Monday, May 11, 2009

ISLAM -VS- ISLAM MODERAT

Slogan kembali kepada cara hidup Islam sering berkumandang di dunia Islam. Umat Islam yang dahulunya telah tertipu dengan slogan-slogan Barat atas nama kemajuan telah mula beralih arah. Mereka mula menyedari bahawa untuk mencapai kemajuan duniawi dan keselamatan ukhrawi mereka perlu kembali ke pangkal jalan. Kalau dulu mereka tersesat jauh dibawa badai Kapitalisme dan Sosialisme, sekarang mereka telah mula mencari jalan pulang. Fenomena ini kelihatan bermula tahun 1980an di mana kemenangan parti yang dilabel Islamik di sesebuah negara yang mendukung negara sekular adalah antara realiti yang berbicara tentang perkara ini. Sikap pemimpin-pemimpin negara sekular yang menyokong dasar luar Amerika untuk menyerang negeri kaum Muslimin, mempopularkan lagi parti Islam yang dilihat sebagai alternatif. Kalau dulu parti Islam sering dikaitkan dengan kemunduran, kejumudan dan fanatik, namun setelah era kebangkitan Islam, parti-parti ini mula dilihat sebagai penyelamat. Jadi tidak hairanlah jika parti sekular sekalipun mula bercakap tentang Islam dan berusaha untuk menempelkan Islam dalam perjuangan mereka. Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Abdul Razak, “Soal perjuangan untuk agama bukan saja tidak dapat dipisahkan dengan UMNO, tapi hari ini UMNO benar-benar menyerlah dalam perjuangan untuk membangunkan Islam dalam negara” [Bernama 31/10/2007]. Di dalam ucapan yang sama, beliau juga menyatakan bahawa di bawah kepimpinan UMNO sekarang, platform agama Islam tidak lagi dimiliki oleh mana-mana kumpulan lain kerana umat Islam dapat melihat sendiri kemajuan yang dicapai di bawah pentadbiran UMNO.Dalam memberikan penekanan ke atas keprihatinan Malaysia dalam membangunkan Islam, kerap kali ahli politik cuba mengalihkan perhatian umat tentang Islam, mereka tidak ingin membincangkan aspek perundangan Islam dalam negara sebagai metodologi untuk membangun masyarakat tetapi mereka lebih suka menonjolkan pelbagai ‘syiar’ yang menjadi ‘bukti’ kepada komitmen ini. Sebagai contoh, memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia telah banyak membina pelbagai bangunan yang menampilkan ciri reka bentuk Islam yang hebat. Beberapa mercu tanda Islam yang ada di seluruh negara sangat mengagumkan sehingga kebanyakan pelancong dari luar negeri yang datang merasa takjub dengan kehebatan seni bina berkhatkan tulisan ayat Al-Quran yang menampilkan ciri-ciri reka bentuk Islam yang unik dan menarik. Budaya untuk memperlihatkan Islam dari ‘kulit’ telah berleluasa yang menampilkan simbol dan syiar walhal langsung tidak ada roh Islam di dalamnya. Keadaan ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Rasulullah lebih 1400 tahun yang lalu,“Sudah hampir (tiba) suatu masa di mana tidak tinggal lagi dari Islam itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal dari al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, namun kosong dari petunjuk. Ulama’ mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kulit langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali [HR Baihaqi].Islam Moderat (Sederhana)Selain masjid-masjid yang dijelaskan oleh Rasulullah yang telah roboh dari petunjuk, banyak lagi syiar Islam lainnya yang turut runtuh dengan diterapkan sistem sekular yang ada sekarang. Setiap pembangunan dan acara-acara yang dibuat atas nama Islam sebenarnya boleh dipersoalkan ‘keIslamannya’. Di Malaysia contohnya, jika kita mengkategorikan segala manifestasi untuk memartabatkan ‘Islam dan syiarnya’ sebagai sebuah kejayaan bagi Islam, maka sudah tentulah banyak negara lain, termasuklah negara-negara bukan Islam yang jauh lebih menonjol ‘keIslamannya’ dari Malaysia. Sebenarnya, telah dijadikan lumrah bahawa setiap ‘kejayaan’ yang dicapai oleh orang Melayu, baik di dalam bidang sains, teknologi mahupun kemanusiaan, maka ia kerapkali akan dikaitkan dengan ‘kejayaan’ Islam. Hakikatnya, walaupun bangsa Melayu tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, namun setiap kejayaan melayu itu tentunya tidak boleh dianggap sebagai kejayaan Islam! Ia adalah dua perkara yang berbeza. Meletakkan kejayaan ‘bangsa’ sebagai kejayaan ‘Islam’ adalah suatu yang jelas-jelas keliru dan salah.Sebagaimana yang kita sedia maklum, hasil dari penerapan sistem sekular yang berdiri atas dasar kompromi di antara golongan gereja dan cendekiawan (di Barat), maka dari sinilah ajaran ‘jalan tengah’ telah dijadikan asas oleh orang Islam untuk banyak perkara termasuk di dalam bidang pemerintahan. Contohnya, ‘jalan tengah’ yang diambil oleh sebuah negara yang majoriti penduduknya Islam tetapi terdapat golongan bukan Islam di dalamnya adalah dengan mengamalkan undang-undang kufur di campur sedikit undang-undang Islam yang sederhana (bukan undang-undang Islam yang sebenar). Contoh ini dapat dilihat dengan jelas di Malaysia dengan wujudnya dua sistem mahkamah sebagai pelaksanaan undang-undang yang mengkompromikan kewujudan orang-orang kafir di dalam negara. Hasilnya wujudlah dua sistem mahkamah iaitu satu mahkamah sivil (mahkamah kufur) dan satu lagi mahkamah syariah. Jika hanya wujud satu mahkamah syariah sahaja (atau dicadangkan agar diwujudkan satu mahkamah syariah sahaja), ini tentunya akan dianggap ekstrem dan menghilangkan konsep ‘Islam Sederhana’ yang dicanangkan oleh pemimpin di bawah sistem sekular. Begitu juga, agar sesuai dengan ‘Islam sederhana’ dan tidak dianggap ekstrem, maka hukum rejam atau sebat 100 kali bagi penzina tidak boleh dijalankan. Adalah ‘teramat ekstrem’ untuk merejam atau menyebat penzina sebanyak 100 kali, jadi dibuatlah dan diluluskanlah undang-undang bahawa penzina hanya disebat maksimum 6 kali sahaja. Kita agak pelik kerana kalau mengikut tafsiran sederhana atau ‘konsep pertengahan’ yang diambil oleh pemimpin sekular ini sendiri, sepatutnya sebatan 50 kali-lah yang lebih sesuai, namun mereka tidak melakukannya. Mungkin pada pandangan mereka sebatan 50 kali pun adalah ekstrem. Jadi yang sederhana dan tidak ekstrem adalah 6 kali sahaja!Bagi memastikan bahawa ‘keperluan’ kaum non-Muslim dan juga Muslimin di Malaysia ‘dipenuhi’ maka dilakukanlah kompromi antara Islam dan Kapitalisme di dalam sistem perundangan negara yang menyaksikan Islam mestilah diperlakukan dengan serba sederhana. Mahkamah Syariah hanya dibenar melaksanakan hukum-hakam Islam yang bersifat ‘sederhana’ sahaja dan tidak boleh sama sekali melaksanakan Islam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dan RasuluNya kerana ia bersifat ekstrem. Atas dasar bersikap moderat inilah, pemimpin-pemimpin kafir di dunia terutamanya George Bush la’natullah sering memuji perlaksanaan Islam di Malaysia yang dikatakan bersifat serba sederhana (moderate).Islam Sederhana vs Islam TerbaikApabila Barat menyerang umat Islam, mereka sering menggunakan istilah Islam Radikal, Islam Ekstrem dan Islam Moderat (sederhana). Mereka sering menyampaikan mesej bahawa Islam moderat adalah Islam yang terbaik. Konsep moderat ini kemudian digunakan oleh beberapa cendekiawan Islam untuk menerangkan bahawa umat Islam adalah umat washatiyyah, iaitu umat pertengahan (moderat). Pengertian ini di ambil dari ayat,“Demikian pula kami telah menjadikan kalian sebagai umat pilihan yang adil agar kalian menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian” [TMQ Al Baqarah (2):143]Sebagai seorang muslim, kita mestilah memahami bahawa ‘ummatan wasathan’ adalah lafaz yang digunakan oleh Allah berkenaan umat Islam yang merupakan umat yang terbaik yang dikeluarkanNya untuk manusia. Ummatan wasathan merupakan satu status yang mulia yang Allah letakkan ke atas hamba-hambaNya yang beriman di dalam risalahNya yang dengannya juga, Allah meletakkan tugas kepada hamba-hambaNya ini untuk membawa dan menyebarkan risalahNya ke seluruh dunia. Ummatan wasathan juga merupakan satu bentuk ‘kriteria’ syara’ yang Allah letakkan ke atas umat Islam di mana ‘kualiti’ hambaNya ini diukur dan dinilai olehNya. Dalam rangka mematuhi perintah Allah agar umat Islam mencapai status ummatan wasathan, kita akan dapat melihat sama ada mereka ini (umat Islam) berusaha untuk meraih pujian/redha dari Allah atau pujian/redha dari manusia. Jadi atas dasar inilah kita perlu membincangkan dan memahami makna sebenar ummatan wasathan. Banyak pihak yang sebenarnya apabila membincangkan istilah ini langsung tidak merujuk kepada kitab-kitab tafsir tetapi sekadar ‘bertaklid buta’ dengan apa yang didengar. Ada pula pihak yang hanya membuat tafsiran sendiri atas dasar kepentingan peribadi atau dalam rangka mengikut telunjuk musuh Allah. Oleh itu, kita dapati pada hari ini umat Islam tidak lagi melihat istilah ummatan wasathan di dalam perspektif yang sebenar, kerana mereka telah terkeliru (atau dikelirukan) atau telah diputarbelitkan oleh sesetengah pihak.Ada pihak yang cuba memberikan tafsiran moden tentang ummatan wasathan berdasarkan tafsiran yang dibuat atas dasar (kononnya) untuk ‘membela Islam’ atau ‘rasa bersalah’ setelah diserang (secara pemikiran) oleh Barat. Hal ini lahir dari pemikiran orang-orang yang mengambil atau menafsir Islam agar sesuai dengan apa yang Barat kehendaki, bukannya menurut apa yang Allah kehendaki. Mereka sekadar mengambil Islam sebagai agama untuk ‘menjawab serangan’, bukannya agama untuk menyebarkan kebenaran. Mereka sebenarnya adalah golongan yang menundukkan tafsiran ayat-ayat Allah atas kehendak musuh. Mereka mengatakan bahawa maksud ummatan wasathan adalah ‘umat pertengahan’ atau ‘umat sederhana’ dan cuba menjelaskan bahawa ‘wasath’ bermaksud pertengahan di antara ‘ekstremis’ dengan ‘terlalu ambil mudah’. Ada juga yang mengatakan bahawa ‘wasath’ itu perlu bergantung kepada tempat (di mana) kita berada, contohnya jika di Malaysia, seseorang itu mungkin di anggap ekstrem jika melakukan demonstrasi atau bantahan jalanan, tetapi di Palestin perlakuan yang sama tidak dianggap ekstrem. Begitu juga kita mungkin dianggap ekstrem (di Malaysia) jika ingin menerapkan sistem Islam secara kaffah (keseluruhan), tetapi jika sesiapa yang ingin menerapkan sekular secara kaffah, ini tidak dianggap ekstrem. Malah, bagi mereka, pemerintahan sekular dengan mengambil sedikit Islam sebagai resipi atau perencah di dalam pemerintahan, maka inilah ‘ummatan wasathan’ yang sebenarnya. Dengan kata lain, wasath bagi mereka adalah mengambil jalan tengah di antara Islam dengan sekular!Dengan adanya tafsiran-tafsiran beginilah yang telah menjerumuskan umat Islam ke dalam salah fahaman yang fatal. Dengan pemikiran sekular yang ada pada pemimpin-pemimpin sekarang dan para ulama yang mengikut telunjuk mereka, maka tafsiran ummatan wasathan telah dipesongkan dengan sebegitu rupa agar pemerintahan sekular yang ada dapat terus dikekalkan dan mana-mana cubaan untuk mengembalikan Islam secara kaffah dapat disekat atas ‘dalih’ berlawanan dengan konsep ‘wasath/kesederhanaan’ yang dibawa oleh Islam. Justeru, tafsiran sebenar berdasarkan kitab-kitab tafsir tentang makna ummatan wasathan perlu dirujuk oleh umat Islam agar tidak terperangkap dengan menjadikan ayat-ayat Allah tunduk kepada hawa atau kepada kehendak musuh. Nas-nas hadis yang menyentuh hal ini juga mestilah dirujuk dengan sepenuhnya agar umat Islam tidak terpesong mengambil pendapat yang menyeleweng.Dalam ayat, “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasathan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu...”. perkataan ‘wasathan’ yang merujuk kepada ‘umat Islam’ membawa maksud bahawa, pertama: ‘persaksian’ umat Islam terhadap umat yang lain dan kedua: ‘persaksian’ Rasulullah terhadap umat Islam.Secara lughah (bahasa), perkataan ‘wasath’ bermaksud adil, terbaik (dari segi kebaikan dan kualiti), yang paling utama, yang paling mulia. Disebut di dalam Lisan Al-Arab bahawa - “perkara yang paling ‘wasath’ ialah yang paling baik, yang paling benar dan yang paling adil”. Ibnu Katsir menyebut, “wasath adalah pilihan yang paling baik dan kualiti yang paling baik” sebagaimana dikatakan, “Quraisy adalah yang paling wasath (baik) di kalangan orang Arab dari segi keturunan dan kualiti hidup. Juga dikatakan, “Muhammad Rasulullah adalah yang paling wasath (baik) di kalangan kaumnya” yakni yang paling mulia di kalangan mereka.Makna wasath dari segi bahasa hampir sama dengan makna istilah (makna syar’i)nya. Diriwayatkan oleh at-Tarmizi dari Abu said al-Khudri dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berkenaan firman Allah “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasathan”, dia berkata “(maknanya) umat yang adil”, dan katanya lagi, hadis ini (statusnya) hassan sahih. Imam Qurtubi juga menukilkan bahawa makna ‘wasath’ adalah ‘adil’. Syeikh Atha’ Abu Rusythah semasa menjelaskan makna ayat tersebut di dalam kitabnya Al-Taisir Fi Usul al-Tafsir menyatakan, “Ayat ini di dalam bentuk sighah al-ikhbarnya datang sebagai satu thalab (tuntutan), maksudnya suatu tuntutan untuk kita menyeru manusia kepada Islam” dan beliau menambah, “Keadilan merupakan satu syarat untuk menjadi saksi (atas bangsa lain), justeru ‘ummatan wasathan’ adalah satu umat yang layak menjadi saksi atas umat (bangsa) yang lain. Ini adalah satu penghargaan dari Allah dan suatu keutamaan untuk orang-orang Islam (dengan menjadikan mereka sebagai ummatan wasathan).Maksud ummatan wasathan sebagai ‘umat/saksi yang adil’ juga boleh difahami dari ayat itu sendiri di mana selepas Allah menyebut ummatan wasathan, disambung selepasnya dengan “...agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu...”. Ayat ini tidak boleh dibaca secara terpisah untuk memahami apa yang ingin disampaikan oleh Allah kepada umat Islam. Dengan ini sahaja, barulah kita akan memperoleh makna sebenar yang dikehendaki. Dari sini, kita dapat memahami bahawa maksud wasath langsung tidak bermakna atau ada kena mengena dengan sederhana, pertengahan mahupun moderat. Kita juga akan memahami bahawa makna wasath sebenarnya langsung tidak ada kena mengena dengan ukuran di antara ‘ekstrem’ atau ‘terlalu mengambil mudah’ mahupun berada di pertengahan di antara kedudukan-kedudukan tersebut. Juga langsung tidak ada hubung kaitnya dengan keperluan bersederhana dalam segenap hal. Lafaz atau maksud wasath dalam ayat tersebut adalah ‘status keadilan dan kebaikan’ yang wajib dimiliki dan dicapai oleh umat Islam, bukannya ‘status moderat’ yang perlu diraih. Wasath langsung tidak membawa maksud keperluan untuk bersederhana di dalam agama, ataupun sebagai satu ‘jalan tengah’ yang perlu dicari di dalam setiap perkara. Ummatan wasathan menghendaki atau membawa maksud agar umat Islam menjadi saksi yang adil atas umat-umat yang lain.Dari penjelasan di atas, ternyata, makna wasath yang ditafsirkan sebagai ‘sederhana’ hanyalah satu makna yang baru muncul atau baru dikenal. Makna wasath beginilah (sederhana/moderat) yang dikehendaki oleh Barat atau musuh Islam agar umat Islam faham dan berpegang dengannya. Barat mencanangkan bahawa ‘ekstrem’ adalah buruk dan moderat (sederhana) adalah baik, lalu mereka melabelkan umat Islam (yang mereka benci) sebagai ekstrem dan yang mereka sayang sebagai moderat. Mereka lalu mempropagandakan bahawa muslim (termasuk pemerintah) yang baik adalah muslim yang moderat (sederhana) dan sikap moderat atau sederhana adalah satu sikap yang akan membawa keamanan dan kedamaian. Pemimpin-pemimpin sekular lalu ‘akur’ dengan makna atau ‘tafsir’ yang diseru dan dibawa oleh kafir Barat ini, lalu tanpa segan silu menyatakan dan mengisytiharkan bahawa mereka adalah muslim moderat dan semua muslim perlulah bersikap moderat (sederhana). Sesungguhnya mereka telah masuk ke dalam perangkap kafir Barat dengan mentafsir ayat-ayat Allah mengikut hawa agar sesuai dengan kehendak Barat, bukannya mengikut tafsir para mufassirin (ahli tafsir) yang sesuai dengan kehendak Islam.Pengarang kitab Al-Taisir Fi Usul al-Tafsir seterusnya menerangkan, “ummatan wasathan” dengan ini bermaksud bahawa umat Islam adalah saksi yang adil ke atas semua bangsa setelah (kedatangan) Islam dengan seruan (yang dilakukan) oleh umat Islam ke atas mereka. Ummatan wasathan juga bermaksud bahawa umat Islam adalah saksi yang adil ke atas umat sebelum (kedatangan) Islam dari pengetahuan mereka terhadap seruan nabi-nabi terdahulu kepada umat masing-masing, sebagaimana dinyatakan oleh Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Ahmad,“Pada hari kiamat nanti, seorang nabi akan dihadapkan dengan seorang lelaki atau dua atau tiga, kemudian kaumnya akan dipanggil dan ditanya, ‘Adakah orang (nabi) ini telah menyampaikan (risalah Allah)?’ Mereka (kaum nabi) itu menjawab, ‘Tidak’. Nabi tadi lalu ditanya, ‘Adakah engkau telah menyampaikan (risalah Allah) kepada mereka?’ dan dia (nabi) menjawab ‘Ya’. Dan dia (nabi tadi) ditanya lagi, ‘Siapakah saksimu?’ lalu dia (nabi tadi) menjawab, ‘Muhammad dan umatnya’. Muhammad dan umatnya lalu dibawa ke hadapan dan ditanya, ‘Adakah orang (nabi) ini telah menyampaikan (risalah Allah) kepada kaumnya?’. Mereka (Muhammad dan umatnya) menjawab, ‘Ya’. Mereka (umat Muhammad) kemudian ditanya, ‘Dari mana kamu mendapat pengetahuan (tentang hal ini)?’ Mereka (umat Muhammad) menjawab, ‘Nabi kami Muhammad saw datang dan menyampaikan kepada kami bahawa nabi-nabi terdahulu telah menyampaikan kepada kaum (umat) mereka. Firman Allah, “Demikian pula kami telah menjadikan kalian sebagai umattan wasathan (umat/saksi yang adil) agar kalian menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian”Dalam riwayat lain disebutkan,“...kemudian Muhammad saw dihadapkan dan ditanya tentang umatnya, lalu dia berbicara tentang kebaikan umatnya dan dia (Muhammad) menjadi saksi tentang kualiti keadilan umatnya sesuai dengan firman Allah, “Demikian pula kami telah menjadikan kalian sebagai umat pilihan yang adil agar kalian menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian”Masih ada banyak lagi hadis yang (kerana keterbatasan ruang) tidak dapat diungkapkan di sini yang menunjukkan ‘ummatan wasathan’ adalah bermaksud ‘saksi yang adil’. Jika ‘ummatan wasathan’ tidak diterjemah dengan makna ‘saksi yang adil’, sesungguhnya ayat Allah di dalam surah Al-Baqarah:143 akan menjadi tidak bererti lagi. Ini kerana, jika ‘ummatan wasathan’ diterjemah sebagai ‘umat sederhana (moderat)’ sesungguhnya ia telah lari atau langsung tidak ada kena mengena dengan tugas ‘menjadi saksi atas umat yang lain’, kerana sifat dan syarat untuk menjadi saksi mestilah adil. Jadi, ayat ini sesungguhnya menerangkan tentang tugas (dan penghormatan) yang telah Allah berikan kepada umat Muhammad sebagai ‘saksi’ atas umat-umat yang lain dan sifat sebagai saksi menuntut syarat seseorang itu menjadi adil. Justeru, hanya dengan meletakkan tafsiran yang benar, betul dan tepat sahajalah yang akan meletakkan ayat ini di atas tempat letaknya yang sebenar. Oleh itu, ummatan wasathan hendaklah diberikan maknanya yang sebenar iaitu ‘umat/saksi yang adil’. Dengan ini barulah umat yang terbaik ini mendapat statusnya yang terbaik, di dunia dan akhirat. Inilah umat yang adil dan menjadi pilihan Allah, yang menjadi saksi yang adil atas umat manusia lainnya, di dunia dan di akhirat. Inilah umat pilihan Allah – umat yang terbaik dan yang terbaik dalam setiap perkara, bukannya umat yang sederhana yang bersederhana dalam setiap perkara!KhatimahWahai kaum Muslimin! Allah swt sebagai Rabb yang mencipta agama Islam tidak pernah mengajar kita bahawa di dalam deenul Islam yang dibawa oleh RasulNya ini ada yang dinamakan Islam Moderat (Sederhana), Islam Ekstrem, Islam Radikal dan sebagainya. Yang ada hanyalah Islam sahaja. Label-label keji tersebut hanyalah ciptaan musuh-musuh Islam khususnya Barat yang senantiasa membenci Islam dan tidak mahu melihat agama Allah ini dilaksanakan secara kaffah. Sesungguhnya mereka teramat benci dan takut akan terlaksananya hukum-hukum Islam yang sebenar sebagaimana yang telah terlaksana pada zaman Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin. Justeru, mereka siang-siang lagi telah melabelkan Islam sebagai ekstrem dan ganas dan hukum yang paling ‘ganas’ yang dilabelkan oleh mereka adalah jihad, kemudian diikuti dengan hukum-hukum yang lain. Justeru, kafir Barat telah mengajar ‘Islam’ kepada kita semua bahawa ‘Islam’ itu mestilah sederhana dan tidak boleh ekstrem. Maka ‘ajaran Islam’ yang dibawa oleh Barat ini telah diterima dengan sepenuh hati oleh pemerintah muslim sekular yang ada, lalu menjadilah mereka muslim atau pemerintah Islam yang sederhana (moderat), sesuai dengan kehendak Barat. Wallahua’lam.

EKSTREMIS ISLAM -VS- EKTREMIS SEKULAR

Umat Islam telah lama dilabel oleh Barat sebagai terrorist (pengganas). Ini dilakukan di dalam usaha Barat untuk menghapuskan umat Islam dan menakluk negeri-negeri kaum Muslimin. Mereka ‘mencipta’ beberapa kejadian dan mencari ‘kambing hitam’ untuk dijadikan korban. Setelah itu, mereka memaksa dunia menerima bahawa merekalah yang akan menyelamatkan dunia dari ancaman terroris ini. Jika diteliti, selain terroris, banyak lagi cop-cop lain yang digunakan oleh Barat terhadap umat Islam dan perkara ini telah lama dilakukan oleh mereka. Barat melabelkan umat Islam sebagai fundamentalis, ekstremis, moderate dan sebagainya dan istilah-istilah ini telah dipropagandakan oleh mereka agar diterima pakai di seluruh dunia. Oleh itu, adalah suatu perkara biasa apabila istilah-istilah ini digunakan oleh sesiapapun dari kalangan umat Islam, baik dari kalangan rakyat mahupun pemimpin. Baru-baru ini, kita sekali lagi mendengar istilah ini disebut rentetan dari isu kongsi raya dan ucapan ‘Selamat Deepavali’. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Abdul Aziz Shamsudin, menyatakan, “golongan ekstremis agama yang kini membabitkan golongan bijak pandai adalah ejen pemusnah perpaduan paling berbahaya serta menjadi ancaman kepada keutuhan ikatan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini’. Malah golongan esktremis ini menurut beliau bakal menggagalkan RMK-9. [Mingguan Malaysia 22 Oktober 2006]. Begitulah persepsi negatif yang cuba digambarkan ke atas golongan ‘ekstremis’ ini. Walaupun tidak jelas kepada siapakah ucapan ‘ektremis’ itu ditujukan, namun mesej yang pasti adalah ‘mereka ini sangat merbahaya’. Sautun Nahdhah kali ini ingin membawa pembaca budiman meneliti penggunaan istilah-istilah seperti ini, yang kerapkali digunakan oleh pihak Barat dalam melabelkan Islam dan umat Islam yang istiqamah dengan Islam. SN juga akan membongkar makar jahat Barat dalam meracuni pemikiran umat Islam dan bagaimana mereka ’memaksa’ kita menggunakan istilah-istilah ciptaan mereka ini di dalam rangka memecah belahkan kesatuan kita.Usaha Barat Dalam Meracuni Pemikiran Umat IslamSemenjak Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berjaya menzahirkan Islam di atas segala deen-deen lain, kejayaan ini diteruskan pula dengan gilang-gemilang oleh para khalifah sesudah baginda. Kekuatan Negara Khilafah Umayyah, Khilafah Abbasiyyah dan Khilafah Uthmaniyyah memang tiada tolok bandingnya sehingga seluruh penjuru dunia mengetahui dan mengakui bahawa kekuatan Islam adalah kekuatan yang tidak mungkin dikalahkan. Golongan kuffar cuba untuk mengalahkan Islam dengan peperangan fizikal selama ratusan tahun, namun apa yang mereka perolehi hanyalah kekalahan demi kekalahan. Setelah menyedari bahawa peperangan fizikal tidak membuahkan hasil, maka golongan kuffar ini telah beralih kepada peperangan baru yang lebih dahsyat yakni peperangan pemikiran. Perang ini sebenarnya jauh lebih merbahaya kerana ia dirangka untuk merosakkan aqidah kaum Muslimin dan menghapuskan syariat Islam dari dalam. Melalui perang pemikiran ini jugalah Daulah Khilafah Uthmaniyyah yang begitu besar dan kuat telah berjaya dihancurkan. Racun assabiyyah dan wathaniyyah yang ditanam di dalam benak kaum Muslimin telah menyebabkan mereka terpecah belah kepada negeri-negeri kecil berdasarkan bangsa (nation states).Walaupun Daulah Khilafah telah berjaya dihancurkan, namun kebencian dan dendam mereka tidak berakhir di situ. Perang pemikiran diteruskan dalam pelbagai bentuk dan cara. Ini dilakukan bagi memastikan kaum Muslimin tetap di dalam perpecahan dan permusuhan dan agama Allah ini tidak akan kembali diamalkan oleh umat Islam. Mereka juga berusaha bagi memastikan agar Daulah Khilafah tidak akan muncul lagi. Mereka merancang dan melaksanakan perang baru ini dengan penuh sabar dan berhati-hati. Mereka telah menggunakan segala sarana yang ada untuk memastikan kejayaan mereka di dalam peperangan ini. Hari ini, kita dapat saksikan bahawa perang ini telah membuahkan hasil yang lumayan bagi kaum kuffar. Umat Islam hari ini bertelagah sesama sendiri dalam hal agama, berpecah dan membenci antara satu sama lain. Para pemimpin mereka pula berjaya dipengaruhi untuk menggunakan kuasa yang ada bagi memerangi dan memusuhi Islam serta umatnya.Kita mengetahui bahawa buat masa ini Amerika Syarikat (AS) menguasai dunia dengan sejumlah jaringan informasi raksasa yang mereka miliki. Dengan kekuatan ini, mereka berjaya mengawal dunia dan mengarahkan jaringan informasi negara-negara lain agar berkiblat kepada mereka. Tujuannya adalah agar umat Islam tidak mendengar, kecuali apa yang disiarkan oleh mereka; tidak menonton, kecuali apa yang mereka tayangkan; tidak membaca, kecuali apa yang mereka tulis; tidak berbicara kecuali apa yang mereka bicarakan; tidak mengikut, kecuali apa yang mereka arahkan dan tidak berfikir, kecuali menurut sebagaimana yang mereka inginkan. Terhadap Islam, AS menginginkan agar kita memahaminya dengan cara berfikir mereka. Oleh itu, jika ada orang yang menyimpang dari cara pandang mereka, maka AS akan segera menggerakkan media massanya untuk menyerang. Mereka akan menggambarkan orang tersebut sebagai berlawanan dengan Hak Asasi Manusia, tidak demokratik, perosak perpaduan, pengacau keamanan dan sebagainya. Mereka akan menyatakan kepada dunia bahawa ini adalah golongan ekstremis, fundamentalis, terroris, radikal dan merbahaya.Istilah-istilah sebegini direka dan dimanipulasi oleh AS untuk membawa satu konotasi yang negatif dan buruk. Merekalah yang mula-mula mencipta istilah-istilah ini dan mereka berjaya memaksa dunia menerima makna-makna istilah ini sebagaimana makna yang dimaksudkan oleh mereka. Dahulu, istilah ‘Mujahidin’ pernah digunakan oleh Amerika Syarikat dengan makna ‘pejuang kebebasan’. Akhbar-akhbar di AS dan Britain menonjolkan istilah ‘Mujahidin’ dengan makna yang positif, sesuai dengan agenda AS dan sekutunya dalam menyekat kemaraan USSR di Afghanistan. Setelah kejayaan kelompok Mujahidin di Afghanistan dan kelompok ini tidak lagi menyebelahi AS, maka AS telah melabelkan golongan ini (Mujahidin) sebagai ‘terroris’ yang didalangi oleh kelompok Taliban dan Al Qaeda, walaupun pada hakikatnya mereka adalah orang yang sama.Selain istilah ‘terroris’, AS dan sekutunya juga telah mempopularkan istilah ‘ekstremis’ (pelampau), yang tidak lain hanyalah ditujukan kepada umat Islam. Golongan yang berjuang di jalan Allah dicop sebagai ekstremis. Mana-mana orang yang tidak berfikir cara Barat, mana-mana orang yang tidak sehaluan dengan Barat dan mana-mana orang yang ingin mengamalkan ajaran Islam, tetapi tidak sesuai dengan kehendak Barat, maka golongan ini akan dicop sebagai ‘ekstremis’. Pada masa yang sama, Barat mempropagandakan istilah ‘moderate’ (sederhana) dan meracuni pemikiran umat Islam bahawa kelompok Islam yang ‘baik’ adalah kelompok moderate (sesuai dengan kehendak Barat). Mereka mengheret dunia agar bersetuju dengan mereka melalui istilah-istilah yang dilontarkan. Di dalam hal ini, Menteri luar Australia, Alexander Downer pernah berkata, ”Ekstremis Islam mahu menenggelamkan dunia ke dalam era pramoden tanpa teknologi dan tanpa hak untuk wanita. Mereka (kelompok ekstremis) ingin menghapuskan kepentingan Barat dan pengaruh dari negara-negara Islam, dan mereka ingin memusnahkan kerajaan-kerajaan Islam berpendirian sederhana. "Dan mereka mahu menggantikannya dengan rejim Islam ekstremis yang ganas, kejam dan tidak bertolak ansur.” [Utusan 02/10/05]Di dalam sebuah majlis makan malam anjuran Ahli-Ahli Kongres Amerika Berbangsa Yahudi bagi meraikan General Pervez Musharraf, Tom Lantos (salah seorang ahli kongres) melontarkan kata-kata pujian kepada General Pervez Musharraf, “When the civilized world is engaged in a global war against extremist Islamic terrorism, you have emerged as the quintessential Muslim leader of moderation, decency, reason, and acceptance of pluralism” (Apabila tamadun dunia (merujuk kepada AS dan sekutunya) bertembung dalam perang terhadap ekstremis Islam yang ganas, kamu telah muncul sebagai seorang muslim yang sederhana, baik, rasional dan menerima konsep pruralisma) [AFP].Tidak cukup dengan itu, istilah ekstremis yang telah digandingkan dengan istilah terroris dikaitkan pula dengan cita-cita untuk untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan penerapan syariat melalui Sistem Khilafah Islam. Ini jelas terlihat dari kenyataan Perdana Menteri Britain, Tony Blair pada 16 Julai 2005 di mana beliau telah mengaitkan kelompok ekstremis sebagai kelompok yang ingin menerapkan syariat melalui Sistem Khilafah Islam.Sesungguhnya cop-cop sebegini dilontarkan oleh Barat kepada umat Islam, agar kita mentafsirkannya mengikut tafsiran mereka. Malangnya sekarang ini, bukan sahaja Barat, kita juga melihat bahawa cop-cop ini telah dilontarkan pula oleh sesetengah kaum Muslimin termasuk para pemimpin, kepada umat Islam, dengan konotasi yang sama. Jika suatu waktu dahulu, di zaman kebebasan individu mula melanda negeri dan tubuh umat Islam, mana-mana perempuan yang memakai tudung labuh akan dianggap sebagai ekstrem. Sesiapa sahaja yang berjubah dan berserban juga dianggap sebagai ekstremis agama. Ringkasnya, sesiapa sahaja yang cuba berpegang teguh dengan ajaran agama akan dilabelkan sebagai pelampau. Golongan yang tidak ekstrem adalah mereka yang tidak bertudung, minum arak, pergi ke pub-pub atau kelab malam, bercampuran lelaki dan wanita (bersosial) dan seumpamanya. Kedudukan ini masih kekal hingga sekarang, cuma sedikit berbeza dari segi perbuatan yang dipertuduhkan. Sekarang, sesiapa yang tidak mengambil riba dikatakan ekstrem, apatah lagi jika cuba untuk menghapuskan sistem riba, lagilah dikatakan ekstrem. Sesiapa yang tidak mengambil demokrasi juga dicop sebagai golongan yang ekstrem, apatah lagi jika cuba menghapuskan sistem demokrasi untuk digantikan dengan Sistem Khilafah Islam, lagi dahsyat ekstremnya. Pendek kata, sesiapa yang benar-benar berpegang kepada hukum syara’, maka mereka in adalah ekstremis. Sesiapa yang cuba untuk mengamalkan ajaran Islam dan menerapkan hukum-hukumnya, ini adalah golongan ekstrem. Sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kehendak Barat dan pemikirannya, maka mereka ini adalah ektremis dan sesiapa sahaja yang berjuang untuk menegakkan agama Allah, maka mereka inilah ekstremis ....Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa golongan yang dicop sebagai ekstrem oleh Barat adalah golongan yang dibenci dan ditakuti oleh Barat kerana ingin menegakkan hukum Allah. Golongan yang dicop sebagai ekstrem oleh para penguasa kaum Muslimin adalah golongan yang benar-benar berpegang teguh kepada agama Allah dan mereka ini adalah golongan yang ikhlas berjuang untuk memastikan agama ini zahir di atas agama-agama lain. Tiada apa yang mereka (yang dicop ekstrem) ini inginkan kecuali melihat agama Allah kembali ke muka bumi. Tidak ada apa-apa habuan dunia yang mereka harapkan, kecuali redha Allah. Tidak ada apa yang mereka kejar, kecuali syurga Allah. Apa yang mereka harapkan hanyalah kebaikan, kesejahteraan dan keharmonian hidup di dunia dan akhirat melalui penerapan Islam yang sepenuhnya. Kenapakah mereka dicop sebagai ekstremis? Kenapakah mereka dimusuhi oleh sesama umat Islam? Kenapakah mereka dibenci dan diburu? Sedarlah wahai saudaraku! Sesunguhnya semua ini adalah manifestasi dari racun kuffar Barat yang telah menular di dalam pemikiran kita agar kita bermusuhan antara satu sama lain serta membenci dan memerangi sesama kita. Pandanglah dengan pandangan Islam, dan Islam semata-mata. Buanglah racun ini sebelum ia membunuh kita ... kalian mampu melakukannya.Antara Bukti Perancangan BaratBukti bahawa Barat sekarang ini sedang memerangi umat Islam secara pemikiran adalah begitu jelas sehingga tidak perlu dilakukan kajian yang mendalam mengenainya. Barat sendiri dengan begitu angkuh dan sombong menyatakan hakikat ini. Bagi mewujudkan ’Muslim’ mengikut selera mereka, maka mereka mengetengahkan istilah ‘Moderate Muslim’ (umat Islam berhaluan sederhana). ‘Moderate Muslim’ ini merujuk kepada kelompok Islam yang berfikiran selari dengan pemikiran dan nilai-nilai yang dibawa oleh Barat. Kelompok moderate ini disokong oleh AS dan sekutunya dengan harapan agar golongan ini dapat menenggelamkan suara kelompok ekstremis. Bagaikan dipukau, umat Islam kemudian berusaha untuk ’menambat hati’ AS bagi mendapatkan gelaran ‘kelompok moderate’. Inilah kelicikan AS. AS seterusnya hanya akan menjadi penonton kepada drama pergaduhan serta perpecahan umat Islam. Maka, berebutlah umat Islam, termasuk pemimpin mereka, untuk melabelkan diri sebagai golongan moderate (sederhana). Mereka juga ‘bangga’ apabila telah dicop oleh Barat sebagai moderate, seolah-olah telah berjaya memenangi anugerah terbaik dari Pihak Penganjur (AS).Strategi melahirkan kelompok ’sederhana’ dan menghapuskan kelompok ekstremis ini telah dikemukakan oleh badan-badan intelektual di Barat. Antaranya adalah sebuah laporan yang dikeluarkan oleh RAND Coporation di bawah tajuk ‘The Muslim World After 9/11’. Ketua penyelidik dalam laporan ini, Dr. Angel Rabasa mencadangkan, “While only Muslims themselves can effectively challenge the message of radical Islam, there is much the United States and like-minded countries can do to empower Muslim moderates in this ideological struggle.” (Meskipun hanya umat Islam sahaja yang mampu secara efektif mencabar mesej yang ingin dibawa oleh kelompok radikal Islam, ada banyak sumbangan yang dapat diberikan oleh AS dan negara yang sehaluan dengannya untuk menggerakkan kelompok Islam sederhana dalam perang ideologi ini).Laporan itu menggesa AS dan sekutunya agar,(a) Create a strong and vocal network to unite the fractured voices of moderate Muslims. This can provide moderates with a platform for their message and provide alternatives to extremist movements. An external catalyst may be needed to give life to this goal. (Membentuk kerjasama di kalangan kelompok Muslim sederhana untuk menyuarakan pandangan mereka. Ini boleh menjadi platform bagi kelompok ini untuk menyalurkan pandangan mereka dan menyediakan alternatif kepada gerakan ektremis. Bantuan luar mungkin diperlukan untuk menghidupkan matlamat ini)(b) Support Muslim civil society groups that advocate moderation and modernity. The United States may have to assist in the development of civil society institutions where they do not currently exist. (Membantu kumpulan-kumpulan Islam yang menggalakan kesederhanaan dan kemodenan. AS akan membantu membentuk masyarakat sivil yang selama ini tidak wujud) (c) Disrupt radical networks. Engage Islamists to participate in the political process, and strengthen relations with the military in Muslim nations. In the war against terror, the U.S. should demonstrate that its efforts are meant to promote democratic change. (Lemahkan jaringan radikal. Galakkan kelompok Islam untuk terlibat dalam proses politik, dan kuatkan hubungan dengan pihak tentera di negara-negara umat Islam. Di dalam perang melawan keganasan, AS hendaklah menggambarkan dirinya sebagai juara dalam mempromosi perubahan demokratik).(d) Reform Islamic schools. Educational systems have long been a vital component of radical Islamic indoctrination and recruitment. The best way to counter this is to help Islamic schools ensure they are providing modern education and marketable skills for future generations. (Perbaharui sekolah-sekolah Islam. Sistem pendidikan telah lama menjadi unsur terpenting dalam proses indoktrinisasi dan merekrut kelompok radikal. Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini (Islam radikal) adalah dengan membantu sekolah-sekolah Islam memastikan bahawa mereka menawarkan pendidikan moden dengan kepakaran-kepakaran yang boleh dipasarkan untuk generasi akan datang).Cadangan-cadangan di atas tidak hanya berhenti di dewan-dewan seminar, ianya telahpun bermula. Ini dikukuhkan oleh kata-kata Gorge Bush,“Will we support the moderates and reformers who are working for change across the Middle East, or will we yield the future to the terrorists and extremists?” (Adakah kita akan memberi bantuan kepada kelompok sederhana dan kelompok pembaharuan yang berkerja untuk perubahan di Timur Tengah, atau menyerahkan pembentukan masa depan kepada golongan pengganas dan ekstremis?) [CNN].Ekstremis SekularSebagaimana kita maklum, kuffar Barat adalah golongan yang benar-benar berpegang kepada sekularisme. Mereka membunuh, memerangi dan menjajah kita dan menerapkan sistem kufur mereka ke atas kita atas nama sekularisme. Sistem kufur ini adalah sistem yang lahir dari aqidah sekularisme yang diamalkan oleh mereka – aqidah yang memisahkan agama dari kehidupan. Dengan kata lain, kuffar Barat adalah golongan yang benar-benar berpegang teguh dengan fahaman sekular mereka. Anehnya, mereka tidak pernah melabel diri mereka atau dilabel oleh mana-mana pihak sebagai ekstrem, namun begitu, umat Islam yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam pula, dicop sebagai ekstrem. Wahai kaum Muslimin! Tidakkah kalian sedar bahawa dunia Islam seluruhnya adalah dunia yang diterapkan di dalamnya sistem kufur yang berteraskan aqidah sekularisme? Telah bertahun lamanya negara-negara kaum Muslimin diperintah dengan ideologi kufur ini dan para pemerintah di dunia Islam telah berpegang teguh dengannya (sekularisme), dan tidak menyimpang darinya walau sejengkal. Jika umat Islam yang benar-benar berpegang teguh dengan Islam dicop sebagai ekstremis Islam, bukankah sepatutnya mereka yang benar-benar berpegang teguh dengan sekularisme dicop sebagai ekstremis sekular? Manakah yang lebih baik di antara ektremis Islam dengan ekstremis sekular? Mana yang lebih baik di antara mereka yang benar-benar ingin menerapkan Islam yang menjanjikan kesejahteraan dan kebaikan dengan mereka yang benar-benar ingin mempertahankan sekularisme yang telah terlalu banyak membawa kehancuran dan kerosakan di bumi Allah ini?? Mana yang lebih baik di antara mereka yang esktrem berdakwah dan berjuang untuk menegakkan Deen Allah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat yang mulia, dengan mereka yang ekstrem ingin menghapuskan para pejuang ini? Kebencian dan ketakutan golongan kuffar akan kembalinya Sistem Islam adalah sangat nyata dan mereka tidak mampu menyembunyikannya lagi. Ini jelas terpancar dari kata kata Setiausaha Dalam Negeri Britain, Charles Clark pada 5 Disember 2005 dalam ucapan beliau di ‘The Heritage Foundation’,‘Apa yang menggerakkan kelompok ini adalah pemikiran. Dan (kelompok ini) bukanlah seperti pergerakan pembebasan selepas Perang Dunia Kedua di kebanyakan tempat di dunia yang mengejar tujuan politik seperti kemerdekaan negara dari penjajah kolonial atau kesamarataan bagi semua penduduk tanpa mengira bangsa mahupun kepercayaan atau perjuangan kebebasan bersuara tanpa penindasan yang bersifat totalitarian. Secara prinsipnya, kita boleh bertolak ansur dalam cita-cita sebegini, dan kita sebenarnya telah pun bertolak ansur dalam kebanyakan kes. Walaubagaimanapun tidak ada tolak ansur tehadap perjuangan menegakkan semula Daulah Khilafah Islam, tidak ada tolak ansur terhadap perjuangan menerapkan Syariah Islam, tidak ada tolak ansur terhadap ancaman kepada kesamaan gender dan tidak ada tolak ansur terhadap sekatan ke atas kebebasan bersuara. Nilai-nilai inilah yang mendukung peradaban kita dan tidak boleh ada tolak ansur ke atasnya’.Wahai kaum Muslimin! Kafir Barat telah, sedang dan akan bersungguh-sungguh berusaha dengan apa cara sekalipun untuk memecahbelah dan melemahkan persatuan kita. Tuduhan mereka yang palsu dan penuh bias terhadap Islam dan penerapan Islam memanifestasikan kebencian dan dendam mereka terhadap Islam. Hakikatnya, Islam telah selama lebih 1300 tahun memberikan kesejahteraan dan kemajuan untuk umat manusia. Hakikat ini mereka cuba ketepikan, mereka cuba putarbelitkan. Mereka letakkan Islam di kandang pesalah dan mereka lontarkan pelbagai tuduhan sehingga ada di antara umat Islam yang turut sama menuding jari ke arah Islam dan mempersalahkannya. Barat sekali-kali tidak akan berhenti di dalam usaha ini. Mereka akan terus menggunakan kelompok ekstremis sekular untuk cuba melemah dan menghancurkan para pejuang Islam yang ikhlas. Wahai kaum Muslimin! Kita bersaudara. Kita adalah satu kesatuan. Haram untuk kita berpecah belah dan bermusuhan. Musuh kita adalah mereka yang menolak Allah dan RasulNya, bukan sesama kita. Marilah kita bersatu menunjukkan perpaduan dan kekuatan kita kepada musuh Allah ini. Buktikan bahawa peperangan fizikal mahu pun peperangan pemikiran yang mereka lancarkan ke atas kita adalah lemah berbanding keagungan dan kekuatan Islam; bahawa makar mereka adalah lemah dan Allah adalah sebaik-baik Pembalas Makar. Sesungguhnya Allah adalah bersama hamba-hambaNya yang ikhlas. Berdoalah akan kemenangan kita wahai saudaraku, sesungguhnya Allah itu adalah dekat dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengabulkan. Amin ya Rabbal ’alamin.

MENAGIH HAK ASASI MANUSIA, DARI SIAPA?

Pada 10 Disember lepas, kira-kira 50 orang yang terdiri daripada peguam dan aktivis telah mengadakan perarakan yang bermula di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke bangunan Majlis Peguam di Jalan Raja, Kuala Lumpur. Perarakan itu diadakan sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa yang disambut pada 10 Disember setiap tahun. Perarakan itu walaupun pada awalnya telah dirancang oleh Majlis Peguam, tetapi telah dibatalkan oleh mereka di saat-saat akhir. Namun beberapa orang peguam tetap meneruskannya. Sehubungan itu, pihak polis telah menahan empat orang peguam dan empat aktivis mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 kerana berhimpun secara haram [UM 10/12/07]. Walaupun hari Hak Asasi Manusia bukanlah merupakan satu sambutan yang utama di Malaysia, malah tibanya tidak dipinta dan perginya tidak ditangisi oleh sesiapapun, tetapi bagi sesetengah kelompok di Malaysia, hari Hak Asasi Manusia ini merupakan suatu yang amat bermakna dan diraikan sebagai satu anugerah bagi manusia.10 Disember dipilih sebagai hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa sebagai menghormati pengisytiharan ‘The Universal Declaration of Human Rights’ (UDHR) pada 10 Disember 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Di Malaysia, daya usaha menubuhkan sebuah institusi HAM pada peringkat nasional bermula dengan penyertaan Malaysia yang aktif dalam Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (United Nations Commission for Human Rights - UNCHR) pada tahun 1993-95 apabila Malaysia dilantik sebagai ahli Suruhanjaya tersebut oleh Majlis Ekonomi dan Sosial PBB. Sehubungan itu, pada 9 September 1999, tertubuhlah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Seksyen 2 Akta ini menyebut bahawa: “HAM merujuk kepada kebebasan asasi sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan”. Peruntukan-peruntukan dalam UDHR ini diakui di Malaysia selama mana ianya tidak tak selaras dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini dinyatakan dalam seksyen 4(4) Akta 597, seperti berikut: “Bagi maksud Akta ini, perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.”Setelah tertubuhnya SUHAKAM, maka ramailah rakyat Malaysia, termasuk gerakan-gerakan Islam sekalipun yang telah terperangkap dan terpedaya, lalu dalam banyak hal, datang menghadap SUHAKAM untuk menuntut hak dan mengharapkan badan ini agar dapat menyelesaikan tuntutan dan masalah mereka. Dari sini, istilah dan perjuangan menuntut Hak Asasi Manusia menjadi semakin popular dan mendapat tempat di hati rakyat. SN kali ini dengan ruang yang serba terhad akan menjelaskan apakah HAM yang baru dimunculkan oleh kuffar Barat ini merupakan suatu yang ‘suci’ sehingga perlu diambil dan diperjuangkan oleh umat Islam.Sejarah Ringkas HAMHak Asasi Manusia yang sebelumnya dikenali sebagai ‘hak-hak tabii’ (Natural Rights) merupakan sebuah produk pemikiran yang dominan di sekitar zaman pencerahan (renaissance) di Eropah. Ia lahir sebagai suatu penentangan terhadap manipulasi pihak gereja dan Raja Eropah terhadap rakyat atas nama hak ketuhanan yang ada pada raja (divine rights of the king). Sebelum zaman pencerahan Eropah, golongan gereja dan bangsawan selalu menghisap darah rakyat dan mendakwa mereka mewarisi hak dari Tuhan di mana rakyat tidak memiliki hak selain patuh kepada institusi gereja dan raja. Kemudian, disebabkan rasa tidak puas hati kerana sering ditindas semahunya oleh gereja dan golongan bangsawan, golongan cendekiawan dan kelompok-kelompok pedagang yang terpaksa membayar cukai yang tinggi kepada Institusi beraja mula bangkit. Mereka memobilisasi kelompok karyawan dan pekerja untuk mencetuskan Revolusi Perancis (1779-1789) dan dari saat inilah mereka mempopularkan idea hak asasi yang kemudiannya dijadikan slogan Revolusi Perancis. HAM kemudian dijadikan piagam dalam konstitusi Perancis yang ditetapkan tahun 1791. Sebelum itu slogan-slogan ini diangkat dalam revolusi Amerika Syarikat pada tahun 1776. Secara umum, HAM kemudian diterima pakai oleh seluruh negara Eropah pada abad ke 19, cuma pada saat itu HAM hanya menjadi urusan dalam negara masing-masing.HAM baru menjadi peraturan antarabangsa setelah Perang Dunia Kedua dan setelah berdirinya PBB, iaitu pada saat diumumkan UDHR pada tahun 1948. Kemudian, pada tahun 1961, deklarasi ini disusuli dengan Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak Sivil dan Politik (International Covenant on Civil and Political Rights). Pada tahun 1966, diumumkan pula Perjanjian Antarabangsa Tentang HAM, Ekonomi, Budaya dan Sosial. Meskipun demikian, semua ketetapan mengenai HAM tetap kekal sebagai sebuah peraturan antarabangsa dan AS baru berjaya menjadikannya sebagai undang-undang sejagat (iaitu peraturan yang tidak hanya diterima pakai oleh negara, tapi oleh individu rakyat di dalam negara) selepas tahun 1993, atau dua tahun selepas AS mendominasi PBB secara solo di peringkat antarabangsa setelah kejatuhan Sosialisme. Untuk mengukuhkan lagi HAM sebagai undang-undang dunia, AS kemudian menjadikan HAM sebagai salah satu asas strategi polisi luar negerinya. Ini terjadi pada akhir dekad 70-an pada masa kepimpinan Presiden Jimmy Carter. Sejak dari itu, Jabatan Luar Negara rejim AS selalu mengeluarkan penilaian tahunan mengenai komitmen negara-negara dunia untuk menerapkan HAM. Penilaian tahunan itu juga menilai sejauh mana negara-negara itu memberikan toleransi kepada rakyatnya untuk menjalankan HAM.Setelah dunia berada di dalam genggamannya, AS lalu mempropagandakan bahawa mereka adalah penjaga dan pejuang HAM. Kemudian HAM dijadikan ‘standard’ oleh AS untuk menilai negara-negara lain di mana rejim ini akan mengambil apa sahaja langkah yang perlu (termasuk perang) jika mereka mendapati negara-negara lain tidak mematuhi HAM. Penilaian ini telah dijadikan ‘justifikasi’ oleh rejim AS terhadap negara-negara, yang oleh Washington dianggap tidak mematuhi prinsip-prinsip HAM untuk mencampuri urusan dalaman negara berkenaan. Bagi yang buta politik, maka mereka akan mengagung-agungkan idea HAM yang dibawa oleh AS ini, tetapi bagi mereka yang sedar dan ikhlas, mereka akan nampak bahawa HAM hanyalah dijadikan ‘alat’ yang cukup efektif oleh AS untuk memastikan dunia terus berada di dalam genggamannya, dan yang paling utama, mereka dapat ‘mengawal dan menguasai’ pemikiran umat Islam. Justeru, kita menyaksikan bahawa atas alasan memelihara Demokrasi dan HAM, AS telah campur tangan di Haiti (1994), AS juga telah menyerang Afghanistan dan Iraq dan menyebabkan ratusan ribu nyawa melayang terutama kanak-kanak dan wanita dan jutaan lagi hidup menderita. Kita juga mendapati bahawa AS hanya menutup mata terhadap negara/pemimpin yang jelas-jelas melanggar HAM seperti Israel, India, Serbia dan sebagainya. Begitu juga terhadap pemimpin umat Islam yang terkenal diktator dan tidak pernah mempedulikan HAM seperti Musharraf, Islam Karimov, Raja Abdullah, Muammar Gadafi, Hosni Mubarak dan lain-lain; AS malah berbaik-baik dan memuji mereka. Inilah sikap ‘double standard’ AS yang jelas menunjukkan HAM hanyalah alat AS bagi menjalankan kepentingan politik mereka.Undang-undang HAM Bertentangan Dengan Undang-undang AllahUDHR yang dibuat oleh badan kufur PBB mengandungi 30 Fasal yang menyentuh HAM di dalam pelbagai aspek. Jika kita bandingkan kesemua 30 Fasal tersebut dengan Al-Quran dan Sunnah, maka kita akan dapati perbezaan dan pertentangan yang begitu nyata. Anehnya ada segelintir umat Islam begitu mensucikan HAM ini, malah ada yang begitu lancang menyatakan bahawa ia sesuai dengan Islam. Walaupun ingin sekali kami huraikan pertentangan UDHR ini dengan Islam satu-persatu, namun kerana keterbatasan ruang, kami hanya dapat membincangkan sedikit sahaja dari pertentangan-pertentangan ini. Cuba kita lihat Fasal 1 UDHR yang memperuntukkan, “All human beings are born free and equal in dignity and rights” (Semua manusia dilahirkan bebas dan mempunyai persamaan dari segi martabat dan hak-hak).Sekali lalu nampak seperti tidak ada salahnya dengan peruntukan ini, namun jika dilihat hukum Islam yang datangnya dari Allah dan telah dilaksanakan sejak lebih 1,300 tahun yang lalu (jauh sebelum UDHR diluluskan) peruntukan ini terlalu banyak bercanggah dengan ajaran Islam. Di dalam Islam, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan hak kepada manusia sebelum ia lahir ke dunia lagi (dalam keadaan janin)! Setelah dilahirkan pula, seseorang manusia itu ‘tidak bebas’ dan tidak sama di dalam semua perkara hak. Manusia dilahirkan tidak bebas, yang bermaksud manusia itu ‘terikat’ dengan hukum syara’. Dari segi hak pula, manusia ada yang sama dan ada yang berbeza bergantung pada beberapa keadaan dan peringkat (i) Hak janin (yakni) bermula dari umur 40 hari hingga dilahirkan (ii) Hak manusia (kanak-kanak) yang belum mumayyiz (al-tufla) (yakni) dari saat dilahirkan hingga mumayyiz (iii) Hak manusia (kanak-kanak) yang telah mumayyiz sehingga akil baligh (al-tamyiz) (iv) Hak manusia yang telah baligh (al-bulugh) hingga mati (v) Hak manusia setelah mati (hak ke atas mayat). Selain kelima tahap ini, Islam juga membezakan beberapa hak dan tanggungjawab di antara lelaki dan wanita, seperti di dalam hal aurat, perkahwinan dan harta pusaka. Islam juga membezakan hak antara anak zina dengan anak yang dilahirkan hasil dari perkahwinan yang sah. Menurut undang-undang HAM, semua manusia adalah sama, tidak kira lelaki atau perempuan, anak sahtaraf atau anak zina. Bagi mereka lelaki dan perempuan adalah sama, tidak ada aurat yang membezakan. Mereka membolehkan anak zina mewarisi harta bapa, mereka membolehkan perkahwinan sesama wanita dan juga sesama lelaki dan banyak lagi kekejian lainnya yang mereka bawa atas nama HAM. Adapun Islam telah merincikan hak manusia dari dalam kandungan lagi di mana adanya hukum diyat ke atas janin yang dibunuh atau terbunuh. Janin mempunyai hak untuk hidup dan haram bagi ibunya melakukan pengguguran dengan sengaja. Jika si ibu sengaja menggugurkan janinnya, maka dia wajib membayar satu per sepuluh diyat dan diyat ini dibayar kepada Negara. Namun jika si suami memukul isterinya hingga menyebabkan keguguran, diyat (yang sama jumlahnya) hendaklah dibayar kepada si isteri tadi. Dari segi pemilikan harta umum pula (milkyyahl ‘ammah) seperti hasil gas, petroleum dan bahan galian lainnya, janin mempunyai hak yang sama sebagaimana orang dewasa dan tidak boleh dikurangkan sedikit pun. Ini baru sedikit rincian hukum Islam ke atas janin, belum lagi kita membincangkan keseluruhan hukumnya dan belum masuk lagi hukum-hukum yang lain. Apakah dengan sempurnanya hukum Allah sejak lebih 1,300 tahun yang lalu (sebelum HAM diperkenalkan lagi), kita sanggup mengatakan bahawa HAM yang dibuat oleh badan kufur PBB itu selaras dengan