Saturday, May 9, 2009

Sempena Hari Buruh: Perlukah Wanita Bekerja?

Wanita berkerjaya atau “Career women” telah menjadi satu fenomena yang diterima masyarakat kerana golongan wanita dianggap perlu berganding bahu dengan kaum lelaki memasuki pasaran pekerjaan untuk sama-sama membangunkan negara. Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, 200 juta wanita telah memasuki pasaran tenaga kerja sejak sedekad lalu, sehingga angka wanita bekerja di seluruh dunia mencecah 1.2 bilion orang [ILO, Global Employment Trend for Women, p.1) Bidang kerjaya yang diceburi oleh kaum wanita juga pelbagai: bidang pertanian yang merupakan sumber pekerjaan utama sejak sepuluh tahun lalu kepada pelbagai sektor pekerjaan yang menggajikan wanita sebagai separuh dari tenaga kerjanya. Sebahagian tenaga kerja ini adalah Muslimah. Menurut Organisasi Buruh Antarabangsa (“ILO”) juga, golongan wanita yang aktif bekerja yang mana majoriti dari mereka adalah Muslim datang dari negara-negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Selatan Thailand mengekalkan tempat ketiga tertinggi di seluruh dunia, manakala jumlah wanita-wanita di Afrika Utara dan Timur Tengah yang bekerja adalah paling rendah. Di Malaysia, statistik pada tahun 2007 menunjukkan bilangan pekerja di Malaysia adalah seramai 10,889,500 orang dimana 6,747,100 atau 62 peratus adalah lelaki dan 3,791,000 atau 38 peratus adalah wanita. Adalah didapati sektor-sektor dimana ramai pekerja wanita bekerja adalah di sektor pembuatan, di ikuti perdagangan borong dan runcit , pendidikan dan pertanian. Di beberapa sektor, sektor pendidikan dan kesihatan dan kerja-kerja kebajikan, adalah didapati bilangan pekerja wanita melebihi bilangan pekerja lelaki. Oleh kerana sektor-sektor yang dinyatakan tadi adalah penting, menunjukkan bahawa sumbangan wanita di dalam pembangunan negara, tidak boleh dinafikan [Sumber: Ucaptama mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Noraini Bt. Ahmad pada 7 Julai 2008 di PWTC, Kuala Lumpur http://www.mohr.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=634&Itemid=480&lang=ms]. Benarkah dakwaan di atas atau wanita hanya mangsa eksploitasi semata? Menurut Elson dan Pearson (1984) penggunaan tenaga kerja wanita untuk jenis-jenis pekerjaan tertentu sesungguhnya adalah strategi pengusaha untuk mendapatkan tenaga kerja yang murah. Kedua pakar tersebut dengan tegas menyatakan tidak benar apabila pembahagian kerja timbul kerana wanita dianggap paling sesuai untuk pekerjaan tertentu melainkan ianya hanya mitos belaka [bappenas.go.id/get-file-server/node/2847]

Mengapa Wanita Bekerja?

Secara umumnya, alasan wanita keluar bekerja adalah kerana wang terutamanya kepada wanita yang berasal dari keluarga miskin dan bersuamikan lelaki yang pendapatannya tidak mampu memberi keselesaan kepada golongan berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak. Tiada jalan lain bagi isterinya kecuali bekerja, untuk menambah pendapatan. Kedudukan kewangan juga menjadi punca wanita mencari nafkah untuk menanggung ibu bapanya yang telah tua dan sakit. Akan tetapi, ada juga wanita bekerja bukan kerana terlalu memerlukan wang, sebaliknya perkara-perkara berikut:

1. Meningkatkan keselesaan hidup. Sebenarnya suaminya mampu menyediakan nafkah secukupnya, akan tetapi kerana menginginkan kualiti hidup yang lebih tinggi, maka si isteri bekerja kerana mereka mengimpikan rumah yang lebih besar, kereta baru, menghantar anak ke sekolah swasta yang mahal, dan melancong ke luar negara.

