Showing posts with label Hukum Mengenai Wanita. Show all posts
Showing posts with label Hukum Mengenai Wanita. Show all posts

Saturday, May 9, 2009

Busana Muslimah: Di manakah Identiti Islamnya?




Sejak zaman berzaman, pakaian memiliki pelbagai fungsi dalam sejarah peradaban manusia. Bukan sekadar penutup anggota badan tertentu, tetapi ia juga menjadi penghias tubuh sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala "Wahai anak Adam (manusia), sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada mu pakaian untuk menutupi (aurat) tubuh mu dan untuk perhiasan." [TMQ Al-A’raf:26]. Secara umumnya, dari tatacara, bentuk dan fesyen, pakaian dianggap mencerminkan keperibadian seseorang. Sebagai Muslimah, antara perintah Allah yang terbeban ke atas bahu mereka adalah mengenakan pakaian untuk menutup seluruh aurat yang tidak layak ditunjukkan kepada selain mahram mereka. Dari sini, muncul apa yang disebut sebagai ‘Busana Muslimah’. Umumnya, busana Muslimah adalah pakaian yang mematuhi hukum syarak dan memakainya mencerminkan seorang Muslimah yang taat atas ajaran agama dalam tatacara berbusana. Bukan sekadar simbol atau lambang sebaliknya mengenakan busana Muslimah bermakna seorang perempuan itu membuat pengisytiharaan kepada makhluk Allah akan keyakinan dan keimanannya, pandangannya terhadap dunia dan jalan hidup yang dia tempuh di mana semua itu berdasarkan kepada keyakinan mendalam terhadap Allah Yang Maha Esa.

Kecenderungan terhadap Islam dan stigma ‘kembali kepada deen yang mulia ini’ sedikit sebanyak meluaskan peranan busana Muslimah dalam kehidupan wanita Islam. Di Barat misalnya, seorang produser filem Kanada bernama Jawad Jafry sebagaimana laporan Arab News pada 29 September 2007 telah menerbitkan satu dokumentari bertajuk “Hijab: An Act of Faith” menerangkan bahawa penggunaan hijab merupakan suatu identiti khas Islam yang mampu menyatukan kaum Muslimin menjadi satu tubuh. “Hijab bukan sahaja sebagai identiti Muslim, tetapi lebih dari itu, sebagai alat penyatu, sebagai pembeza,antara kaum Muslimin dengan yang lainnya,”tambahnya. [http://akar03.multiply.com/journal/item/23/Jawad_Jafry_Lawan_Stigma_Jilbab_di_Barat_dengan_Film]. Di Malaysia, kita mendapati tudung (khimar) yang perintah memakainya termaktub di dalam Surah An-Nur (24):31 “Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” dianggap oleh sebahagian umat Islam sebagai satu-satunya bukti pematuhan seorang Muslimah kepada hukum syarak. Akibatnya, walaupun tiada sehelai rambut kelihatan, akan tetapi sebahagian Muslimah tampil di khalayak ramai dengan pelbagai bentuk, fesyen dan rupa kerana membuat andaian bahawa perintah menutup aurat telah mereka patuhi sekiranya rambut telah ditutup sebahagian atau keseluruhannya. Terbaru, bekas isteri pengacara Akademi Fantasia musim ke enam sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar Harian Metro 19 Disember 2008 telah ditegur oleh hakim kerana memakai baju ‘ala-ala perang’ iaitu memakai baju kemeja putih berjalur hitam dan vest kelabu serta seluar hitam. Teguran hakim adalah kerana ia pakaian yang tidak sesuai untuk menghadiri prosiding di mahkamah, seolah-olah di luar mahkamah, ia adalah pakaian yang sah dan syarie.

