Saturday, May 9, 2009

Tangan-tangan yang Menggoncang Dunia




Sejak zaman berzaman bermula dalam peradaban kuno dan berlarutan di sepanjang masa, status perempuan sering mengalami perubahan. Meskipun ada kalanya perempuan menerima sedikit penghormatan, namun biasanya mereka tertindas dan menerima perlakuan kasar. Begitu juga, sering kali hukum-hakam dan perundangan mengenai perempuan sangat tidak adil. Banyak orang tidak memiliki rasa kemanusiaan terhadap perempuan. Kita menyaksikan spesis hawa ini dikucilkan serta hanya disusahkan dengan alasan tradisi dan adat istiadat. Kerap kali hak perempuan terkekang dalam kehidupan sosial dan kebebasan mengemukakan pendapat. Mereka tidak lebih dari sekadar seorang jariyah (hamba) yang mudah dan murah untuk diperjualbelikan. Keadaan seperti itu sering dialami oleh semua perempuan bermula dari zaman gadis sunti dan anak dara, menjadi para isteri dan seterusnya memegang status sebagai ibu. Mereka digiring dari satu penjara ke penjara lainnya, tunduk pada kekuasaan seorang ayah, suami atau lelaki sebagai pelindung yang mengawasi semua aspek kehidupan mereka.

Sejak 350 tahun sebelum Masihi, Aristotle, dalam risalahnya yang berjudul "Politik", menyatakan wanita, begitu juga kanak-kanak dan golongan hamba tidak termasuk sebagai warganegara. Hal demikianlah yang telah menghalangi wanita untuk memberikan suaranya dalam bidang pemerintahan malah dianggap tidak mampu melakukan apa sahaja. Generasi selanjutnya tetap mempertahankan anggapan bahawa wanita tidak mampu dibebani tugas-tugas atau pekerjaan, kerana mereka memandang adanya perbezaan dalam hal keintelektualan antara wanita dan lelaki, disamping juga kerana alasan fizikal dan ketidakmampuan wanita untuk menyelesaikan masalah.

Di Barat, perjuangan mengangkat martabat wanita dianggap mencapai kejayaan apabila mereka diberi hak untuk mengundi yang mana ia direalisasikan pada tahun 1869 atas inisiatif John Stuart Mill [http://www.blupete.com/Literature/Biographies/Philosophy/Mill.htm]. Malangnya, pemikiran umat Islam yang telah diracuni virus sekuler-kapitalis-demokrasi menyebabkan mereka beranggapan kaum wanita tidak lagi dianak-tirikan dalam bidang politik apabila dibenarkan memberi suara dan ‘terjun’ dalam bidang politik serta bertanding dalam pilihanraya umum yang merupakan satu kewajipan dalam sistem demokrasi. Di Malaysia contohnya, kejayaan calon wanita dalam PRU12 seperti Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengungguli undi di ‘kerusi panas’ iaitu P121 Lembah Pantai mengalahkan calon yang telah ‘bersemayam selama 12 tahun’ di situ iaitu Dato Seri Shahrizat Jalil mencipta dimensi baru dalam senario politik di Wilayah Persekutuan. Kejayaan sicantik molek anak sulung mantan Timbalan Perdana Menteri yang pernah diberi julukan ‘Puteri Reformasi’ bersama-sama calon wanita lain seperti Dr Lo’Lo di Parlimen Titiwangsa dan Dr Siti Mariah di Parlimen Kota Raja, Klang dianggap akan dapat membawa Suara Rakyat yang benci dengan kelembapan, kelemahan, ketiduran, kebobrokan yang melanda UMNO/BN. Pendeknya, status wanita diangkat dalam kerangka kapitalis-demokrasi.

Status wanita setelah kedatangan Islam

Kedatangan Islam selaku rahmatan lil ‘alamin telah membebaskan perempuan dari ketidak-adilan dan kekejaman manusia. Islam telah memberi nafas baru dan mengangkat status perempuan kepada kemuliaan. Islam juga memberi hak-hak penuh kepada perempuan, yang dinyatakan dan ditetapkan melalui ayat-ayat Al-Qur’an yang jelas dan terperinci bukan sekadar larangan pembunuhan ke atas bayi perempuan, tetapi juga memberikan panduan untuk melindungi hidup mereka, memberi mereka cinta dan kasih sayang dan menegaskan bahawa kemuliaan manusia sama ada lelaki atau wanita adalah berdasarkan ketakwaan mereka dan bukannya jantina (gender).

Firman Allah Subhanahu wa Taala:

“Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada Tuhan kamu Yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri Yang satu (Adam), dan Yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga Yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan Yang ramai. dan bertakwalah kepada Allah Yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” [TMQ An-Nisa’ : 1]

Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Taala menyeru kepada sekalian manusia, baik lelaki mahupun perempuan bahawa mereka dijadikan dari seorang ayah iaitu Adam Alaihi wa Sallam dan seorang ibu iaitu Hawa Alaihi wa Sallam. Tidak ada perbezaan di antara keduanya sebaliknya hanya ketakwaan yang menentukan tinggi dan rendah nilai keimanan seseorang hamba.

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [TMQ Al-Hujurat : 13]

Kehadiran Islam dalam kehidupan umat manusia juga telah membebaskan kehidupan perempuan dari belenggu kehinaan jahiliyyah kepada kemuliaan Islam yang mana mereka juga diberikan hak untuk turut serta dalam setiap perancangan kehidupan samada dari segi ekonomi, sosial mahupun politik. Ketidakadilan yang selama ini membelenggu kaum yang dianggap lemah ini telah sirna dan digantikan dengan peraturan dan hukum-hakam Allah, sehingga mereka memahami apakah tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan seiring dengan tanggungjawab asas mereka selaku ummu wa robbatul bayt (ibu dan pengatur rumahtangga). Definisi politik dalam Islam (siyasah) yang bermaksud mengatur urusan umat di dalam dan di luar negara (Daulah) terbit darinya satu perintah bahawa penglibatan di dalamnya tidak hanya pada para lelaki, tetapi juga wanita melalui suruhan untuk melaksanakan amar ma'ruf nahi mungkar. Disini para wanita dibolehkan membantu dalam mengemban tugas (pemerintahan) iaitu mengimplementasi Islam dan usaha untuk menegakkan agama Allah Subhanahu wa Taala di atas bumi melalui jalan intelektual dan perjuangan politik. