Saturday, May 9, 2009

Wanita, Jangan Mudah Terpedaya




Pada awal tahun 2007, kita dikejutkan dengan kes penahanan rakyat Malaysia di China kerana kes dadah. Umi Azlim Mohamad Lazim berusia 24 tahun yang berasal dari Kelantan telah ditahan atas tuduhan membawa masuk heroin ke Republik Rakyat China seberat hampir 3 kg. Beliau telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Guangzou dan sekarang sedang menanti detik kematiannya sementara menunggu tempoh dua tahun untuk rayuan.[(www.bernama.com.my) 03/12/08] Insiden ini disusuli dengan kejadian yang sama iaitu Raja Munirah Raja Iskandar yang ditangkap di Jepun dan Wan Lidiawati Abdul Majid di Trinidad dan Tobago. Selain itu, dua wanita lagi di tangkap di Malta iaitu Norfaizura Md Lias, 28, dari Pulau Pangkor Perak dan Dayang Sakienah
Mat Lazim, 20, dari Bukit Payong Terengganu. Mereka mendakwa di bawa ke Madrid sebelum dipaksa menyeludup dadah ke Malta. Manakala pada 30hb Mei 2008 baru-baru, ini kita dikejutkan sekali lagi dengan insiden yang sama tapi ianya melibatkan seorang OKU (Orang Kurang Upaya), Siti Aisyah Hamid, 43 tahun yang berasal dari Kampung Permatang Damar Laut, Bayan Lepas. Dia di tahan kerana di dakwa membawa dadah dari Pakistan ke Malaysia. Siti Aishah yang menghidap penyakit tulang rapuh, SLE merupakan OKU kedua menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa, dengan seorang lagi kini meringkuk di sebuah penjara di Peru.[UM 31/05/08].
Jika diperhatikan dengan teliti kes-kes di atas hampir kesemuanya telah menyatakan bahawa mereka ditipu dan tidak mengetahui apakah barang sebenar yang dibawa. Walaupun telah diberitahu bahawa barangan yang dibawa adalah alat pengurut kaki, seperti yang berlaku kepada Umi Azlim, tetapi yang dibawa sebenarnya adalah dadah. Sehingga kini, 96 rakyat Malaysia, kebanyakannya wanita dan pelajar, ditahan di luar negara kerana kes dadah, sebahagiannya di Venezuela, Peru, Argentina dan China. Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, sesetengah mangsa menyedari tugas yang bakal diberikan kepada mereka, tetapi rela kerana ditawarkan upah lumayan dan sesetengah yang lain benar-benar terpedaya. [UM 24/05/08]. Begitu juga yang berlaku kepada Irine Manggi, 20-an, berasal dari Kuching, Sarawak yang di tangkap oleh pihak Polis Sao Paolo kerana di dakwa mengedar kokain. Menurut kakak mangsa adiknya diperdaya seorang rakan yang menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM 2007). [BH 07/12/07]

Berdasarkan fakta di atas dapat dilihat bahawa kebanyakan daripada kita tidak mengetahui bahawa dalam mencari dan menawarkan pekerjaan, terdapat syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh Islam. Sebagai seorang Islam kita wajib prihatin dan meneliti bahawa segala apa yang kita buat di dalam dunia ini mempunyai peraturan yang telah di tetapkan oleh Allah Subahanahu Wa Taala. Kita tidak boleh mengabaikan walau satu pun yang telah termaktub dalam Al-Quran dan bukannya menghalalkan segala cara yang diharamkan walaupun dengan niat yang baik. Kita mesti jelas dengan tindak-tanduk kita supaya segala amalan kita nanti mendapat balasan dan yang penting mendapat redha Allah.

Dari segi pengambilan pekerja dan menerima tawaran kerja, Islam membolehkan seseorang itu untuk mengambil tenaga kerja para pekerja atau buruh agar mereka bekerja untuk orang tersebut. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:

“Apakah mereka membahagi-bahagi rahmat tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan kami meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka mempergunakan sebahagian yang lain” [TMQ Az-Zukhruf (43):32].

Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah yang mengatakan: Nabi Salallahu Alayhi Wa Sallam bersabda:

“Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: `Tiga orang yang aku musuhi pada hari kiamat nanti, adalah orang yang telah memberikan kerana Aku lalu berkhianat; dan orang yang membeli barang pilihan, lalu ia makan kelebihan harganya; serta orang yang mengambil pekerja kemudian pekerja tersebut menunaikan transaksinya sedangkan upahnya tidak diberikan.’”