Festival Busana Muslim (Islamic Fashion Festival) Kuala Lumpur yang julung-julung kalinya diperkenalkan lima tahun lalu telah berlangsung di Hotel JW Marriot Kuala Lumpur pada 22 hingga 30 November 2008 yang lalu dengan penyertaan 44 pereka dari lima negara termasuk Malaysia. Festival yang dimeriahkan dengan rekaan ikon-ikon fesyen seperti Bernard Chandran, Tom Abang Saufi, Melinda Looi, Michael Ong, Khoon Hooi and Albert King turut mempamerkan label dan jenama seperti Jendela Batik, ETRO, Aktif Bistari, Khadani dan lain-lain. Selain daripada pereka fesyen tempatan, pereka-pereka dari luar negara juga turut dijemput untuk memeriahkan lagi acara dan menambah warna serta hasil reka cipta.

Perkembangan ini menjadikan fesyen ataupun model pakaian Islam berubah menjadi satu ikon perniagaan yang berjaya. Butik Busana Muslimah tumbuh bak cendawan selepas hujan. Malah Ekin, isteri “Raja SMS” pernah menyatakan akan membuka sebuah butik selepas perkahwinannya nanti. Selain itu, artis-artis yang berbusana Muslim dengan pelbagai fesyen menjadi idola kepada masyarakat setempat yang mana fesyen tersebut menjadi ikutan malah kegilaan segelintir umat yang amat ‘dahagakan’ cara berpakaian Islam yang sebenar.

Malangnya, jika diperhatikan Muslimah yang mengaku Islam ramai yang telah hilang identiti dan jati dirinya sebagai seorang Muslimah sebenar. Kebanyakan dari mereka terus hanyut mengikut arus semasa, sedangkan ada sebahagiannya lagi sesat tanpa disedari. Dengan menutup kepala, berbaju senteng dan berseluar ketat juga dianggap sebagai busana Muslimah. Malah pelbagai fesyen busana Muslimah yang ranggi, nampak “up-to-date” dan glamor juga mudah kita dapati di mana-mana. Tempias kepada aliran fesyen busana Muslim ‘masakini’ juga bukan sedikit, malah sekarang ini kita dapat lihat dimana-mana kaum Muslimah kita ayu berbusana Muslim dengan gaya moden.

Persoalan yang hendak dikemukakan di sini ialah sejauh mana fesyen busana Muslim ini bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan Syariat? Ini kerana sebagai Muslimah yang mengakui ke-Esaan Allah Subhanahu wa Taala dan mengagumi Muhammad Sallallahu alaihi wa Salam sebagai RasulNya, perlu kita ketahui bahawa segala aturan hidup kita ini telah ditentukan oleh-Nya. ISLAM yang kita anuti bukan sekadar satu agama semata. Akan tetapi Islam itu juga adalah sebuah ideologi (satu pemikiran yang dijadikan sebagai cara hidup). Islam adalah; “Satu agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan hubungan manusia dengan orang lain”. Islam adalah satu aqidah yang dijanjikan Allah akan kesempurnaannya. Sama ada disedari atau tidak, aqidah Islam ‘memaksa’ penganutnya untuk terikat dan tunduk kepada ajarannya iaitu perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Taala yang menciptakan manusia , alam dan kehidupan dengan nama lain terikat dengan Hukum Syarak. Sebagai seorang Muslim, hukum syarak hendaklah dijadikan landasan dalam setiap aspek perbuatannya sebagaimana kaedah usul fiqh yang menyatakan:“Asal/dasar bagi setiap perbuatan itu adalah terikat dengan hukum syarak.”

Persoalan yang kemudian mungkin timbul adalah mengapa mesti dengan hukum syarak’? Ini adalah kerana hukum syarak’ merupakan peraturan yang telah dicipta oleh Al-Khaliq, Tuhan yang Maha Esa, yang telah menciptakan manusia, alam dan kehidupan yang diagungkan serta memiliki segala kemuliaan di langit dan di bumi. Inilah Tuhan yang disembah oleh setiap manusia yang mengaku dirinya Muslim. Sebagai Pencipta yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan maka selayaknya Dia menurunkan aturan bagi mengatur makhluk-makhluk Nya dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Ini kerana hanya pencipta yang dapat memahami dan mengetahui segala kehendak dan tabiat makhluk ciptaan-Nya. Manakala sebagai Muslim yang beriman dengan segala kekuasaan-Nya secara fitrah juga sepatutnya dia mengetahui akan kewajipannya untuk terikat dengan segala perintah dan larangan-Nya.

Tulisan ini ingin memberikan satu panduan bagaimanakah yang dinyatakan sebagai seorang wanita yang memenuhi kriteria sebagai wanita Muslimah yang sejati dari aspek pakaian (malbusat).
Seorang Muslimah telah diperintahkan/diwajibkan menutup auratnya, namun demikian apakah syarat-syarat untuk menyatakan bahawa seorang wanita itu telah menutup aurat dengan makna yang sebenar?

Dalil yang berkaitan dengan menutup aurat.

Firman Allah Subhanahu wa Taala : Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak pada dirinya.” [TMQ An-Nur (24): 31].
Hadis Nabi: “Wahai Asma’ sesungguhnya apabila seorang perempuan itu telah baligh (datang haid), tidak sepatutnya dia menampakkan anggota tubuh badannya kecuali ini dan ini (sambil Rasulullah mengisyaratkan muka dan kedua telapak tangan)”

Batasan Aurat

Pelbagai pentafsiran dibuat oleh pelbagai golongan, namun sebagai seorang Muslim yang mengaku Allah adalah yang Maha Esa dan Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya. Oleh yang demikian sudah pasti kita wajib menerima dan mengambil pakai perintah yang didasari dengan syariat Nabi Muhammad dan bukannya syariat yang dibuat oleh akal manusia.
Dari sini cuba kita fahamkan maksud firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah An-Nur secara teliti; “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak pada dirinya.” [TMQ An-Nur (24): 31]

Dari ayat di atas kita dapati ianya menjelaskan tentang bahagian anggota badan wanita mana yang boleh dilihat. “illa mazhahara minha” adalah merujuk kepada muka dan kedua belah tapak tangan, kerana hanya dua anggota ini sahaja yang biasa nampak pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam membiarkannya sahaja sedangkan pada masa itulah perintah ini diturunkan. Selain itu juga, kedua anggota ini sahaja yang biasanya terlihat sewaktu melakukan ibadah, seperti solat dan haji.
Selain dari dalil-dalil yang telah dinyatakan di atas, ada alasan lain yang boleh menyokong penyataan yang menyatakan bahawa seluruh anggota badan wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan. Sebagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah bersabda: “Wanita adalah Aurat”
“Jika seorang wanita telah sampai usia baligh, maka dia tidak boleh menampakkan anggota tubuhnya,kecuali mukanya dan ini. (Rasulullah menggenggam pergelangannya sendiri, lalu membiarkan telapak tangannya saling menggenggam satu sama lain.)”
Bagaimana pula etika pakaian yang dikatakan menutup aurat? Dalil syariat telah menetapkan kewajiban ke atas wanita untuk menutupi kulitnya sehingga tidak diketahui warnanya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Aisyah radiallahu anha. Telah dinyatakan bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah memasuki kawasan Nabi SAW dengan berpakaian nipis (jarang).

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam segera memalingkan mukanya dan bersabda: “Wahai Asma’ sesungguhnya apabila seorang perempuan itu telah baligh (datang haid), tidak sepatutnya dia menampakkan anggota tubuh badannya kecuali ini dan ini (sambil Rasulullah mengisyaratkan muka dan kedua telapak tangan”
Hadis di atas jelas menerangkan bahawa kain yang nipis/jarang tidak memenuhi etika menutup aurat, bahkan ia dianggap telah membuka aurat sekiranya seorang wanita memakai pakaian yang nipis. Ini ditegaskan dengan keadaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam memalingkan mukanya sewaktu Asma’ masuk.

