umum termasuk hak untuk mengundi dan menjadi calon pilihanraya dalam sistem demokrasi, bidang pendidikan, kesihatan dan bidang pekerjaan. Negara-negara anggota juga bersetuju mengadopsi langkah-langkah yang sewajarnya termasuk aspek perundangan dan mengambil tindakan jangka pendek supaya wanita dapat menikmati hak asasi dan kebebasan umum.


Akibat dari mengambil jalan penyelesaian dari perspektif PBB yang berideologikan Kufur-Barat telah menyebabkan kaum wanita termasuk wanita Islam terjebak dalam kehidupan yang jauh dari kemerdekaan dan kebebasan yang mereka kejar dan perjuangkan. Ruang yang diberikan untuk terlibat dalam politik telah dimanfaatkan oleh wanita Islam bukan untuk memahami politik (siyasah) dari perspektif Islam iaitu pengaturan urusan umat di dalam dan di luar negara Daulah, sebaliknya menceburi bidang politik menyebabkan wanita Islam terlibat dalam maksiat (sebarang bentuk pelanggaran hukum) bilamana sebahagian mereka yang dianggap ‘heroin’ dan ‘serikandi’ kerana memenangi pilihanraya telah terlibat dalam membuat undang-undang sama ada di peringkat dewan undangan negeri (‘DUN”) atau di Parlimen sedangkan menggubal undang-undang itu adalah hak prerogatif Allah Subhanahu wa Taala selaku As-Syarik (Sang Pembuat Hukum). Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah [Surah Al-An’am (6 ):57].

Dalam bidang pekerjaan pula, demi merealisasikan sebuah impian bahawa kemerdekaan dan kebebasan dapat dikecapi oleh kaum wanita dengan terlibat dalam semua bidang pekerjaan yang lazimnya didominasi kaum lelaki, akibatnya kaum wanita menceburi bidang baru untuk menempatkan diri setaraf dengan kaum lelaki. Semua ini menyumbang pada runtuhnya institusi keluarga apabila sebahagian umat Islam berpendapat bahawa bekerja bagi kaum wanita adalah wajib iaitu sama seperti kaum lelaki. Hakikatnya, bekerja bagi kaum wanita secara umumnya adalah mubah (harus) selagi diizinkan wali atau suaminya dan tiada sebarang pelanggaran hukum dalam pekerjaannya.

Sistem Sekuler-Kapitalis yang bermaharajalela di persada pemerintahan negara yang telah melahirkan penguasa-penguasa yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan setiap warga negara sama ada Muslim atau bukan Muslim terpenuh keperluan asasi mereka telah memburukkan keadaan. Fakta ini, ditambah dengan kurang pemahaman tentang peranan utama wanita selaku ibu (ummu) dan pengatur rumahtangga (rabbatul bayt) telah menyebabkan berlaku insiden sumbang mahram dan terjebaknya anak-anak remaja dalam gejala seks luar-nikah hingga lahir anak-

anak haram serta pembuangan bayi hingga menjadi sebuah episod ngeri yang tidak bernoktah.