Islam atau berasal dari Islam itu sendiri?Di bawah HAM, seseorang wanita itu dibolehkan untuk melahirkan atau menggugurkan kandungannya (tidak kira sama ada anak itu hasil dari perkahwinan, perzinaan atau perkosaan) bergantung kepada keputusan si ibu. Isu ini telah mengundang suatu perdebatan moral yang tidak putus-putus di kalangan mereka. Mereka bergaduh dan berdebat di seputar hak janin di dalam kandungan wanita sama ada ia (janin) mempunyai hak untuk hidup atau tidak. Perdebatan sekitar hak asasi ibu dan hak asasi janin ini berlanjutan tanpa adanya kata putus [lihat wikipedia Pro-life vs Pro Choice]. Perdebatan moral yang tidak berkesudahan juga timbul di kalangan mereka apabila mereka membincangkan tentang kahwin sesama jenis di mana kelompok-kelompok gay dan lesbian akhirnya mendapat hak mereka di bawah nama HAM. Kekejian ini malah menular ke dalam institusi gereja, sehingga menyebabkan gereja berpecah kepada dua iaitu golongan liberal dan konservatif di mana gereja liberal telah menjadi tempat kelompok gay dan transeksual mendapat ‘restu’ atas perbuatan keji mereka [BBC 16 Jun 2007]. Ini baru Fasal 1, yang baru sedikit memberi gambaran tentang kejelikan dan kebobrokan idea yang di bawa oleh HAM dan bagaimana ia bertentangan dengan Islam secara nyata!HAM – Sebuah Pemikiran KufurHAM yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia mahupun yang diperjuangkan oleh segelintir rakyat Malaysia sesungguhnya berakar umbi dari UDHR yang telah diumumkan oleh PBB. Sebagai sebuah badan kufur dan didominasi oleh negara-negara kufur, sudah selogiknyalah UDHR/HAM itu digubal menurut pemikiran kufur mereka. Tunjang kepada HAM adalah ‘kebebasan’ dan secara amnya, empat jenis kebebasan menjadi tunggak utamanya yang mana hal ini termanifestasi dari setiap peruntukan undang-undang atau amalan yang dipraktikkan dalam mana-mana negara pun, termasuklah Malaysia.(1) Kebebasan Beraqidah/beragama: Kebebasan beraqidah menurut HAM ertinya ialah manusia berhak untuk menganut atau meyakini agama atau ideologi apa sekali pun dan berhak mengingkari atau menukar agama sesuka hati. Sebahagian kaum Muslimin yang tertipu oleh kaum kafir menyangka bahawa kebebasan beragama yang dipropagandakan oleh kaum kuffar itu tidaklah bertentangan dengan Islam. Mereka berhujah dengan Firman Allah Ta'ala, “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam) [TMQ Al-Baqarah (2):256] dan ayat “Maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah dia beriman dan siapa sahaja yang ingin (kafir) biarlah dia kafir” [TMQ Al-Kahfi (18):29]. Mereka ini menyimpang jauh dari Islam di mana mereka tidak memahami bahawa objek pembahasan dua nas tersebut adalah berupa seruan (khitab) yang hanya ditujukan kepada orang-orang kafir. Nas tersebut menjelaskan bahawa kaum Muslimin tidak boleh memaksa orang kafir untuk masuk Islam. Kedua-dua nas ini tidak ditujukan kepada kaum Muslimin, sebab bagi seorang Muslim, ia tidak diberi pilihan lagi untuk memilih ingin kafir atau murtad. Jika seorang Muslim telah keluar dari Islam (murtad), maka dia akan diminta bertaubat dan jika dia enggan, maka hukuman hudud wajib dijatuhkan ke atasnya yakni dihukum mati. Sabda Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam, “Barang siapa yang menukar agama (Islam)nya, maka bunuhlah dia [HR Bukhari, Muslim, Ahmad]. Jadi, kebebasan beragama langsung tidak ada dalam kamus Islam, bahkan sebaliknya, seorang Muslim wajib terus memeluk agama Islam. Jelaslah bahawa seorang Muslim tidak boleh menerima idea kebebasan beragama yang diserukan oleh HAM.(2) Kebebasan Berpendapat/bersuara: Kebebasan berpendapat menurut HAM bererti bahawa setiap orang memiliki hak untuk menyatakan pendapat apa sahaja dalam segala perkara tanpa terikat dengan batasan apa pun. Kebebasan berpendapat ini sangat menarik perhatian sebahagian kaum Muslimin, sebab mereka selama ini hidup tertindas di bawah penguasa-penguasa yang zalim di mana mereka akan ditangkap jika bersuara menyalahi kepentingan/kehendak penguasa. Justeru, mereka melihat idea ini sesuai dengan Islam. Walhal kebebasan berpendapat yang dibawa oleh HAM ini merangkumi pendapat/pemikiran apa sahaja, walaupun pemikiran tersebut bertentangan dengan aqidah Islam seperti pemikiran tentang nasionalisme, patriotisme, pluralisme, feminisme dan sebagainya. Padahal, Islam telah memerintahkan umatnya untuk menghapuskan segala bentuk pemikiran kufur ini. Untuk mengetahui sejauh mana kebebasan ini diberikan oleh HAM, lihatlah penghinaan yang dilakukan oleh mereka terhadap Rasulullah di mana tidak ada satu tindakan pun yang diambil ke atas penghina Rasul ini kerana hal ini sememangnya dibenarkan di bawah kebebasan berpendapat yang ada dalam HAM.Memang benar, bahawa Islam telah membolehkan seorang Muslim untuk menyatakan pendapatnya terhadap segala hal dan persoalan. Akan tetapi Islam mensyaratkan bahawa pendapat tersebut wajib terpancar dari aqidah Islam atau di bangun berasaskannya, serta tetap berada dalam lingkungan Islam. Oleh itu, seorang Muslim berhak menyatakan pendapat apa sahaja selama mana pendapat tersebut masih bersandar kepada dalil syara’ atau berada dalam batas-batas syara’. Lebih dari itu, Islam sesungguhnya telah lama (sebelum wujud HAM lagi) membenarkan, malah mewajibkan seorang Muslim untuk menyeru (berdakwah) manusia kepada Islam, melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, bersuara dengan menegur kesalahan saudaranya atau kesalahan pemerintah sekali pun. Islam bukan sekadar menjadikannya satu hak, malah merupakan tanggungjawab terhadap setiap Muslim untuk melakukan muhasabah sesama Muslim, yang mana hal ini langsung tidak ada kena mengena dengan HAM yang baru muncul pada tahun 1948 ini.(3) Kebebasan Kepemilikan: Adapun kebebasan hak milik menurut idea HAM ini bererti manusia berhak memiliki segala sesuatu sesuka hatinya dan menggunakan segala sesuatu miliknya itu sesuka hati juga, selama hal itu tidak melanggar hak-hak orang lain. Maksudnya, selama tidak melanggar hak-hak yang diakui oleh sistem dan undang-undang yang mereka gubal. Hal ini bererti manusia berhak memiliki segala sesuatu baik yang dihalalkan oleh Allah mahupun yang diharamkanNya, kerana yang menjadi ukuran adalah undang-undang buatan manusia, bukannya undang-undang Allah. Contohnya manusia berhak memiliki harta dari wang riba atau perjudian (kerana undang-undang manusia membenarkan) dan manusia juga berhak memiliki barang-barang yang termasuk dalam pemilikan umum (public property) seperti minyak, gas, pantai dan sungai-sungai, malah mana-mana individu tidak dihalang dari memiliki harta/saham yang jelas-jelas diharamkan Allah seperti syarikat judi, bank riba, syarikat insurans, rumah pelacuran dan sebagainya. Kebebasan ini telah menimbulkan pula akumulasi kekayaan yang melimpah ruah di tangan segelintir orang yang disebut sebagai para kapitalis. Ada pun Islam menjelaskan bahawa seorang Muslim itu hanya berhak memiliki harta yang dihalalkan oleh Allah sahaja dan haram baginya memiliki apa sahaja yang diharamkan oleh syara’. Islam telah membahagi dan membezakan hak pemilikan kepada tiga kategori iaitu pemilikan individu (milkiyyah al-fardiah), pemilikan umum (milkiyyah al-‘ammah) dan pemilikan negara (milkiyyah ad-daulah) yang setiap satunya diperincikan oleh nas-nas yang jelas. Kontradiksi kebebasan kepemilikan di bawah HAM dengan pemilikan dalam Islam adalah teramat jelas, sehingga kaum Muslimin diharamkan mengamalkan idea kebebasan di dalam memiliki sesuatu kecuali wajib berpegang kepada halal dan haram.(4) Kebebasan Bertingkah laku: Menurut HAM, kebebasan bertingkah laku bererti setiap orang berhak menjalani kehidupan peribadi semahunya, asalkan tidak melanggar kehidupan peribadi orang lain. Berdasarkan hal ini, seorang lelaki dan wanita bebas untuk berdua-duaan, bercium atau berzina sekalipun selama mana kedua-duanya redha. Tidak ada apa yang dinamakan halal atau haram di dalam HAM, yang penting, semua orang boleh melakukan setiap perbuatan di dalam ruang lingkup undang-undang yang dibuat oleh manusia. Justeru, boleh sahaja jika perempuan tidak mahu bertudung atau lelaki mahu berseluar pendek di khalayak ramai kerana tidak ada undang-undang yang menghalangnya. Praktik kebebasan bertingkah laku di bawah HAM ini telah menimbulkan kerosakan yang amat mengerikan yang sudah tidak dapat dibayangkan lagi. Konsep kebebasan ini langsung tidak ada di dalam Islam dan umat Islam langsung tidak memerlukan HAM untuk mengatur tingkah laku mereka. Setiap individu Muslim wajib ‘terikat’ dengan hukum Allah. Tingkah laku manusia justeru wajib diatur dengan hukum syara’ dan Islam telah lama mengatur hal ini sesuai dengan perintah dan larangan Allah.Inilah empat kebebasan pokok yang dibawa oleh HAM di mana setiap inci pemikiran mahupun undang-undang yang dibawa oleh HAM adalah bertentangan dengan undang-undang Islam. Di sinilah umat Islam perlu faham dan mengambil sikap yang benar. Undang-undang Islam telah pun sempurna sejak zaman Rasulullah lagi dan tidak ada sedikit kekurangan atau cacat-cela pun dengan agama yang Allah turunkan ini. Kaum Muslimin telah lama bangkit dan mencipta ketamadunan dunia jauh sebelum ‘kewujudan’ Barat lagi. Kaum Muslimin telah lama maju dan menguasai dunia dengan hukum Allah semasa Barat masih terkial-kial ingin keluar dari kegelapan dan keterpurukan mereka. Kaum Muslimin telah lama hidup menerajui dunia dengan segala hak yang Allah dan RasulNya telah nyatakan, jauh sebelum Barat berkhayal tentang ‘teori hak asasi’ mereka.KhatimahWahai kaum Muslimin! Semua idea tentang HAM ini adalah bertentangan dengan Islam. Jadi, ia tidak boleh diterima apa lagi diperjuangkan. Malangnya idea HAM ini telah dipropagandakan dengan penuh kebanggaan oleh sebahagian penguasa kaum Muslimin dan para pendukungnya yang buta terhadap Islam, yakni para intelektual yang termakan oleh tsaqafah Barat dan terpesong dari jalan yang lurus. Sesungguhnya siapa pun dari kalangan kaum Muslimin yang mengaku Muslim tetapi menjajakan HAM, bererti dia adalah tergolong di dalam golongan yang jahil dan fasik dan mereka ini sebenarnya telah mengambil dan menjaja pemikiran Barat samada secara sedar atau tidak. Umat Islam tidak memerlukan HAM atau apa jua pemikiran kufur yang di bawa oleh Barat. Umat Islam juga tidak memerlukan ‘The Declaration of Islamic Human Righs’ atau ‘The Islamic Declaration of Human Rights’ atau apa bentuk deklarasi hak asasi manusia. Benar dan salahnya tindakan setiap Muslim cukup diukur dengan al-Quran dan Sunnah dan bukannya diukur dengan sebuah deklarasi tajaan kaum kuffar. Sesungguhnya umat Islam hanya wajib kembali semula kepada agama Islam yang benar dan sempurna yang datangnya dari Allah, tanpa perlu merujuk sedikit pun kepada pemikiran atau undang-undang kufur yang datang dari Barat. Wallahua’lam