Dalil lain yang mengukuhkan lagi perkara ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari Usamah. Dinyatakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam tentang kain yang nipis (al-qabtiyah) kerana beliau telah memberikan kepada isterinya untuk dipakai. Mendengarkan tentang perkara yang disampaikan itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Suruhlah isterimu untuk mengenakan kain nipis (al-ghilalah) lagi di bahagian dalamnya, kerana aku khuatir kalau sampai nampak warna tubuhnya.”
Frasa kata qabtiyah bermaksud sehelai kain nipis, sebaik sahaja Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam mengetahui Usamah telah memberikan kain nipis kepada isterinya untuk dipakai, baginda segera memerintahkan agar Usamah menyuruh isterinya memakai pakaian lapisan kain yang lain agar tidak kelihatan warna kulitnya di sebalik kain itu.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam memberikan alasan (‘illat) dalam perkara di atas sebagaimana sabdanya: “aku khuatir kalau sampai nampak warna tubuhnya”, sebagaimana kaca yang terlihat apa yang ada di sebaliknya.
Adalah di harapkan agar penjelasan tentang aurat tadi dapat difahami. Tiada pakaian khas untuk menunjukkan tentang kesempurnaan menutup aurat. Seluar panjang, skirt labuh dan apa jua pakaian yang dapat menutup seluruh anggota, maka ia telah menutup aurat. Namun demikian apakah dengan pakaian menutup aurat sahaja telah mencukupi bagi seorang wanita? Tidak! Ini kerana Islam telah menyediakan satu pakaian yang bercirikan khusus bagi wanita apabila seorang wanita itu keluar dari kawasan khususnya. Ciri-ciri pakaian yang khusus untuk wanita ini adalah dalam rangka Allah Subhanahu wa Taala memelihara martabat dan kehormatan setiap Muslimah. Sebab itulah bab menutup aurat dan pakaian khusus ini tidak boleh di campur-adukkan. Ini kerana setiap bab memiliki dalil dan hujah yang berbeza.


Pakaian khusus untuk wanita di kawasan umum


Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkan bahawa ada pakaian yang khusus bagi seorang wanita sewaktu wanita tersebut keluar dari kehidupan peribadi atau kehidupan khususnya (hayat al-khassah); seperti pergi ke pasar, pejabat dan sebagainya. Setiap wanita ini wajib memakai jilbab (satu pakaian yang terus bersambung, tidak terpotong-potong. Pakaian ini lebih mirip dikatakan jubah). Ini merupakan pakaian di bahagian bawah iaitu pakaian wanita yang menutupi bahagian tubuhnya dari leher hingga menutupi kakinya. Manakala pakaian di bahagian atas pula adalah yang menutupi kepala, leher dan dada. Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkan ciri-cirinya; iaitu sehelai kain lain iaitu tudung yang dapat menutupi seluruh kepala leher dan kawasan dadanya (dada depan dan dada belakang) ataupun di sebut sebagai khimar.
Dalil yang menyatakan tentang dua jenis pakaian ini telah diterangkan sebagaimana firman Allah yang berikut:

Pakaian Atas (Khimar)

“Hendaklah mereka menutupkan tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah dia menampakkan perhiasannya…..” [TMQ An-Nur (24): 31]

Dalam ayat di atas jelas menyatakan tentang bentuk pakaian bahagian atas, yang mana setiap wanita Muslimah wajib memakai kain tudung yang dapat menutup kepala, kawasan leher serta kawasan sekitar dada.

Pakaian Bawah (Jubah@Jilbab)

“Wahai Nabi, katakanlah kepada para isterimu, anak-anak perempuan kamu dan para perempuan mukmin hendaklah mereka mengulurkan (melabuhkan/memanjangkan) jilbab mereka.” [TMQ Al-Ahzab (33): 59].


Apa yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah jelas menunjukkan bahawa setiap wanita Muslimah wajib mengulurkan (melabuhkan) pakaian untuk menutup pakaian sehariannya (mihnah/tsaub iaitu pakaian basahan yang biasa dipakai dalam kawasan khususnya iaitu sewaktu bersama mahramnya) sewaktu dia mahu keluar rumah. Jilbab adalah kain yang panjang (milhafah) atau semacam selimut (mula’ah), yang mirip jubah sebab berdasarkan makna yang telah dinyatakan tadi hanya jubah yang memenuhi kriteria jilbab. Ciri-ciri lain bagi pakaian luar ini ataupun jilbab adalah sebagaimana Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman:

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak pada dirinya.” [TMQ An-Nur (24): 31]