“Apabila mereka (wanita-wanita) menyusui (anak) kalian maka berikanlah kepada mereka upahnya-upahnya.” [TMQ At-Thalaq(65):6]

Ijarah adalah pemilikan tenaga dari seorang ajiir (orang yang diambil tenaganya iaitu pekerja) oleh musta’jir (orang yang menggaji/mengambil tenaga iaitu majikan), serta pemilikan harta dari pihak musta’jir oleh seorang ajiir. Ijarah merupakan transaksi terhadap tenaga tertentu dengan disertai bayaran. Ajiir adakalanya bekerja untuk seseorang dalam jangka waktu tertentu, contohnya bekerja di kilang, kebun, ladang ataupun bekerja di pejabat sebagai kerani, pegawai, pengurus serta budak pejabat. Begitu juga bekerja sebagai tukang jahit, tukang kayu, tukang masak dan seumpamanya. Ijarah adalah memanfaatkan tenaga sesuatu yang dikontrak.

Apabila transaksi tersebut berhubungan dengan seorang ajiir, maka yang dimanfaatkan adalah tenaga kerjanya. Sehingga untuk menggaji atau melantik seorang ajiir tadi mesti ditentukan bentuk kerjanya, waktu, upah serta tenaganya. Oleh kerana itu, jenis pekerjaannya mesti dijelaskan sehingga tidak kabur kerana transaksi ijarah yang masih kabur hukumnya adalah fasid (rosak). Waktunya juga mesti ditentukan, contohnya secara secara harian, bulanan atau tahunan. Di samping itu, upah kerjanya juga mesti ditentukan. Dari Ibnu Mas’ud berkata; Nabi Sallahllahu Alaihi Wa Sallam bersabda:

“Apabila salah seorang di antara kalian, menggaji (tenaga) seorang ajiir, maka hendaknya diberitahu tentang upahnya”

Berkenaan dengan status pekerjaan, jika pekerjaan tersebut halal, maka hukum mengambil seseorang bekerja juga halal. Maka transaksi ijarah tersebut boleh dilakukan dalam perdagangan, pertanian, industri, perkhidmatan, perwakilan, menyampaikan jawapan dari salah satu pihak dalam urusan yang sama, sama ada sebagai pihak penuntut ataupun yang dituntut, termasuk melakukan penyelidikan, serta menyampaikan hasil penyelidikan kepada orang tertentu, menuntut hak, dan memberikan keputusan di antara manusia.

Syarat sah dan tidaknya transaksi ijarah tersebut adalah adanya tenaga yang dikontrak mestilah tenaga kerja yang mubah (harus). Tidak diperbolehkan mengambil pekerja seorang ajiir untuk memberikan tenaga kerja yang diharamkan sehingga tidak diperbolehkan mengambil seorang ajiir agar mengirim minuman keras kepada pembeli, serta mengambil untuk memerahnya atau untuk mengangkut babi. Imam At-Tirmidzi meriwayatkan dari Anas bin Malik yang mengatakan:

“Rasulullah melaknat dalam masalah khamar sepuluh orang iaitu: pemerahnya, orang yang menyuruh memerah, peminumnya, pembawanya, orang yang dibawakan, orang yang mengalirkannya, penjualnya, pemakan keuntungannya, pembelinya termasuk yang dibelikan.”

Berbalik kepada kes-kes di atas, kebanyakkan daripada mereka tidak jelas dengan skop pekerjaan (job scope) dan perincian kerja (job description) masing-masing. Semasa menerima tawaran pekerjaan tersebut seorang pekerja itu sepatutnya mengetahui selengkapnya apakah pekerjaan mereka kerana di dalam kontrak pekerjaan itu sendiri akan menyatakan apakah bentuk pekerjaan, jumlah gajinya, masa bekerja dan tempoh pekerjaan tersebut. Jika dia melakukan kerja yang bertentangan dengan bentuk pekerjaannya maka dia boleh menolak pekerjaan tersebut dan membatalkan kontrak pekerjaannya kerana apabila akad sesuatu kontrak pekerjaan itu kabur, tidak dinyatakan secara lengkap maka ianya adalah fasid (rosak) dan tidak sah. Jika kita menerima sesuatu pekerjaan itu, kita mesti memerhatikan had-had tugas kita dan berusaha memastikan kita tidak mudah goyah dengan tawaran gaji yang berlipat ganda. Jika dengan hanya membawa barang tertentu dan dihantar kepada sipenerima kita boleh mendapat gaji lebih dari gaji menteri, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan pekerjaan tersebut. Justeru kita mempunyai hak untuk melihat barang apa yang kita bawa kerana kita hanya perlu membawa barang yang telah dinyatakan dalam kontrak kerja kita sahaja.