Saturday, May 9, 2009

Sempena Hari Buruh: Perlukah Wanita Bekerja?

Wanita berkerjaya atau “Career women” telah menjadi satu fenomena yang diterima masyarakat kerana golongan wanita dianggap perlu berganding bahu dengan kaum lelaki memasuki pasaran pekerjaan untuk sama-sama membangunkan negara. Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, 200 juta wanita telah memasuki pasaran tenaga kerja sejak sedekad lalu, sehingga angka wanita bekerja di seluruh dunia mencecah 1.2 bilion orang [ILO, Global Employment Trend for Women, p.1) Bidang kerjaya yang diceburi oleh kaum wanita juga pelbagai: bidang pertanian yang merupakan sumber pekerjaan utama sejak sepuluh tahun lalu kepada pelbagai sektor pekerjaan yang menggajikan wanita sebagai separuh dari tenaga kerjanya. Sebahagian tenaga kerja ini adalah Muslimah. Menurut Organisasi Buruh Antarabangsa (“ILO”) juga, golongan wanita yang aktif bekerja yang mana majoriti dari mereka adalah Muslim datang dari negara-negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Selatan Thailand mengekalkan tempat ketiga tertinggi di seluruh dunia, manakala jumlah wanita-wanita di Afrika Utara dan Timur Tengah yang bekerja adalah paling rendah. Di Malaysia, statistik pada tahun 2007 menunjukkan bilangan pekerja di Malaysia adalah seramai 10,889,500 orang dimana 6,747,100 atau 62 peratus adalah lelaki dan 3,791,000 atau 38 peratus adalah wanita. Adalah didapati sektor-sektor dimana ramai pekerja wanita bekerja adalah di sektor pembuatan, di ikuti perdagangan borong dan runcit , pendidikan dan pertanian. Di beberapa sektor, sektor pendidikan dan kesihatan dan kerja-kerja kebajikan, adalah didapati bilangan pekerja wanita melebihi bilangan pekerja lelaki. Oleh kerana sektor-sektor yang dinyatakan tadi adalah penting, menunjukkan bahawa sumbangan wanita di dalam pembangunan negara, tidak boleh dinafikan [Sumber: Ucaptama mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Noraini Bt. Ahmad pada 7 Julai 2008 di PWTC, Kuala Lumpur http://www.mohr.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=634&Itemid=480&lang=ms]. Benarkah dakwaan di atas atau wanita hanya mangsa eksploitasi semata? Menurut Elson dan Pearson (1984) penggunaan tenaga kerja wanita untuk jenis-jenis pekerjaan tertentu sesungguhnya adalah strategi pengusaha untuk mendapatkan tenaga kerja yang murah. Kedua pakar tersebut dengan tegas menyatakan tidak benar apabila pembahagian kerja timbul kerana wanita dianggap paling sesuai untuk pekerjaan tertentu melainkan ianya hanya mitos belaka [bappenas.go.id/get-file-server/node/2847]

Mengapa Wanita Bekerja?

Secara umumnya, alasan wanita keluar bekerja adalah kerana wang terutamanya kepada wanita yang berasal dari keluarga miskin dan bersuamikan lelaki yang pendapatannya tidak mampu memberi keselesaan kepada golongan berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak. Tiada jalan lain bagi isterinya kecuali bekerja, untuk menambah pendapatan. Kedudukan kewangan juga menjadi punca wanita mencari nafkah untuk menanggung ibu bapanya yang telah tua dan sakit. Akan tetapi, ada juga wanita bekerja bukan kerana terlalu memerlukan wang, sebaliknya perkara-perkara berikut:

1. Meningkatkan keselesaan hidup. Sebenarnya suaminya mampu menyediakan nafkah secukupnya, akan tetapi kerana menginginkan kualiti hidup yang lebih tinggi, maka si isteri bekerja kerana mereka mengimpikan rumah yang lebih besar, kereta baru, menghantar anak ke sekolah swasta yang mahal, dan melancong ke luar negara.

2. Desakan orang tua. Ini adalah kerana mereka telah mengeluarkan biaya yang banyak untuk menyekolahkan anak perempuannya. Maka tiada kebahagiaan selain melihat anaknya menjawat jawatan tinggi. Ia juga dapat menaikkan imej dan status ibu bapa di hadapan kenalan dan saudara-mara mereka. Selain itu jika anaknya tidak bekerja maka dia seolah-olah menyia-nyiakan wang yang dibelanjakan dan jawatan tinggi yang mampu diraih sang anak.