Tempat perhiasan yang dimaksudkan pada ayat di atas adalah seperti dada, dua lengan dan dengan kata lain mencakupi sebagaimana syarat-syarat menutup aurat. Selain ayat di atas kewajiban memakai jilbab ini telah diperkukuhkan lagi berdasarkan hadis berikut:

Ummu ‘Atiyyah pernah menyatakan: “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah memerintahkan kami (setiap wanita, tiada yang terkecuali sama ada merdeka atau tidak, berkahwin atau belum) untuk keluar pada hari raya (sama ada Fitri atau Adha)-untuk keluar ke dataran (kawasan lapang). Bagi wanita yang sedang haid diperintahkan menjauhi tempat solat, namun tetap menyaksikan kebaikan dan seruan atas kaum Muslimin. Aku bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam: ‘Wahai Rasulullah salah seorang dari kami tidak memiliki jilbab.’ Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab: ‘Hendaklah saudaranya meminjamkan jilbab kepadanya.’”

Hadis di atas ini jelas menunjukkan bahawa pemakaian jilbab menjadi kewajiban setiap wanita Muslimat, ini kerana frasa kata “Hendaklah saudaranya meminjamkan jilbab kepadanya” menunjukkan bahawa perintah memakai jilbab adalah wajib kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam tidak memberikan pilihan lain kepada wanita itu untuk keluar sebagaimana yang diperintahkan. Apa yang jelas penegasan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam itu adalah jika tiada sesiapa yang dapat meminjamkan wanita tersebut jilbab kepadanya, maka wanita itu tidak boleh keluar. Selain daripada itu sehelai jilbab mestilah longgar dan tidak menampakkan bentuk badan sebagai mana apa yang di katakan sebagai kain yang panjang (milhafah) atau semacam selimut (mula’ah). Apabila segala ciri jilbab dipenuhi, Insyaallah, jaminan Allah sebagaimana yang telah dijanjikan iaitu akan terpeliharanya kehormatan dan martabat seorang wanita akan dapat dilihat.

Khatimah

Melihat dari fenomena keragaman budaya berpakaian atau berbusana kepada kaum Muslimah yang ada di dunia ini, ada kalanya wujud pertentangan antara satu budaya dengan yang lain. Maka, sangat perlu wujud parameter khusus yang menjadi tolok ukur untuk menentukan adakah tatacara berpakaian itu selaras dengan hukum syarak atau tidak. Di sini, tolok ukur adalah ‘standard perbuatan’ (miqyas al-amal) iaitu dalil-dalil yang digali dari sumber wahyu. Apa yang pasti, berbusana hendaklah dilakukan dengan niat untuk menutup aurat, bukan kerana mahu tampil anggun di mata lawan jenis, dipandang hebat, lebih Islamik atau kerana hak asasi, sebaliknya menutup aurat dengan busana muslimah adalah dalam rangka untuk meraih keredaan Illahi.



Wallahu ‘alam bisshawab.

Tabarruj dan Iktilath

Definisi Tabarruj

Menurut bahasa, tabarruj adalah wanita yang mempamerkan keindahan dan perhiasannya kepada lelaki [Ibnu Manzhur dalam Lisanul Arab]. Tabarrajatil mar’ah ertinya wanita yang menampakkan kecantikannya, lehernya dan wajahnya. Ada yang mengatakan, maksudnya adalah wanita yang menampakkan perhiasannya, wajahnya, kecantikannya kepada lelaki dengan niat untuk membangkitkan nafsu syahwatnya.

Menurut syarak, tabarruj adalah setiap perhiasan atau kecantikan yang ditujukan wanita kepada mata-mata lelaki bukan mahram termasuk wanita berpurdah yang membungkus wajahnya dengan warna-warnanya mencolok (terang atau ‘striking’) dan dilakukan agar dinikmati orang lain. Ini termasuk tabarruj jahiliyah terdahulu seperti yang diterangkan oleh ayat

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” [TMQ Al-Ahzab: 33]

Allah melarang para wanita bertabarruj dengan memerintahkan mereka menetap di rumah tetapi apabila ada keperluan yang memerlukan mereka keluar rumah, dia tidak boleh keluar dengan mempertontonkan keindahan dan kecantikannya kepada lelaki asing yang bukan mahramnya. Walaupun lumrah di Hari Raya umat Islam mahu kelihatan cantik dan bergaya dengan fesyen terkini terutamanya di depan lawan jenis, kepada kaum wanita Allah juga melarang mereka bertabarruj seperti yang dicontohkan oleh Qatadah yang berkata,

“Wanita dahulu kalau berjalan berlenggak-lenggok genit.