Selain dari itu, wanita Islam juga telah menjadi hamba pada dunia apabila melihat dan berpandangan bahawa kejayaan wanita diukur dari status perkahwinannya termasuk kebolehan mereka menarik perhatian lawan jenis. Sebahagian wanita Asia yang berkulit gelap dan sawo matang menggunakan pelbagai jenis krim pemutih kerana beranggapan bahawa cantik bermakna ‘memiliki kulit yang putih dan gebu’. Selain itu, sindrom 3G iaitu hasil kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menunjukkan hampir 20 peratus penduduk dewasa dan 21 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami masalah 3G ini turut memberi impak negatif kepada kaum wanita hingga sebahagian mereka berpendapat ‘if you’re thin you’re happy’ (jika anda kurus, anda bahagia). Persepsi negatif pada golongan 3G ini adalah selari dengan satu penemuan orang Barat iaitu kesan jangka masa panjang pula ialah mereka (golongan 3G) menerima layanan yang kurang adil di tempat kerja dan kadar perkahwinan yang rendah [Puhl & Brownell, 2003]. Akibatnya wanita menjadi hamba pada produk pil dan program pelangsingan hingga ada yang menjadi mangsa terlebih dos yang membawa kematian, bukan terfokus pada tingginya risiko penyakit pada golongan 3G ini. Sebaliknya mereka melakukan semua aktiviti ‘kecantikan melalui penderitaan’ demi untuk ‘diterima’ masyarakat. Menurut kajian Strauss dan Pollack (2003), kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan berlebihan sering menerima stigma oleh rakan-rakan sebaya mereka. Menerima ejekan dan panggilan nama serta mengalami pengasingan sosial, tidak diterima oleh rakan-rakan adalah antara kesan-kesan yang boleh diterima oleh pelajar-pelajar sekolah yang menghadapi masalah kegemukan berlebihan [Strauss & Pollack, 2003]. Realiti ini menyebabkan kaum wanita seawal usia kanak-kanak telah memasang impian bahawa mereka mesti berusaha memiliki tubuh seperti patung Barbie sedangkan pada hakikatnya, jika seorang wanita memiliki ‘vital statistic’ seperti pasangan Ken ini, pinggang mereka akan patah kerana saiz payu dara yang terlalu besar tidak dapat ditampung oleh pinggul yang kecil.



Semua ini seolah-olah telah terprogram dalam minda bahawa mereka mesti mencari jawapan akan persoalan yang dikemukakan oleh ibu tiri Snow White pada cermin ajaib iaitu ‘mirror mirror on the wall.. who’s the fairest of them all?’ (wahai cermin di dinding, siapakan yang paling cantik dari semua wanita?’. Hakikatnya, wanita Kaukasia (Caucasian) yang umumnya berkulit putih berusaha keras untuk memiliki kulit gelap atau ‘tan’ yang membuktikan bahawa manusia sama ada lelaki atau wanita, amat susah untuk merasa puas dan redha dengan apa yang mereka miliki, apabila pemikiran dan perasaan mereka dirasuk pemikiran Kufur-Barat yang sangat mementingkan penampilan fizikal.

Sebahagian umat Islam khususnya kaum wanita seperti Muslim Women League (Liga Wanita Muslim) yang berpangkalan di Los Angeles, California melalui laman web http://www.mwlusa.org/topics/equality/issues.htm memahami bahawa Islam mampu memerdekakan wanita dengan syarat persoalan-persoalan seperti di bawah hendaklah dirungkaikan terlebih dahulu:

i) Undang-undang keluarga Islam (munakahad) yang berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian hendaklah menguatkuasakan hak suami atas isteri dan lelaki atas wanita (atas kapasiti selaku wali) yang mana penguatkuasaan ini akan dapat menghalang wanita dari bertindak menurut hawa nafsu mereka sahaja.

ii) Keganasan ke atas wanita yang berlaku di rumah, dalam masyarakat dan kesan peperangan yang dibolehkan oleh sesetengah pihak, sedangkan pada hakikatnya tidak.

iii) Penyalah-gunaan hukum-hakam Islam yang memberi kesan negatif kepada kaum wanita seperti poligami dan perkahwinan secara muta’ah yang dilaksanakan tanpa kawalan.

iv) Mengecualikan wanita dari aktiviti keagamaan seperti mengimarahkan masjid yang telah diiktiraf sebagai salah satu hak wanita.

v) Kegagalan mempromosikan sumbangan wanita kepada masyarakat lebih dari sekadar melahirkan anak.

vi) Kegagalan untuk memberi peluang kepada wanita mendapat hak harta dan pewarisan sepertimana yang digariskan oleh hukum syarak.

vii) Fokus masyarakat pada perilaku wanita yang dianggap sebagai penanda aras (benchmark) status akhlak dan moral dalam masyarakat sehingga wanita menjadi mangsa gangguan (harrassment), intimidasi dan diskriminasi.

viii)Kurangnya kesedaran tentang peranan lelaki untuk menyumbang dan berperanan dalam melayarkan bahtera rumahtangga seperti membesar dan mendidik anak-anak sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam.