2. Desakan orang tua. Ini adalah kerana mereka telah mengeluarkan biaya yang banyak untuk menyekolahkan anak perempuannya. Maka tiada kebahagiaan selain melihat anaknya menjawat jawatan tinggi. Ia juga dapat menaikkan imej dan status ibu bapa di hadapan kenalan dan saudara-mara mereka. Selain itu jika anaknya tidak bekerja maka dia seolah-olah menyia-nyiakan wang yang dibelanjakan dan jawatan tinggi yang mampu diraih sang anak.

3. Membayar hutang kerajaan. Mendapatkan biasiswa memang suatu rezeki. Jika tidak mendapat biasiswa, kos pengajian dibiayai melalui pinjaman PTPTN. Kepada yang menerima biasiswa, ibu bapa menjadi lega kerana tidak perlu mengeluarkan biaya kuliah yang sangat mahal seperti kursus perubatan. Biasiswa ini bukanlah pendidikan percuma melainkan pelajar akan terikat dengan kontrak untuk berkhidmat dengan kerajaan selama beberapa jangka waktu sehingga mencecah 10 tahun. Jika kontrak ini dilanggar, mereka terpaksa membayar balik keseluruhan biasiswa yang diberikan. Peminjam PTPTN pula mesti menjelaskan hutang ini walaupun belum bekerja yang membawa makna bekerja menjadi satu perkara yang wajib!

4. Menghilangkan ketergantungan (independent) terhadap suami. Wanita dari kelompok ini bangga kerana mampu mencari wang sendiri dan memiliki ‘self-confident’ yang tinggi dan tidak bimbang akan kebuluran seandainya berlaku perceraian atau kematian suami. Realiti hari ini yang mana ibu-ibu tunggal membanting tulang untuk meneruskan kehidupan tanpa bekas suami mempedulikan nafkah anak menyebabkan bekerja kepada golongan ini adalah sesuatu yang sangat mendesak untuk ‘survival’ diri dan anak-anak kerana ’huluran’ dari Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sangat minima. Syaitan menjanjikan(menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat yang keji dan Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia; dan Allah Maha Luas (kurniaNya) dan Maha Mengetahui” [TMQ Al-Baqarah(2): 268]

5. Menaikkan imej sosial. Ini seringkali terjadi kepada kaum wanita yang menduduki puncak hiraki dalam sektor awam ataupun swasta. Orang-orang akan melihatnya dengan perasaan takjub jika wanita itu memegang posisi penting di tempat kerjanya seperti menjadi menteri, ketua pengarah, CEO atau pengarah urusan syarikat tersenarai (public-listed companies). Wanita dari kelompok ini akan bermati-matian mengejar karier dengan bersaing dengan kaum lelaki. Anugerah seperti “CEO of the Year” atau “Women Manager of the Year” menjadikan mereka bangga hingga mendorong mereka menganjurkan program-program atau seminar-seminar untuk mengajak wanita lain mengikuti jejak mereka

6. Desakan masyarakat.
Memandangkan wanita bekerja merupakan satu fenomena biasa , maka wanita yang hanya menjaga anak di rumah akan dipandang rendah oleh masyarakat. Pertanyaan yang selalu ditanya adalah “Dimana kamu bekerja?”, “Kenapa isteri kamu tidak bekerja, bukankah dia berpendidikan tinggi?”. Lama-kelamaan wanita yang duduk di rumah juga ingin bekerja, kerana tidak tahan dengan anggapan rendah tersebut walaupun tidak ada keperluan mendesak untuk dia bekerja.
Kesan Negatif Wanita Bekerja

1. Merampas pekerjaan kaum lelaki. Bukan tidak pernah didengar kenyataan ini - Pelajar perempuan ke universiti, pelajar lelaki menjadi Mat REMP-it dan ke pusat serenti. Hal ini berlaku kerana masyarakat yang telah terbius dengan virus hedonism beranggapan apabila telah belajar tinggi, mestilah bekerja. Justeru, apabila statistik kemasukan pelajar wanita ke universiti lebih tinggi dari lelaki, secara relatifnya, wanita-wanita ini bakal ‘merampas’ jawatan-jawatan yang sepatutnya dipegang oleh lelaki. Dibawah tajuk “Fenomena penurunan jumlah pelajar lelaki di universiti dibangkitkan lagi”, laporan Kosmo Online pada 13hb April 2009 menyebut bahawa “Statistik kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009”.