3. Membayar hutang kerajaan. Mendapatkan biasiswa memang suatu rezeki. Jika tidak mendapat biasiswa, kos pengajian dibiayai melalui pinjaman PTPTN. Kepada yang menerima biasiswa, ibu bapa menjadi lega kerana tidak perlu mengeluarkan biaya kuliah yang sangat mahal seperti kursus perubatan. Biasiswa ini bukanlah pendidikan percuma melainkan pelajar akan terikat dengan kontrak untuk berkhidmat dengan kerajaan selama beberapa jangka waktu sehingga mencecah 10 tahun. Jika kontrak ini dilanggar, mereka terpaksa membayar balik keseluruhan biasiswa yang diberikan. Peminjam PTPTN pula mesti menjelaskan hutang ini walaupun belum bekerja yang membawa makna bekerja menjadi satu perkara yang wajib!

4. Menghilangkan ketergantungan (independent) terhadap suami. Wanita dari kelompok ini bangga kerana mampu mencari wang sendiri dan memiliki ‘self-confident’ yang tinggi dan tidak bimbang akan kebuluran seandainya berlaku perceraian atau kematian suami. Realiti hari ini yang mana ibu-ibu tunggal membanting tulang untuk meneruskan kehidupan tanpa bekas suami mempedulikan nafkah anak menyebabkan bekerja kepada golongan ini adalah sesuatu yang sangat mendesak untuk ‘survival’ diri dan anak-anak kerana ’huluran’ dari Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sangat minima. Syaitan menjanjikan(menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat yang keji dan Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia; dan Allah Maha Luas (kurniaNya) dan Maha Mengetahui” [TMQ Al-Baqarah(2): 268]

5. Menaikkan imej sosial. Ini seringkali terjadi kepada kaum wanita yang menduduki puncak hiraki dalam sektor awam ataupun swasta. Orang-orang akan melihatnya dengan perasaan takjub jika wanita itu memegang posisi penting di tempat kerjanya seperti menjadi menteri, ketua pengarah, CEO atau pengarah urusan syarikat tersenarai (public-listed companies). Wanita dari kelompok ini akan bermati-matian mengejar karier dengan bersaing dengan kaum lelaki. Anugerah seperti “CEO of the Year” atau “Women Manager of the Year” menjadikan mereka bangga hingga mendorong mereka menganjurkan program-program atau seminar-seminar untuk mengajak wanita lain mengikuti jejak mereka

6. Desakan masyarakat.
Memandangkan wanita bekerja merupakan satu fenomena biasa , maka wanita yang hanya menjaga anak di rumah akan dipandang rendah oleh masyarakat. Pertanyaan yang selalu ditanya adalah “Dimana kamu bekerja?”, “Kenapa isteri kamu tidak bekerja, bukankah dia berpendidikan tinggi?”. Lama-kelamaan wanita yang duduk di rumah juga ingin bekerja, kerana tidak tahan dengan anggapan rendah tersebut walaupun tidak ada keperluan mendesak untuk dia bekerja.
Kesan Negatif Wanita Bekerja

1. Merampas pekerjaan kaum lelaki. Bukan tidak pernah didengar kenyataan ini - Pelajar perempuan ke universiti, pelajar lelaki menjadi Mat REMP-it dan ke pusat serenti. Hal ini berlaku kerana masyarakat yang telah terbius dengan virus hedonism beranggapan apabila telah belajar tinggi, mestilah bekerja. Justeru, apabila statistik kemasukan pelajar wanita ke universiti lebih tinggi dari lelaki, secara relatifnya, wanita-wanita ini bakal ‘merampas’ jawatan-jawatan yang sepatutnya dipegang oleh lelaki. Dibawah tajuk “Fenomena penurunan jumlah pelajar lelaki di universiti dibangkitkan lagi”, laporan Kosmo Online pada 13hb April 2009 menyebut bahawa “Statistik kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009”.

2. Peningkatan Kos Operasi. Dalam sistem Kapitalis hari ini yang mana pemerintah ‘lepas tangan’ akan kebajikan rakyat, majikan telah dibebankan dengan kos yang tinggi untuk menanggung kebajikan pekerja (staff welfare). Apabila wanita bersalin, gaji mereka tetap dibayar oleh majikan sedangkan tidak ada perkhidmatan yang diberi sepanjang tempoh cuti bersalin tersebut. “Majikan Malaysia membelanjakan kira-kira RM1.57 bilion setahun untuk cuti bersalin 60-hari kepada kakitangan wanita, demikian seminar mengenai persamaan gender di sini diberitahu hari ini. Naib presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) A.Ramadass dalam kertasnya mengenai perlindungan bersalin dan tolak ansur kerja dan tanggungjawab keluarga, berkata kajian MEF menunjukkan bahawa jumlah kos bagi setiap kakitangan adalah sekitar RM7,500 setiap kali bersalin, terdiri daripada RM3,000 gaji dan RM4,500 elaun lebih masa” [www.utusan.com.my 21hb April 2009]. Kos yang ditanggung majikan ini menyebabkan kos operasi menjadi tinggi kerana wang yang dilaburkan tidak mendapat pulangan dalam bentuk produktiviti. Pada akhirnya, apabila majikan tetap mahu mengekalkan margin keuntungan syarikat untuk memenuhi nafsu serakah pemegang saham (shareholders) dan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders), syarikat akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang mana kesannya akan ditanggung oleh seluruh anggota masyarakat.

3. Mendedahkan anak-anak pada bahaya. Apabila wanita bekerja, mereka meletakkan anak-anak dalam jagaan pembantu rumah atau pengasuh. Ada kalangan anak-anak ini menjadi mangsa rogol, liwat dan cabul oleh ahli keluarga pengasuh. Anak-anak kecil di taman asuhan kanak-kanak (taska) juga berdepan dengan pelbagai risiko seperti mati tercekik susu, jatuh dari buaian, kecederaan yang tidak dapat dijelaskan dsb. Ibu-ibu yang bekerja syif juga meletakkan anak-anak perempuan mereka dalam keadaan bahaya yang mana mereka terdedah kepada gejala sumbang mahram. Masalah pembantu rumah warga asing juga sering mendedahkan anak-anak kecil dalam keadaan bahaya apabila mereka bertindak di luar dugaan seperti lari dari rumah dan meninggalkan anak-anak tanpa ditemani sesiapa.

4. Tidak mampu melayani suami dan anaknya dengan sempurna. Tanggungjawab wanita selaku ibu dan pengurus rumahtangga (ummun wa rabbatul bayt) adakalanya tidak dapat dilakukan dengan sempurna apabila wanita bekerja kerana kekangan masa dan wanita itu sendiri dalam keadaan keletihan untuk mengurusi rumah, anak-anak, suami dan urusan di tempat kerja.

5. Suami menjadi bergantung kepada penghasilan isteri. Fenomena “Mr Mama” yang mana wanita menjadi tunggak utama mencari nafkah dalam keluarga dan suami pula di rumah mengurusi anak-anak adalah sesuatu yang sudah tentu bertentangan dengan ajaran Islam iaitu suami yang mencari rezeki, bukan isteri. Jika hanya isteri yang bekerja, seandainya berlaku penceraian pasti urusan menentukan harta sepencarian menjadikan kes penceraian memakan masa yang lama untuk diselesaikan.

Jalan Penyelesaian menurut Sekular

Sistem ekonomi Kapitalis hasil “air tangan” Adam Smith (1723-1790) yang mendominasi dunia masa kini menyebabkan sebahagian kaum Muslimin mencari penyelesaian kepada masalah mereka dalam kerangka Sekular. Masalah-masalah yang dihadapi oleh wanita bekerja diselesaikan menurut akal pemikiran mereka, bukan jalan penyelesaian yang digali dari sumber wahyu. Antara masalah yang dihadapi oleh wanita bekerja adalah terlalu bergantung kepada pembantu rumah warga asing yang seringkali menimbulkan masalah. Justeru antara jalan keluar pemerintah adalah memberi pelbagai insentif kepada majikan untuk menyediakan kemudahan penjagaan anak-anak di tempat kerja (child-care centres). Menurut Perdana Menteri Malaysia ke-6 yang baru menaiki takhta pemerintahan Negara Islam Hadhari ini, kerajaan telah memberi pengurangan cukai 10 peratus setahun kepada majikan yang menyediakan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja atas kos penubuhan pusat bagi tempoh 10 tahun sebagai insentif. "Agensi-agensi kerajaan yang menyediakan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja akan diberi geran RM80,000 untuk renovasi dan kelengkapan perabot. "Saya ingin menggesa sektor swasta memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka dengan mengadakan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja untuk pekerja mereka," kata beliau [Sumber: http://www.bernama.com/ 14hb April 2009]. Insentif yang diberikan kepada majikan dalam Pakej Rangsangan ini sudah tentu memberi kelegaan kepada para majikan kerana pengurangan cukai dan geran yang diberikan akan membaiki aliran tunai syarikat dalam senario ekonomi yang merudum, selain produktivi tidak terjejas kerana kaum ibu hampir dengan anak-anak mereka. Akan tetapi adakah ia menyelesaikan persoalan pokok pertama iaitu perlukah wanita bekerja?

Apakah Hukum Wanita Bekerja?

Secara umumnya, hukum bekerja bagi wanita adalah mubah (harus) selagi mendapat keizinan daripada suami atau walinya. Bekerja juga dibolehkan selagi pekerjaannya tidak menjerumuskan dirinya kepada perkara yang haram seperti tidak boleh menutup auratnya dengan sempurna di tempat umum, pergaulan dengan lawan jenis yang boleh menimbulkan fitnah seperti seorang setiausaha wanita yang perlu menemani ketua pejabatnya seorang lelaki kemana-mana dengan menaiki kenderaan peribadi tanpa ditemani mahramnya.

Apakah Jalan Penyelesaian menurut Syarak?

Islam selaku mualajah lil masyakil insan (penyelesai permasalahan manusia) mempunyai pelbagai hukum-hakam untuk memastikan kemaslahatan manusia dengan hukum-hakam seperti berikut:

Jaminan Pemenuhan Keperluan Pokok (primary needs). Islam telah menetapkan keperluan pokok manusia terdiri daripada makanan, pakaian dan tempat tinggal. Walaubagaimanapun, jaminan pemenuhan keperluan pokok bagi setiap individu tidak bererti negara akan membahagi-bahagikan makanan, pakaian, dan perumahan kepada sesiapa sahaja sehingga menjadikan rakyatnya malas, sebaliknya, ia dilakukan dengan mewujudkan mekanisma-mekanisma yang dapat menangani masalah kemiskinan. Mekanisma tersebut adalah:
a. Mewajibkan Lelaki Memberi Nafkah Kepada Diri dan Keluarganya. Islam mewajibkan lelaki yang mampu dan memerlukan nafkah untuk bekerja dalam rangka memenuhi keperluannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:”Kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan car ayang ma’ruf.” [TMQ Al-Baqarah (2): 233]. Dalil ini menunjukkan secara pasti bahawa suamilah yang perlu bekerja, dan bukan sang isteri!
b. Mewajibkan saudara terdekat untuk membantu saudaranya. Ini bermakna kepada orang yang tidak punya pendapatan untuk menafkahi dirinya dan anak-anak seperti golongan ibu tunggal, pemenuhan nafkahnya adalah menjadi tanggungjawab kerabat terdekat yang memiliki hubungan darah untuk membantu mereka. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman yang bermaksud: “…Dan kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya. Dan warispun berkewajipan sedemikian…” [TMQ al-Baqarah (2): 233]. Jika seseorang secara peribadi tidak mampu memenuhi keperluannya maka kewajiban memenuhi nafkah beralih ke kerabat terdekatnya sekiranya terdapat kelebihan harta. “Sebaik-baik sedekah adalah harta yang berasal dari selebihnya keperluan.” [HR. Imam Bukhari dari Abu Hurairah].
c. Mewajibkan Negara untuk Membantu Rakyat Miskin. Jika seseorang yang miskin tidak memiliki saudara yang boleh membantunya, kewajiban memberi nafkah beralih ke Baitul Mal (kewangan negara). Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam pernah bersabda: “Siapa saja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya, dan siapa saja yang meninggalkan ‘kalla’ (sebatang kara iaitu orang yang lemah, tidak mempunyai anak dan ibu-bapa), maka dia menjadi kewajiban kami.” [HR. Imam Muslim]. Disini kita juga melihat bahawa hukum asal bekerja tidak wajib kepada wanita kerana keperluan asasnya akan dipenuhi oleh pemerintah melalui Baitul Mal.
d. Mewajibkan Kaum Muslim untuk Membantu Rakyat Miskin. Apabila di dalam Baitul Mal tidak ada harta sama sekali, maka kewajiban menafkahi orang miskin beralih ke kaum Muslim secara kolektif. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: “Di dalam harta mereka, terdapat hak bagi orang miskin yang meminta-minta yang tidak mendapatkan bahagian.” [TMQ Az-Zariyat (51): 19]. Mekanisma ini dilakukan dengan dua cara. Pertama, kaum Muslim secara individu membantu orang-orang yang miskin. Kedua, negara mewajibkan dharibah (cukai) kepada orang-orang kaya, hingga mencukupi keperluan untuk membantu orang miskin. Cukai ini hanya diwajibkan ketika Baitul Mal benar-benar kehabisan sumber kewangan.

2. Pengaturan Pemilikan. Pengaturan pemilikan yang dimaksud mencakup tiga aspek, iaitu jenis-jenis pemilikan iaitu pemilikan individu, pemilikan umum dan pemilikan negara, pengelolaan pemilikan dan pengagihan kekayaan di tengah-tengah masyarakat. Pemilikan umum menjadikan aset-aset milik masyarakat seperti emas, perang, petroleum tidak boleh dimonopoli individu atau syarikat seperti masa kini sebaliknya ia menjadi milik seluruh manusia untuk sama-sama memanfaatkannya. Pengelolaan aset-aset ini akan dapat digunakan pemerintah untuk memberi manfaat kepada rakyat sehingga kesannya menyebabkan wanita tidak perlu bekerja kerana telah ada pemerintah untuk mencukupi keperluannya melalui pengagihan kekayaan (distribution of wealth) kepada seluruh anggota masyarakat.

Khatimah

Pada hari ini, wanita yang terpaksa bekerja untuk memenuhi keperluan pokok diri dan tanggungan mereka hanyalah merupakan masalah cabang (furu') iaitu simptom atau gejala dan bukannya penyakit sebenar. Kewujudan pemerintah yang tidak melaksanakan seluruh hukum-hakam Islam menyebabkan jalan penyelesaian menurut syarak untuk mengatasi kemelut yang melanda kaum Hawa yang dikemukakan di atas kekal sebagai teori semata. Oleh kerana itu, sangatlah perlu bagi umat Islam untuk berusaha mengembalikan Islam dalam kehidupan sehingga pada akhirnya akan tertegak sebuah negara Daulah Khilafah untuk melaksanakan Islam Kaffah, termasuk di dalamnya sistem ekonomi Islam (nizamul iqtisad fil Islam) untuk mengatur urusan umat sehingga keperluan pokok mereka dapat dipenuhi. Natijah akhirnya ialah kaum wanita tidak perlu bekerja kerana seluruh hukum-hakam untuk menjaga umat ini akan memastikan kemaslahatan mereka terjamin. Sudah tentu, keadaan ini akan dapat memberi ketenangan kepada kaum wanita untuk menjalankan peranan utamanya selaku ummun wa rabbatul bayt dengan sempurna dan Islam benar-benar adalah rahmatan lil ‘alamin.