Walau apa jua saranan dan penyelesaian untuk memerdekakan wanita, Islam selaku rahmatan lil alamin tidak akan dapat menyelesaikan kemelut ini sekiranya keujudannya tidak secara menyeluruh (kaffah) dan pelaksanaan secara bersepadu. Pada hari ini, hukum-hakam Islam masih terpisah dan tercerai (fragmented) dan hanya terfokus pada ibadah khusus, sebahagian hukum-hakam kekeluargaan (munakahad) dan fara’id. Maka, sekadar mengubati gejala (sign & symptom) sahaja dan melaksanakan aktiviti islahiyyah (penambah-baikan) sebelum isu pokok iaitu keujudan Islam dalam bentuk Negara (Daulah) yang akan melaksanakan Islam secara kaffah tidak akan mampu mengubati duka-nestapa yang menyebabkan wanita terpenjara dan menjadi hamba pada sistem Kufur.

Sebuah Negara (Daulah) yang menerapkan Islam Kaffah sebagaimana perintah-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 iaitu “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya” tidak sekadar melaksanakan hukum-hakam Islam sahaja. Sebaliknya Negara yang pernah memayungi 2/3 dunia ini akan memerdekakan minda wanita dan menjernihkan pemikiran mereka agar bebas dari virus Sekuler-Kapitalis yang selama ini menjadikan mereka hamba melalui sistem pendidikan Islam. Natijahnya, wanita Islam masih boleh melakukan sebarang aktiviti dan tindakan dalam rangka untuk memenuhi keperluan jasmani (hajat al-udhuwiyyah) dan naluri-naluri (al-ghara’iz) mereka seperti bekerja untuk mengukuhkan ekonomi rumahtangga dan menyumbang tenaga dan kepakaran kepada masyarakat, semua ini dilakukan dalam ruang-lingkup yang dibenarkan syarak.

Negara yang memenuhi keperluan asas setiap warganegara akan turut memerdekakan wanita kerana mereka tidak lagi dihambat oleh keinginan pada duniawi semata-mata hingga menjejaskan tanggungjawab dan fungsi asas selaku ibu dan pengatur rumahtangga itu tadi. Apa yang paling penting sekali, negara yang bakal menerapkan sistem pendidikan Islam wanita akan melahirkan wanita-wanita solehah yang akan memahami bahawasanya cantik dan bahagia bukanlah untuk mendapat pengiktirafan dan dipandang tinggi oleh manusia, sebaliknya apa jua yang mereka inginkan, selama mana tidak menjejaskan tanggungjawab asas mereka seiring dengan tanggungjawab selaku pengemban dakwah yang juga satu kewajipan yang terbeban di bahu mereka, selagi tiada pelanggaran hukum dalam rangka untuk merealisasikannya, akan memberi mereka ketenangan, pahala dan balasan syurga di akhirat kelak.

Wahai Muslimah yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengembeling usaha dan tenaga untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan sehingga agama yang mulia ini akan wujud dalam bentuk negara iaitu Daulah Islamiyyah yang akan membebaskan seluruh umat manusia dari keburukan sistem buatan manusia iaitu ideologi Sekuler-Kapitalis.

Hai Nabi sesungguhnya kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada Agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi. [Surah Al-Ahzab (33) :46].

Dan mengutus seorang Rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan [bermacam-macam hukum] supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh dari kegelapan kepada cahaya [Surah Al-Talaq (65):11]
Wallahu alam bisshawab.

No comments:

Post a Comment