2. Peningkatan Kos Operasi. Dalam sistem Kapitalis hari ini yang mana pemerintah ‘lepas tangan’ akan kebajikan rakyat, majikan telah dibebankan dengan kos yang tinggi untuk menanggung kebajikan pekerja (staff welfare). Apabila wanita bersalin, gaji mereka tetap dibayar oleh majikan sedangkan tidak ada perkhidmatan yang diberi sepanjang tempoh cuti bersalin tersebut. “Majikan Malaysia membelanjakan kira-kira RM1.57 bilion setahun untuk cuti bersalin 60-hari kepada kakitangan wanita, demikian seminar mengenai persamaan gender di sini diberitahu hari ini. Naib presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) A.Ramadass dalam kertasnya mengenai perlindungan bersalin dan tolak ansur kerja dan tanggungjawab keluarga, berkata kajian MEF menunjukkan bahawa jumlah kos bagi setiap kakitangan adalah sekitar RM7,500 setiap kali bersalin, terdiri daripada RM3,000 gaji dan RM4,500 elaun lebih masa” [www.utusan.com.my 21hb April 2009]. Kos yang ditanggung majikan ini menyebabkan kos operasi menjadi tinggi kerana wang yang dilaburkan tidak mendapat pulangan dalam bentuk produktiviti. Pada akhirnya, apabila majikan tetap mahu mengekalkan margin keuntungan syarikat untuk memenuhi nafsu serakah pemegang saham (shareholders) dan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders), syarikat akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang mana kesannya akan ditanggung oleh seluruh anggota masyarakat.

3. Mendedahkan anak-anak pada bahaya. Apabila wanita bekerja, mereka meletakkan anak-anak dalam jagaan pembantu rumah atau pengasuh. Ada kalangan anak-anak ini menjadi mangsa rogol, liwat dan cabul oleh ahli keluarga pengasuh. Anak-anak kecil di taman asuhan kanak-kanak (taska) juga berdepan dengan pelbagai risiko seperti mati tercekik susu, jatuh dari buaian, kecederaan yang tidak dapat dijelaskan dsb. Ibu-ibu yang bekerja syif juga meletakkan anak-anak perempuan mereka dalam keadaan bahaya yang mana mereka terdedah kepada gejala sumbang mahram. Masalah pembantu rumah warga asing juga sering mendedahkan anak-anak kecil dalam keadaan bahaya apabila mereka bertindak di luar dugaan seperti lari dari rumah dan meninggalkan anak-anak tanpa ditemani sesiapa.

4. Tidak mampu melayani suami dan anaknya dengan sempurna. Tanggungjawab wanita selaku ibu dan pengurus rumahtangga (ummun wa rabbatul bayt) adakalanya tidak dapat dilakukan dengan sempurna apabila wanita bekerja kerana kekangan masa dan wanita itu sendiri dalam keadaan keletihan untuk mengurusi rumah, anak-anak, suami dan urusan di tempat kerja.

5. Suami menjadi bergantung kepada penghasilan isteri. Fenomena “Mr Mama” yang mana wanita menjadi tunggak utama mencari nafkah dalam keluarga dan suami pula di rumah mengurusi anak-anak adalah sesuatu yang sudah tentu bertentangan dengan ajaran Islam iaitu suami yang mencari rezeki, bukan isteri. Jika hanya isteri yang bekerja, seandainya berlaku penceraian pasti urusan menentukan harta sepencarian menjadikan kes penceraian memakan masa yang lama untuk diselesaikan.