Allah melarang hal ini.” Muqatil bin Hayyan berkata, “Maksud tabarruj adalah wanita yang menanggalkan tudungnya lalu nampaklah kalung dan lehernya. Inilah tabarruj terdahulu di mana Allah melarang wanita-wanita beriman untuk melakukannya”.

Ibnu Abu Najih meriwayatkan dari Mujahid, “Janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu”. Dia (Mujahid) berkata, “Wanita dahulu berjalan-jalan di hadapan kaum (lelaki). Itulah tabarruj Jahiliyah.”

Al-Qur’an memberikan perintah kepada wanita tatacara untuk mereka berkelakuan, bersuara dan bergaul dengan lawan jenisnya. Allah berfirman “Hai isteri-isteri nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” [Surah Al-Ahzab: 32]

Definisi Ikhtilath

Ikthtilath adalah percampuran antara laki-laki dan wanita. Ikhtilath adalah lawan dari infishal (terpisah). Pada dasarnya, Islam telah mewajibkan pemisahan antara wanita dan laki-laki. Pemisahan ini berlaku umum dalam semua keadaan sama ada dalam kehidupan umum mahupun khusus, kecuali ada dalil-dalil yang mengkhususkannya. Pada dasarnya, ikhtilath itu dibenarkan dalam aktiviti-aktiviti yang dibolehkan oleh syarak terutamanya aktiviti yang di dalamnya memerlukan adanya interaksi atau pertemuan lelaki dan wanita seperti dalam aktiviti jual beli atau ibadah haji [Taqiyuddin an-Nabhani, an-Nidzam al-Ijtimaa’iy fi al-Islaam]. Sebelum membahas tentang ikhtilath, kita mesti memahami terlebih dahulu kaedah-kaedah interaksi (ijtima’) antara lelaki dengan wanita yang mana kaedah interaksi keduanya dapat dihuraikan seperti berikut:

Pertama: Jika suatu aktiviti memang memerlukan adanya interaksi antara pemuda dan wanita, maka dalam hal seperti ini, seorang lelaki dan wanita dibolehkan melakukan interaksi, namun hanya terbatas pada kepentingan itu sahaja seperti aktiviti jual-beli. Interaksi antara kedua lawan jenis hanya sebatas urusan yang menyempurnakan tujuan interaksi itu. Hal lain yang mesti diperhatikan adalah, meskipun seorang wanita dibolehkan berinteraksi dengan lelaki dalam aktiviti-aktiviti seperti itu, akan tetapi dia tetap wajib memperhatikan hal-hal yang berhubungan dengan infishal (pemisahan). Misalnya, tatkala seseorang wanita hendak membeli barang keperluan menyambut Syawal dari seorang lelaki, maka dia tetap wajib memperhatikan jarak antara dirinya dan penjual. Dia tidak boleh terlalu dekat dalam keadaan seperti menghimpit lelaki tersebut ketika hendak membeli barangnya.

Kedua: Jika suatu aktiviti sama sekali tidak memerlukan adanya interaksi antara keduanya, maka seorang lelaki dan perempuan tidak dibenarkan melakukan interaksi atau pertemuan dalam aktiviti tersebut. Contohnya bertemasya, berjalan ke sekolah, kedai atau masjid. Seorang lelaki diharamkan berjalan bersama-sama dengan wanita bukan mahramnya dan melakukan interaksi sepanjang perjalanan tersebut sebab interaksi dalam hal-hal seperti ini tidak dibenarkan dan bukan merupakan pengecualian yang dibolehkan oleh syarak. Maka, ketika berziarah di Hari Raya, haram bagi wanita dan lelaki bukan mahram berjalan atau menaiki kenderaan peribadi tanpa ditemani mahram.