Wallahu ‘alam bisshawab.

Adakah Islam Menindas Wanita (Bhg 2)


Ketika kegagalan niqab (Veil Fiasco) Jack Straw, beberapa ahli politik dan media Barat telah berlumba-lumba menonjolkan diri untuk menjelaskan bahawa niqab atau veil muka adalah menyusahkan masyarakat British. Tessa Jowell, Setiausaha Kebudayaan ketika itu turut memberi pendapat “two pence” beliau dalam perdebatan tersebut dengan memberi komen, “ Kita telah berjuang selama beberapa generasi untuk kesetaraan bagi wanita supaya wanita mendapat kesamaan hak dalam masyarakat.” Bukan niqab sahaja yang di lihat oleh Barat sebagai pengkhianatan Islam ke atas “Hak–hak wanita” (Women’ Rights) tetapi juga perundangan, tanggungjawab dan hak-hak yang berbeza diantara lelaki dan wanita dalam masyarakat; khimar (tudung) dan jilbab (pakaian luar); memberi keterangan, undang–undang pewarisan dan penceraian; poligami; larangan wanita menjadi ketua negara; tugas lelaki sebagai penjaga dan pencari nafkah keluarga sementara tugas wanita sebagai pengurus dan ibu rumahtangga kepada anak-anak; mematuhi suami dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak–hak suami. Perdebatan ini sering disampaikan seolah-olah undang-undang dan tugas–tugas ini mendiskriminasi wanita, hanya dikuasai oleh kaum lelaki, membuat wanita kurang penting dari kaum lelaki dan memberikan wanita status sebagai warga kelas kedua dalam masyarakat, tidak berharga berbanding lelaki. Yang paling penting adalah dakwaan bahawa undang-undang ini menunjukkan perbuatan khianat terhadap kesetaraan gender (gender equality) yang dilihat oleh Barat sebagai satu jalan bagi wanita untuk memiliki status, penghormatan dan kebebasan dalam masyarakat. Dalam artikel ini kita akan meneliti kepercayaan berkaitan dengan kesetaraan gender dan mencabar tanggapan bahawa perundangan Islam menindas wanita hanya kerana tarafnya dikatakan jauh lebih rendah dari kesetaraan gender.
Kesetaraan gender adalah dilahirkan oleh Barat, bukan dari pengalaman Islam.

Perkara pertama yang mesti kita perhatikan adalah konsep kesetaraan gender ini lahir dari pengalaman Barat akibat ketidakadilan yang dihadapi oleh wanita dalam masyarakat Barat. Ketidakupayaan untuk meninggalkan suami yang ganas, memulakan proses penceraian apabila berhadapan dengan masalah perkahwinan, tidak mendapat kemudahan dalam pendidikan dan pekerjaan, keadaan tempat kerja yang tidak memuaskan, kekurangan hak harta dalam perkahwinan dan ketiadaan hak berpolitik adalah keadaan yang dihadapi oleh wanita dalam masyarakat Barat dimana keadaan ini mencetuskan gerakan feminism yang pertama. Keadaan ini muncul dari pandangan bahawa wanita dalam masyarakat adalah kurang berharga atau bernilai daripada lelaki sebagai seorang manusia: spiritual dan intelektual. Malah, orang–orang yang dianggap sebagai yang berfikiran terbuka (enlightened thinkers) dalam sejarah Barat seperti Voltaire dan Rousseau, mengambarkan wanita sebagai seseorang yang kurang rasional dari lelaki dan oleh itu tidak sesuai untuk kehidupan umum. Mereka mengemukakan ini sebagai satu hujah mengapa lelaki mesti menjadi warga dalam masyarakat manakala wanita terhad sebagai isteri dan ibu. Wanita-wanita yang berani telah berjuang menentang norma dan pandangan yang menindas ini, sebahagiannya mengorbankan kehidupan mereka untuk membebaskan persepsi yang salah ini terhadap wanita untuk mendapatkan hak asas kewarganegaraan. Mereka telah cuba mendapatkan hak-hak ini dibawah panji “kesetaraan gender”.

Pandangan Islam:

Sebagai perbandingan, “perjuangan wanita” (women struggle) adalah asing dalam sejarah Islam atas beberapa perkara. Pertama, Islam sentiasa berpandangan bahawa lelaki dan wanita mempunyai keupayaan intelektual dan nilai kepentingan yang sama sebagai manusia kerana mereka dicipta dari satu roh yang tidak mempunyai perbezaan dari sifat manusia. Allah Subhanahu wa Taala berfirman,

“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa); dan dari keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan wanita..” [TMQ An-Nisa : 1]

“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, lak-laki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” [TMQ Al-Ahzab:35]

Kedua, banyak sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang mengangkat status wanita dalam masyarakat, melupuskan status rendah wanita sebagai warga kelas kedua, yang memperhambakan diri kepada laki-laki di Arab dan perkara-perkara yang lain dalam masyarakat, sebelum kedatangan Islam. Beliau Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang yang mempunyai tiga orang anak perempuan dan melindungi mereka, memberikan apa yang dikehendaki mereka dan menunjukkan belas kasihan kepada mereka, akan mendapat syurga.” Seorang laki-laki diantara orang ramai bertanya, “Dan jika ada dua, wahai Rasullullah? Dan baginda berkata, “Ya, walaupun mereka ada dua”. Baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Seorang yang benar-benar beriman itu adalah seorang yang mempunyai pekerti yang terbaik dan yang terbaik diantara kamu adalah orang–orang yang berbuat baik kepada wanita-wanita mereka”. Beliau Sallallahu Alaihi Wa Sallam berkata, “Syurga terletak dibawah tapak kaki ibu”. Dalam khutbah terakhirnya, baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam berkata, “Takutlah Allah berhubungan dengan wanita kerana mereka adalah amanah ditangan kamu”. Oleh itu, inilah pandangan terhadap wanita dan rasa tanggungjawab kepada Yang Maha Pencipta adalah langkah utama untuk mencegah dari tidak menghormati, mendiskriminasi dan mencederakan wanita.

Ketiga, hak-hak seperti pendidikan, bekerja dan memberikan pekerjaan, memiliki harta, menyewa tanah, bekerja sebagai ahli perniagaan atau professional, memilih pemerintah dan menyuarakan pandangan politik mereka, memulakan proses penceraian dan memiliki kemewahan bagi seorang wanita sebagai seorang warganegara telah termaktub dalam teks-teks Islam dan telah terjamin semenjak permulaan tamadun Islam. Bulan Julai ini menandakan ulangtahun ke-80 “Equal Franchise Act” apabila wanita di Britain memenangi hak mengundi seperti lelaki, manakala bulan Disember ini pula, akan menandakan 1,430 tahun semenjak Islam memberikan wanita hak mengundi yang sama seperti lelaki. Manakala wanita di Eropah mengikat diri mereka dijeriji dan melakukan mogok lapar untuk menuntut suara berpolitik, Islam telah mewajibkan wanita untuk aktif berpolitik dalam masyarakat. Apabila akhirnya wanita yang telah berkahwin dalam banyak masyarakat Barat dibenarkan untuk menguruskan akaun bank mereka dan segala urusan kewangan mereka tinggal berasingan dari suami-suami mereka pada tahun 1960an, wanita Islam yang telah berkahwin mahupun bujang, telah pun diberikan kekuasaan mutlak keatas kekayaan dan harta benda mereka lebih dari 1400 tahun yang lalu.

Dilema “Kesetaraan Gender”:

Jika kita meneliti konsep “Kesetaraan Gender”, ironinya kita akan dapati bahawa ia adalah satu konsep yang mana lelaki yang menguasai kerana ia meletakkan lelaki sebagai seorang yang menjadi ketua pada nama sahaja atau pun satu matlamat yang ingin dicapai oleh wanita. Lebih beberapa generasi, ramai feminis Barat telah mendapati bahawa ia juga menimbulkan beberapa kontradiksi dan dilema yang tersendiri, Contohnya, dilema dimana seorang wanita yang menyeru kepada kesetaraan turut menyangkal kepentingan gender dalam kehidupan umum tetapi pada masa yang sama turut menyeru kepada hak-hak kehamilan atau waktu kerja yang lebih fleksibil berdasarkan kepada perbezaan gender. Idea kesetaraan gender yang menjejaskan apresiasi perbezaan gender ditempat kerja dan masyarakat, lebih menghalang dari memudahkan pencapaian untuk hak-hak asas yang akan turut membuka pintu diskriminasi. Seruan kearah undang-undang keneutralan gender yang tidak mengiktiraf perbezaan yang ketara antara jantina, berkemungkinan akan menyebabkan ketidakadilan terhadap wanita, dimana majikan akan mengharapkan komitmen kerja yang sama berkaitan masa dan aktiviti fizikal bagi wanita yang hamil ataupun yang mempunyai anak-anak kecil. Tambahan pula, secara teorinya konsep kesetaraan gender akan melahirkan “have it all woman”, tetapi realitinya akan melahirkan “do it all woman” – seseorang yang bukan sahaja akan sentiasa dibebani dengan tanggungjawab rumahtangga tetapi juga dibebani dengan tanggungjawab kewangan keluarga dengan bersusah payah memelihara kerjaya yang mencabar. Dengan “dirantai di sinki dapur” (being chained to the kitchen sink) dengan pantasnya akan diganti dengan “dirantai di pasaran ekonomi” (being chained to the economic market).

Tambahan pula, diskriminasi gender dan kesulitan untuk meningkat maju (glass ceilings) masih wujud dalam masyarakat Barat sama seperti keganasan rumahtangga dan penderaan terhadap wanita – dua abad setelah lahirnya laungan kesetaraan gender. Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan rang undang-undang kesetaraan (“Equalities Bill”) baru yang membahaskan isu-isu seperti perbezaan gaji dan meluluskan rang undang-undang mengenai diskriminasi terhadap wanita bagi menangani masalah diskriminasi yang berterusan terhadap wanita ditempat kerja – isu-isu dasar tentang hak-hak wanita yang berterusan melanda persekitaran tempat kerja dan kehidupan umum dalam masyarakat sekular Barat. Tambahan pula, baru-baru ini sebuah laporan dari Home Office telah mendapati lebih 650,000 kes-kes keganasan rumahtangga telah dilaporkan pada tahun lepas di United Kingdom – ini menunjukkan peningkatan tiga kali ganda dari tahun sebelumnya.

Apa yang nyata adalah dengan memperolehi kesetaraan peranan, tanggungjawab dan hak dalam perkahwinan dan masyarakat, tidak bererti secara automatik wanita mendapat jaminan tentang kehormatan, anti-diskriminasi dan perlindungan sama seperti peranan, tanggungjawab dan hak-hak lelaki dan wanita yang berbeza dalam Islam akan melahirkan penindasan, ketidakhormatan dan bahaya terhadap wanita pada umumnya. Layanan terhadap wanita bergantung kepada pandangan dan nilai-nilai yang telah dipropagandakan oleh mana-mana masyarakat sama seperti kepentingan dan penghargaan terhadap wanita. Dalam masyarakat liberal sekular, malah terdapat satu jurang antara seruan kearah memberi penghormatan dan penghargaan yang setara terhadap wanita dengan konsep kebebasan yang membolehkan lelaki untuk berpandangan dan melayan wanita seperti mana yang diingininya.

Pandangan Islam.

“Kesetaraan gender” bukanlah satu konsep yang terkandung dalam Islam. Islam tidak membandingkan wanita dengan lelaki atau melihat apakah yang terbaik untuk wanita berlawanan dengan apakah yang terbaik untuk lelaki apabila menerangkan hak dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga ataupun bermasyarakat. Lebih tepat ia melihat kepada keperluan lelaki dan wanita sebagai manusia dan apakah yang terbaik untuk kehidupan keluarga dan komuniti keseluruhannya untuk mencapai kesejahteraan. Oleh itu, dalam beberapa bidang, hak-hak dan peraturan-peraturan adalah serupa, contohnya hak sebagai warganegara termasuk hak keadilan, hukuman yang serupa untuk jenayah yang serupa, hak untuk mengundi ketua negara dan suara berpolitik dalam masyarakat. Dalam beberapa bahagian, tanggungjawab adalah sama, contohnya solat, puasa, mengerjakan haji, membayar zakat, dan muhasabah pemerintah.

Walaubagaimanapun, dalam beberapa isu, hak dan peranan antara lelaki dan perempuan adalah berbeza, contohnya dalam proses penceraian, kod berpakaian, harta warisan, mahar yang diberi oleh pengantin lelaki kepada pengantin wanita dalam perkahwinan, poligami, memerlukan 2 orang saksi wanita untuk memberi saksi di mahkamah berbanding dengan hanya seorang bagi lelaki, hak penjagaan anak serta peranan dan hak dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.

Oleh itu, dalam sesetengah perkara, Allah Subhanahu wa Taala telah memberikan lelaki hak-hak tertentu yang tidak mungkin mampu dipikul oleh wanita dan dalam isu yang lain Dia Subhanahu wa Taala pula telah memberikan wanita hak-hak yang tidak mungkin mampu dipikul oleh lelaki. Islam tidak melihat perbezaan sebagai masalah atau diskriminasi kerana ia tidak melihat satu peranan atau hak dalam sesuatu perkara itu mengatasi yang lain. Contohnya, dalam kehidupan berkeluarga, Islam menerangkan bahawa tanggungjawab lelaki sebagai pencari nafkah manakala wanita sebagai pengurus dan ibu rumahtangga kepada anak-anak. Allah Subhanahu wa Taala berfirman,

“Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’aruf” [TMQ Al-Baqarah:233]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Setiap kamu adalah penjaga, dan setiapnya bertanggungjawab keatas setiap orang dibawah jagaannya. Seorang pemerintah adalah penjaga; seorang lelaki adalah penjaga keluarganya; seorang wanita adalah penjaga rumah suami dan anak-anaknya. Dan setiap dari kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab keatas jagaannya”. [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Satu peranan mengatasi peranan yang lain, akan tetapi kedua-duanya adalah penting untuk memastikan kelangsungan fungsi sebuah keluarga dan kemajuan masyarakat amnya. Bagi masyarakat Barat, sebarang perbezaan hak dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita dalam Islam sering ditakrifkan sebagai satu pengkhianatan kesetaraan dan oleh itu, ia serta merta dianggap tidak adil dan menindas tanpa meneliti apakah yang ingin dicapai oleh hukum-hakam Islam dalam kehidupan berkeluarga atau masyarakat. Contohnya, Islam telah menetapkan peranan penjaga dan pemimpin keluarga kepada lelaki, bukan kerana lebih tinggi kedudukannya tetapi untuk tujuan pengurusan kehidupan berkeluarga. Sesungguhnya, Mary Astell, salah seorang diantara feminis English yang awal, telah membuat kesimpulan bahawa seorang isteri mesti mematuhi suami, bukan atas dasar lebih tinggi kedudukannya tetapi untuk pengurusan kehidupan rumahtangga. Dari segi kewangan dalam Islam, wanita sepatutnya dibiayai oleh ahli keluarganya yang lelaki, komuniti serta negaranya. Oleh itu, walaupun seorang wanita itu dibenarkan untuk bekerja, tidak harus ada tekanan masyarakat dan kewangan keatasnya jika dia memilih untuk tidak berkompromi akan tugas utamanya sebagai seorang isteri dan ibu serta mengasuh pemikiran dan tingkah laku generasi akan datang. Kekayaan yang diperolehi oleh seorang wanita dari bekerja atau warisan boleh dibelanjakan sesuka hatinya tanpa mengambil kira keperluan kewangan keluarganya. Walau bagaimanapun, lelaki bertanggungjawab untuk membelanjakan pendapatannya dan sebarang warisan bukan sahaja untuk membiayai isteri dan anak-anaknya tetapi juga saudara wanitanya jika diperlukan. Sesungguhnya ia adalah satu hujah yang aneh dimana ia menyatakan tugas dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga tidak adil keatas wanita. Walhal, ini adalah satu keringanan baginya kerana bebanan kewangan untuk keluarganya tidak lagi terletak dibahunya. Ia juga satu pandangan yang tidak rasional keatas wanita, seolah–olah buta keatas ketidakadilan yang diletakkan di bahu “superwoman” yang bertungkus-lumus setiap hari untuk mengimbangi tanggungjawab ke atas keluarga dan mencari nafkah. Wallahu ‘alam bisshawab.