Sesetengah kes seperti yang dilaporkan menyatakan bahawa mereka yang terlibat itu tahu barang yang dibawa adalah dadah yang telah jelas haram dari segi hukum Islam dan undang-undang. Walaupun dari segi akad ianya adalah jelas dan tidak fasid tetapi apabila barang yang dibawa itu adalah haram, maka secara automatik hukum akad itu adalah haram selaras dengan kaedah usul fiqh – al-wasilatu ilal haram, muharramah. Suatu perkara yang membawa kepada haram, hukumnya adalah haram. Sebagaimana yang diterangkan dalam hadith yang berkaitan dengan arak di atas, sama ada orang itu yang memproses dadah, membekal dadah, mengangkut dadah, membungkus dadah, menerima dadah, menghisap dadah, menerima upah daripada keuntungan jualan dadah ataupun membawa dadah untuk diberikan kepada pembeli, maka ianya jatuh dalam kategori haram. Akan tetapi, perlu diingat bahawasanya bukan hanya arak dan dadah sahaja yang diharamkan, malah akad ini juga melibatkan benda-benda lain yang diharamkan syara’ seperti babi, riba dan juga judi. Oleh yang demikian, jika pekerjaannya melibatkan perkara-perkara tersebut, maka secara automatiknya kontrak kerjanya adalah batal dan tidak sah. Maka gaji yang diperolehi itu adalah haram dan tidak sepatutnya mereka memberikan rezeki yang haram itu kepada anak-anak ataupun kepada ibu bapa mereka sendiri. Walaupun niat mereka untuk membantu keluarga adalah baik tetapi ianya tidak menghalalkan apa yang telah di haramkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Daripada Abdullah bin An-Nukman bin Basyir radhiallahu ‘anhuma katanya: "Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu telah nyata (jelas hukumnya) dan yang haram itu juga telah nyata (jelas hukumnya)”….. [Diriwayatkan oleh AI-Bukhari dan Muslim].

Oleh kerana itu, untuk memastikan semua ini tidak berulang, setiap umat Islam sama ada lelaki atau wanita hendaklah memahami dengan jelas hukum pekerjaan yang dilakukannya. Ini adalah kerana, tidak bermakna yang tertangkap itu sahaja yang melakukan dosa, tetapi yang masih selamat dan stabil sekarang ini hendaklah menyelidiki pekerjaan yang mereka lakukan seharian. Adakah sesuai dengan hukum syara’ atau sebaliknya? Suatu pekerjaan yang halal atau sah dari segi undang-undang ciptaan manusia itu tidak semestinya halal dari segi hukum syara’. Untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali, amat wajar bagi kita memahami realiti hidup kita hari ini yang sudah jauh dari Islam. Kita bukan sahaja dijauhkan dari Islam oleh pihak Kufar yang memang memusuhi Islam malah terdapat segelintir umat Islam itu sendiri yang menjauhkan Islam daripada penganutnya. Na’uzubillahi min zaalik.


Khatimah

Oleh yang demikian, sebagai seorang Muslimah yang patuh dengan hukum Allah, yang mengatakan dirinya sayang dengan Islam sewajarnya segala perlakuan seharian kita hendaklah bersandar kepada hukum yang ditetapkan oleh Allah. Sebagai wanita yang tugasnya melahirkan umat Nabi Muhammad, hendaklah kita persiapkan diri kita dengan ilmu-ilmu akhirat yang sebenarnya bukan hanya boleh dipelajari ketika lanjut usia tetapi hendaklah dimulakan dari sekarang ketika minda masih mudah menangkap setiap lontaran kata-kata para ilmuan, ketika mata masih boleh menangkap setiap baris kata yang tercatat dalam buku dan juga kitab-kitab yang tersohor agar suatu masa nanti kita boleh melatih anak-anak kita membiasakan diri dengan persekitaran Islam. Kita bukan sahaja cuba mengejar ilmu-ilmu dunia dengan mendapatkan pangkat sarjana muda, sarjana, doktor dan juga profesor malah pada masa yang sama memastikan ilmu-ilmu Islam itu meresap dalam diri masing-masing dan dijadikan cara hidup selaras dengan matlamat hidup kita semua adalah untuk mendapatkan redha Allah semata-mata.

Wallahua’lam bis ash-shawab.

No comments:

Post a Comment