Dalam kitab an-Nidzam al-Ijtimaa’iy, Sheikh Taqiyuddin an-Nabhani menyatakan bahawa “Oleh kerana itu, keterpisahan antara laki-laki dan wanita dalam kehidupan Islam adalah fardu. Keterpisahan laki-laki dan wanita dalam kehidupan khusus wajib dilakukan secara sempurna, kecuali yang diperbolehkan oleh syarak. Sedangkan dalam kehidupan umum, pada dasarnya hukum asal antara laki-laki dan wanita adalah terpisah (infishal). Seorang lelaki tidak boleh berinteraksi (ijtima’) di dalam kehidupan umum, kecuali dalam hal yang diperbolehkan, disunnahkan, atau diwajibkan oleh Syaari’ (Allah Subahanahu wa Taala) dan dalam suatu aktiviti yang memestikan adanya pertemuan antara laki-laki dan perempuan, baik pertemuan itu dilakukan secara terpisah (infishal), misalnya, pertemuan di dalam masjid, ataupun pertemuan yang dilakukan dengan keadaan bercampur (ikhtilath), seperti ibadah haji dan dalam aktiviti jual beli.”

Bahaya Tabarruj dan Ikhtilath yang Haram

1. Tabarruj dan ikhtilath adalah maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Barangsiapa bermaksiat kepada Allah akan merasakan akibatnya. Nabi bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang tidak mahu”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, siapakah yang tidak mahu?”Sabda baginda,“Barangsiapa taat kepadaku akan masuk syurga dan barangsiapa bermaksiat kepadaku ia orang yang tidak mahu.” [HR Bukhari]

2. Tabarruj dan ikhtilath termasuk dosa besar.


Ini adalah kerana kedua hal ini merupakan jalan paling cenderung kearah perbuatan zina. Dalam riwayat yang sahih dari Ahmad diceritakan bahwa Umaimah binti Raqiqah datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam untuk berbaiat kepada baginda dalam membela Islam. Beliau bersabda: “Aku membaiatmu agar kamu tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anakmu, tidak melakukan kebohongan dari hadapanmu (kerana perbuatan lisan dan kemaluan), tidak meratapi (orang mati), dan tidak tabarruj dengan tabarruj jahiliyah pertama.” [HR Bukhari].

Disini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam mengaitkan tabarruj dan dosa-dosa besar seperti syirik, mencuri, dan berzina.

3. Tabarruj dan Ikhtilath mendatangkan laknat.

Dalam Mustadrak Al-Hakim dan Musnad Imam Ahmad dari Abdullah bin Umar, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Akan datang di akhir umatku nanti laki-laki yang naik pelana (mewah) layaknya laki-laki yang turun ke pintu-pintu masjid, wanita-wanita mereka mengenakan pakaian namun telanjang, di kepala mereka seperti punuk unta kurus. Kutuklah wanita-wanita itu kerana sesungguhnya mereka itu terkutuk. Jika setelah kalian ada kaum, tentu wanita-wanita kalian akan melayani wanita-wanita mereka sebagaimana wanita-wanita kaum terdahulu melayani kalian.”

4. Tabarruj temasuk sifat Penghuni Neraka.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Ada dua golongan penduduk neraka yang belum aku lihat sekarang ini. Satu kaum yang bersama mereka cambuk-cambuk seperti ekor sapi yang dipakai untuk memukul orang. Wanita-wanita mereka berpakaian namun telanjang, bergaya pundak mereka dan berpaling dari kebenaran. Kepala mereka seperti punuk unta kurus, mereka tidak masuk surga dan tidak mencium baunya. Padahal baunya tercium dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” [HR Muslim]

5. Tabarruj adalah Kemunafikan yang akan Mendatangkan Kegelapan di hari Kiamat.

Al-Baihaqi meriwayatkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. dengan sanad sahih: “Sebaik-baik wanita, kalian adalah yang penyayang, yang banyak melahirkan, yang serasi (dengan suaminya) jika mereka bertakwa kepada Allah. Dan seburuk-buruk wanita adalah yang bertabarruj dan sombong. Mereka itulah orang-orang munafik. Tidak akan masuk syurga salah seorang di antara mereka kecuali seperti gagak putih.” [HR Baihaqi].