Nota: bahagian terakhir artikel ini akan bersambung pada keluaran akan datang.

Adakah Islam Menindas Wanita (Bhg 1)



“Ini adalah kenyataan: Lebih Islami sesebuah negara itu, lebih terkongkong wanitanya…”Peter Hitchens – [Mail, Ahad].

“Hijab….dengan serta-merta menunjukkan satu sistem kepercayaan dimana wanita adalah lebih rendah mertabatnya dari lelaki dan ini tidak boleh ditoleransi di sini.” Minette Marrin – [The Times]

“(Berkenaan pakaian Islam)…kepada saya, nilai yang cuba ditonjolkan dengan berpakaian begini adalah menjijikan dan mengaibkan. Saya mendapati bahawa berpakaian sebegini merupakan satu manifestosatu amalan tradisi lapuk…yang menindas dan menjadikan wanita mangsa, adakalanya sangat hina, zalim dan kejam.” – [Deborah Orr – The Independent]

Sejak berabad, jika tidak berzaman, “wanita Muslim” telah dijadikan “poster–girl” lambang penindasan wanita secara global. Ungkapan “syariah” apabila dikaitkan dengan perkataan “Wanita”, sering dilabelkan sebagai warga kelas kedua (second-class citizen), diskriminasi, tidak adil, ganas, lebih rendah martabatnya dari lelaki, dikuasai oleh kaum lelaki, tidak penting kepada masyarakat, dan hamba kepada lelaki. Walau bagaimanapun, fakta yang nyata adalah secara global wanita lebih banyak memeluk Islam dibandingkan dengan lelaki (di beberapa negara Barat, nisbahnya 4:1); malah apa yang nyata adalah pertambahan wanita yang memakai hijab dan jilbab, walaupun di Barat.

Malah, dalam tinjauan terhadap pendapat umum di dunia Islam dalam beberapa tahun kebelakangan ini menujukkan pertambahan bilangan wanita Islam berharap penerapan undang-undang syariah di negara mereka, setidak-tidaknya semua ini boleh mempersoalkan persepsi tentang layanan terhadap wanita dalam Islam. Oleh yang demikian, adakah Islam menindas wanita dan jika tidak, dari manakah persepsi mengenai layanan wanita itu timbul? Dalam penulisan ini, bahagian pertama dari dua bahagian artikel, kita akan mengkaji dua hujah yang dibawa oleh Barat sebagai bukti bahawa Islam menindas wanita:

(1) Ketidakadilan yangdihadapi oleh wanita di dunia Islam dan komuniti Islam diBarat; (2) Pembatasan Islam terhadap kebebasan berpakaian, hubungan dan cara hidup oleh wanita.


1)Ketidakadilan yang dihadapi oleh wanita di dunia Islam dan komuniti Islam di Barat:

Tidak disangkal lagi, realiti saat ini yang dihadapi oleh berjuta wanita Muslim di dunia Islam termasuk beratus di Britain ini adalah saturealiti yang menyakitkan – kahwin paksa; pembunuhan terhormat (honour killing), beribu wanita dimasukkan ke hospital setiap tahun kerana muka mereka disimbah dengan asid kerana membantah untuk dijodohkan atau bertelagah dalam perkahwinan dan pemberian mas kahwin. Islam sering dikenal pasti sebagai faktor utama kepada semua ketidak-adilan terhadap wanita, walaupun satu kajian ringkas mengenai peraturannya akan menunjukkan perbuatan –perbuatan tersebut adalah dibenci oleh agama.

Perkara–perkara ini adalah akibat dari adat resam suku kaum yang tidak Islami atau budaya tradisi yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat. Tambahan pula, amalan–amalan ini telah menyediakan tapak– tapak yang subur untuk berkembang-biak oleh regim–regim diktator di dunia Islam. Pemerintah–pemerintah ini telah menutup sebelah mata terhadap budaya tradisi yang kejam ini dengan membiarkan jenayah ini tanpa hukuman. Malahan, semua ini telah memulakan ketidak-adilan terhadap wanita yang mana mangsa rogol meringkuk di dalam penjara, wanita menghadapi kemiskinan tegar, tidak berpeluang dalam bidang pendidikan, kesihatan, pekerjaaan dan hak berpolitik.

Sebahagian dari negeri- negeri ini telah dikaitkan dengan Islam, tetapi, jika diteliti secara dekat pada struktur pemerintahan, undang-undang dan perlembagaan mereka, telah memperlihatkan pemerintahan beraja, sistem kesukuan, pemerintahan diktator sekular atau republik – struktur yang telah meletakkan kedaulatan undang-undang itu ditangan–tangan manusia dan oleh itu pasti akan bercanggah dengan sistem pemerintahan Islam, Khilafah yang meletakkan kedaulatan undang – undang ditangan Sang Pencipta dimana peraturan dan hukumhakamnya berasal dari nas-nas Syarak. Jika dibandingkan, hak wanita dalam Islam adalah jelas: hak untuk belajar, bekerja, mengundi, berpolitik, mempunyai pilihan dalam perkahwinan dan hak untuk bercerai, hak sebagai warganegara setara dengan lelaki dalam masyarakat dan yang paling penting adalah hak kehidupan dan maruahnya mesti dihormati dan dilindungi.

Walau bagaimanapun, tidak seperti masyarakat Barat dimana wanita sering berlawan dengan sistem untuk mendapatkan hak-hak mereka, sejarah Islam telah menjelaskan bahawa hak-hak wanita diberi kepada mereka berlandaskan kepada hukumhakam Islam iaitu Sistem Khilafah. Apabila sistem ini menjadi lemah dan dihapuskan pada tahun 1924, hak-hak wanita tidak lagi mendapat jaminan dan wanita Islam tidak mendapat keadilan dalam aspek budaya kesukuan, menjadi mangsa regim autokratik serta tafsiran dan penerapan hukum-hakam Islam yang salah.

(2) Batasan Islam tentang kebebasan memilih bagi wanita:

Diantara hujah-hujah yang dibawa oleh Barat tentang Syariah hukum Islam yang didakwa sebagai menindas wanita adalah mengenai hukum-hakam yang membatasi wanita, tidak menjamin kebebasan peribadi dan seksual mereka, serta menafikan pilihan mereka tentang cara berpakaian, pemisahan dan larangan bersosial diantara lawan jenis, dan hukuman berat bagi zina atau persetubuhan haram. Masalah pokok disini adalah ‘method’ atau kaedah pembelajaran tentang Islam. Sesetengahnya telah mengkaji hukum-hukum Syarak secara berasingan dari sistem Islam yang komprehensif untuk masyarakat. Sebahagian lain telah mentafsir nilai-nilai dan hukum-hakam Islam berlatarbelakangkan standard, nilai dan peraturan Sekular-Barat. Sebarang perbezaan sentiasa dilabelkan sebagai penindasan tanpa mengkaji dan membandingkan keseluruhan kesan nilai-nilai dan
peraturan–peraturan tersebut keatas masyarakat. Berdasarkan kepada sejarah, terdapat satu keutamaan mempelajari Islam melalui kaca mata “Euro–centric”.

Di dalam perbahasan berkenaan Islam dan wanita, terdapat petikan kata-kata dari seorang penjajah: Lord Cromer, Konsul Jeneral British di Mesir di abad ke 19, pernah menulis, “Orang-orang Mesir seharusnya dipujuk atau dipaksa untuk menerima peradaban Barat yang sebenar” dan untuk mencapainya, adalah amat penting untuk menukar posisi wanita didalam Islam, kerana Islam sendiri merendahkan martabat wanita dengan bertudung dan memisahkan lelaki dan perempuan yang menjadi halangan utama bagi orang-orang Mesir untuk pencapaian yang tinggi dalam pemikiran dan peribadi yang sepatutnya mengiring peradaban Barat”.

Walau bagaimanapun, nilai-nilai liberal ini mempunyai masalah-masalah tersendiri. Contohnya, mereka diberi lesen untuk mengeksploitasikan tubuh wanita melalui industri pornografi, iklan dan hiburan. Apabila martabat wanita direndahkan, perbuatan seperti gangguan seksual, penderaan dan rogol mungkin kurang dibenci oleh sebahagian lelaki seperti yang terbukti dari peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat Barat. Menurut Kajian Jenayah British 2007, 230 wanita telah dirogol setiap hari di UK. Menurut Kajian Jenayah British 2004, satu diantara empat wanita di UK pernah mengalami beberapa gangguan seksual semenjak berumur 16 tahun. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat juga pernah melaporkan data mengenai serangan seksual di Amerika Syarikat, menunjukkan setiap 2 minit, seorang wanita akan mengalami serangan seksual. Di dalam masyarakat seperti ini, ujudkah pilihan untuk tidak merasa takut atas sebarang gangguan dan bahaya untuk berpergian, bekerja dan belajar?

Bahkan, kebebasan seksual telah melahirkan satu budaya perlakuan hubungan jenis secara rambang, malah peningkatan kadar kehamilan remaja, penguguran, penyakit jangkitan seksual atau sexuallytransmitted disease (STD) dan penzinaan, mengakibatkan runtuhnya institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Menurut satu kumpulan penasihat kerajaan tentang kesihatan seksual, terdapat 63% peningkatan STD sepanjang abad lalu. Ditambah pula, jika masyarakat memupuk sikap hak atau kebebasan peribadi melebihi segala yang lain, dia mesti memahami konsekuensinya – ‘pilihan’ oleh seorang lelaki untuk menjadi bapa kepada anak-anak yang berlainan ibu dan tidak bertanggungjawab dari segi fizikal dan mental keatas anak dan ibu;
‘pilihan’ oleh ibubapa untuk mengabaikan anak-anak mereka untuk mengejar impian sendiri; ‘pilihan’ seseorang individu itu untuk mengabaikan orang tua atau saudaranya kerana terlalu fokus dalam keinginan-keinginan mereka dalam hidup.

Islam tidak mempercayai kebebasan individu tetapi bertujuan untuk melindungi nilai-nilai di dalam masyarakat – nilai-nilai seperti kesucian, maruah dan kehormatan lelaki dan wanita, perkahwinan yang kukuh, kekuatan kekeluargaan dimana setiap anak dilahirkan didalam ikatan perkahwinan, mengetahui ibu dan bapa mereka, dan mengetahui tanggungjawab kewangan, fizikal dan kebajikan mental. Ia juga mempercayai kerjasama diantara lelaki dan perempuan didalam masyarakat disegi pendidikan, ekonomi, politik dan kehidupan sosial amnya. Ia tidak melihat apakah yang boleh memaksimakan keseronokan individu dalam masyarakat tetapi, apakah yang terbaik untuk kehormonian, keselamatan dan kehormatan untuk masyarakat keseluruhannya.

Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Perumpamaan orang-orang yang menjaga hukumhukum Allah (hudud) dan orang-orang yang meninggalkannya adalah umpama orang-orang yang berkongsi satu bahtera. Sebahagian akan duduk di tingkat atas dan sebahagian lagi di tingkat bawah. Orang–orang yang duduk ditingkat bawah perlu naik ketingkat atas jika memerlukan air. Jika mereka berkata, kenapa tidak dibuatkan lubang di tingkat kita supaya mudah mendapat air dan tidak perlu menyusahkan mereka yang ditingkat atas. Jika mereka yang di tingkat atas membiarkan perkara ini berlaku, kesemua penumpang kapal akan tenggelam. Tetapi, jika mereka dilarang melakukannya, maka kesemua mereka pasti akan terselamat.”

Islam yakin bahawa kebebasan seksual dan keseksualan masyarakat boleh melahirkan satu budaya hubungan seks secara rambang dan perzinaan yang akan membahayakan nilai-nilai yang ingin dilindungi dalam masyarakat. Oleh yang demikan, Islam telah menetapkan pelbagai undang-undang, hukumhakam dan batasan untuk mengatur hubungan diantara lelaki dan perempuan dalam masyarakat, berusaha dan memastikan bahawa keinginan dan hubungan seksual adalah terbatas iaitu hanya dengan wujudnya ikatan perkahwinan dan dijauhkan dari kehidupan umum.

Hukum tentang berpakaian (khimar dan jilbab), larangan bersosial diantara berlainan jantina, larangan lelaki dan perempuan berdua-duaan di tempat yang sunyi dan hukuman
yang berat bagi zina, dan fitnah adalah diantara hukum dan peraturannya. Islam tidak
mempercayai idea bahawa seseorang wanita itu boleh dipandang menurut “kebebasan” atau ‘pilihan” oleh lelaki tetapi, mewajibkan masyarakat untuk memuliakannya dan menghormati pandanganya.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda,
“Dunia dan seluruh benda didalamnya adalah berharga tetapi yang paling berharga didalam dunia ini adalah seorang wanita yang suci.” Menggunakan tubuh wanita untuk menjual sebarang produk atau servis adalah diharamkan. Matlamatnya ialah untuk melahirkan satu masyarakat yang mana wanita boleh berinteraksi dengan lelaki dan
mempunyai kehidupan umum yang aktif tetapi juga selamat serta saling menghormati.

Di dalam Bahagian 2 (di keluaran yang akan datang), kita akan mengkaji hujah yang menyatakan Islam mendiskriminasikan wanita serta ketidak-samarataan gender akibat perbezaan hak, tanggungjawab dan hukum-hakam untuk lelaki dan perempuan dalam beberapa isu seperti peranan dan hak dalam perkahwinan dan hidup berkeluarga, hukum perceraian, hukum harta pusaka, hukum berpakaian, poligami dan larangan perempuan menjadi ketua sebuah negara.