Jalan Penyelesaian menurut Sekular

Sistem ekonomi Kapitalis hasil “air tangan” Adam Smith (1723-1790) yang mendominasi dunia masa kini menyebabkan sebahagian kaum Muslimin mencari penyelesaian kepada masalah mereka dalam kerangka Sekular. Masalah-masalah yang dihadapi oleh wanita bekerja diselesaikan menurut akal pemikiran mereka, bukan jalan penyelesaian yang digali dari sumber wahyu. Antara masalah yang dihadapi oleh wanita bekerja adalah terlalu bergantung kepada pembantu rumah warga asing yang seringkali menimbulkan masalah. Justeru antara jalan keluar pemerintah adalah memberi pelbagai insentif kepada majikan untuk menyediakan kemudahan penjagaan anak-anak di tempat kerja (child-care centres). Menurut Perdana Menteri Malaysia ke-6 yang baru menaiki takhta pemerintahan Negara Islam Hadhari ini, kerajaan telah memberi pengurangan cukai 10 peratus setahun kepada majikan yang menyediakan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja atas kos penubuhan pusat bagi tempoh 10 tahun sebagai insentif. "Agensi-agensi kerajaan yang menyediakan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja akan diberi geran RM80,000 untuk renovasi dan kelengkapan perabot. "Saya ingin menggesa sektor swasta memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka dengan mengadakan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja untuk pekerja mereka," kata beliau [Sumber: http://www.bernama.com/ 14hb April 2009]. Insentif yang diberikan kepada majikan dalam Pakej Rangsangan ini sudah tentu memberi kelegaan kepada para majikan kerana pengurangan cukai dan geran yang diberikan akan membaiki aliran tunai syarikat dalam senario ekonomi yang merudum, selain produktivi tidak terjejas kerana kaum ibu hampir dengan anak-anak mereka. Akan tetapi adakah ia menyelesaikan persoalan pokok pertama iaitu perlukah wanita bekerja?

Apakah Hukum Wanita Bekerja?

Secara umumnya, hukum bekerja bagi wanita adalah mubah (harus) selagi mendapat keizinan daripada suami atau walinya. Bekerja juga dibolehkan selagi pekerjaannya tidak menjerumuskan dirinya kepada perkara yang haram seperti tidak boleh menutup auratnya dengan sempurna di tempat umum, pergaulan dengan lawan jenis yang boleh menimbulkan fitnah seperti seorang setiausaha wanita yang perlu menemani ketua pejabatnya seorang lelaki kemana-mana dengan menaiki kenderaan peribadi tanpa ditemani mahramnya.

Apakah Jalan Penyelesaian menurut Syarak?

Islam selaku mualajah lil masyakil insan (penyelesai permasalahan manusia) mempunyai pelbagai hukum-hakam untuk memastikan kemaslahatan manusia dengan hukum-hakam seperti berikut:

Jaminan Pemenuhan Keperluan Pokok (primary needs). Islam telah menetapkan keperluan pokok manusia terdiri daripada makanan, pakaian dan tempat tinggal. Walaubagaimanapun, jaminan pemenuhan keperluan pokok bagi setiap individu tidak bererti negara akan membahagi-bahagikan makanan, pakaian, dan perumahan kepada sesiapa sahaja sehingga menjadikan rakyatnya malas, sebaliknya, ia dilakukan dengan mewujudkan mekanisma-mekanisma yang dapat menangani masalah kemiskinan. Mekanisma tersebut adalah:
a. Mewajibkan Lelaki Memberi Nafkah Kepada Diri dan Keluarganya. Islam mewajibkan lelaki yang mampu dan memerlukan nafkah untuk bekerja dalam rangka memenuhi keperluannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:”Kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan car ayang ma’ruf.” [TMQ Al-Baqarah (2): 233]. Dalil ini menunjukkan secara pasti bahawa suamilah yang perlu bekerja, dan bukan sang isteri!
b. Mewajibkan saudara terdekat untuk membantu saudaranya. Ini bermakna kepada orang yang tidak punya pendapatan untuk menafkahi dirinya dan anak-anak seperti golongan ibu tunggal, pemenuhan nafkahnya adalah menjadi tanggungjawab kerabat terdekat yang memiliki hubungan darah untuk membantu mereka. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman yang bermaksud: “…Dan kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya. Dan warispun berkewajipan sedemikian…” [TMQ al-Baqarah (2): 233]. Jika seseorang secara peribadi tidak mampu memenuhi keperluannya maka kewajiban memenuhi nafkah beralih ke kerabat terdekatnya sekiranya terdapat kelebihan harta. “Sebaik-baik sedekah adalah harta yang berasal dari selebihnya keperluan.” [HR. Imam Bukhari dari Abu Hurairah].
c. Mewajibkan Negara untuk Membantu Rakyat Miskin. Jika seseorang yang miskin tidak memiliki saudara yang boleh membantunya, kewajiban memberi nafkah beralih ke Baitul Mal (kewangan negara). Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam pernah bersabda: “Siapa saja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya, dan siapa saja yang meninggalkan ‘kalla’ (sebatang kara iaitu orang yang lemah, tidak mempunyai anak dan ibu-bapa), maka dia menjadi kewajiban kami.” [HR. Imam Muslim]. Disini kita juga melihat bahawa hukum asal bekerja tidak wajib kepada wanita kerana keperluan asasnya akan dipenuhi oleh pemerintah melalui Baitul Mal.
d. Mewajibkan Kaum Muslim untuk Membantu Rakyat Miskin. Apabila di dalam Baitul Mal tidak ada harta sama sekali, maka kewajiban menafkahi orang miskin beralih ke kaum Muslim secara kolektif. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: “Di dalam harta mereka, terdapat hak bagi orang miskin yang meminta-minta yang tidak mendapatkan bahagian.” [TMQ Az-Zariyat (51): 19]. Mekanisma ini dilakukan dengan dua cara. Pertama, kaum Muslim secara individu membantu orang-orang yang miskin. Kedua, negara mewajibkan dharibah (cukai) kepada orang-orang kaya, hingga mencukupi keperluan untuk membantu orang miskin. Cukai ini hanya diwajibkan ketika Baitul Mal benar-benar kehabisan sumber kewangan.

2. Pengaturan Pemilikan. Pengaturan pemilikan yang dimaksud mencakup tiga aspek, iaitu jenis-jenis pemilikan iaitu pemilikan individu, pemilikan umum dan pemilikan negara, pengelolaan pemilikan dan pengagihan kekayaan di tengah-tengah masyarakat. Pemilikan umum menjadikan aset-aset milik masyarakat seperti emas, perang, petroleum tidak boleh dimonopoli individu atau syarikat seperti masa kini sebaliknya ia menjadi milik seluruh manusia untuk sama-sama memanfaatkannya. Pengelolaan aset-aset ini akan dapat digunakan pemerintah untuk memberi manfaat kepada rakyat sehingga kesannya menyebabkan wanita tidak perlu bekerja kerana telah ada pemerintah untuk mencukupi keperluannya melalui pengagihan kekayaan (distribution of wealth) kepada seluruh anggota masyarakat.

Khatimah

Pada hari ini, wanita yang terpaksa bekerja untuk memenuhi keperluan pokok diri dan tanggungan mereka hanyalah merupakan masalah cabang (furu') iaitu simptom atau gejala dan bukannya penyakit sebenar. Kewujudan pemerintah yang tidak melaksanakan seluruh hukum-hakam Islam menyebabkan jalan penyelesaian menurut syarak untuk mengatasi kemelut yang melanda kaum Hawa yang dikemukakan di atas kekal sebagai teori semata. Oleh kerana itu, sangatlah perlu bagi umat Islam untuk berusaha mengembalikan Islam dalam kehidupan sehingga pada akhirnya akan tertegak sebuah negara Daulah Khilafah untuk melaksanakan Islam Kaffah, termasuk di dalamnya sistem ekonomi Islam (nizamul iqtisad fil Islam) untuk mengatur urusan umat sehingga keperluan pokok mereka dapat dipenuhi. Natijah akhirnya ialah kaum wanita tidak perlu bekerja kerana seluruh hukum-hakam untuk menjaga umat ini akan memastikan kemaslahatan mereka terjamin. Sudah tentu, keadaan ini akan dapat memberi ketenangan kepada kaum wanita untuk menjalankan peranan utamanya selaku ummun wa rabbatul bayt dengan sempurna dan Islam benar-benar adalah rahmatan lil ‘alamin.

Wallahu ‘alam bisshawab.

No comments:

Post a Comment