6. Tabarruj dan ikhtilath menodai kehormatan keluarga dan masyarakat.

Diriwayatkan dari Nabi bahawa baginda bersabda: “Ada tiga orang yang, kamu jangan bertanya kepada mereka seseorang yang keluar dari jamaah dan derhaka kepada imamnya lalu mati dalam keadaan bermaksiat, seorang hamba perempuan dan lelaki yang lari (dari tuannya) kemudian dia mati, dan seorang wanita ditinggal keluar oleh suaminya dan telah dicukupi kebutuhan dunianya lalu ia bertabarruj setelah itu. Maka jangan bertanya kepada mereka.” [HR Ahmad]

7. Tabarruj adalah sunnah Iblis.

Jika menutup aurat dan berhijab serta menjaga diri dan kehormatan adalah sunnah Nabi, maka tabarruj dan ikhtilath adalah sunnah Iblis di mana sasaran godaan pertama terhadap manusia adalah agar auratnya terbuka. Allah mengingatkan kita agar tidak terfitnah oleh tipu daya Iblis. Allah berfirman: “Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari surga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.” [TMQ Al-A’raf:27].

8. Tabarruj dan Ikhtilath adalah Permulaan Zina.

Setiap kali penyimpangan terjadi akan melahirkan penyimpangan lain yang lebih besar. Ketika wanita tidak menutup auratnya dan tidak menjaga kehormatannya dengan bercampur bersama laki-laki yang bukan mahramnya, terlebih dandanan yang menyebar fitnah, rasa malu sudah sirna dan ghairah laki-laki mulai tiada, maka hal-hal haram menjadi mudah dilakukan bahkan dosa-dosa besar menjadi hal yang biasa dan wajar termasuk zina. Di tengah masyarakat kita sekarang terjadi perbezaan persepsi tentang zina. Ada yang tidak menganggap zina sebagai kejahatan kecuali terkait dengan hak-hak asasi manusia.

9. Tabarruj dan Ikhtilath mengundang Siksaan Allah.

Dalam hadis riwayat Ibnu Majah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Tidaklah nampak kebejatan di antara kaum Luth sampai mereka terang-terangan (melakukannya) kecuali setelah itu tersebarlah penyakit kolera dan kelaparan yang belum pernah terjadi pada pendahulu mereka.” [Ibnu Majah].

Secara umum, kemaksiatan kerap kali menjadi penyebab terjadinya pelbagai musibah seperti yang diterangkan Allah dalam Al-Quran:“Dan jika kami hendak membinasakan suatu negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah selayaknya berlaku terhadap mereka perkataan (ketentuan kami), kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” [TMQ Al-Isra’: 16]

Khatimah

Dalam keghairahan menyambut Syawal, setiap Muslimah itu tetap terikat pada hukum syarak. Selain memastikan dia menutup aurat sempurna di depan umum, dia juga hendaklah memastikan hal berkaitan ikhtilath dan tabarruj dihindari. Umum mengetahui bahawa setiap manusia mahukan yang terbaik. Maka, jadilah yang terbaik dengan terikat dengan hukum Islam. Sambutan Hari Raya mesti dilakukan dengan memerhatikan kedua aspek ini (ikhtilath dan tabarruj) yang boleh menjadi muqaddimah zina jika diabaikan. Kita tidak akan rugi jika memastikan diri terpelihara. Kita tidak akan sakit jika kita menjaga diri dari perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah. Jika mampu melakukan ini, Insya’Allah kita tidak akan menyesal dalam menjalankan perintah Allah malah mampu tersenyum puas di kemudian hari, dan berbangga kerana dapat melawan bisikan syaitan dan hawa nafsu. Sesungguhnya, meninggalkan maksiat adalah lebih berat daripada mengerjakan taat (yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya) kerana mengerjakan taat senang dibuat oleh setiap orang tetapi meninggalkan syahwat (maksiat) hanya dapat dilaksanakan oleh para siddiqin (orang-orang yang benar."

Wallahu’ alam bisshawab.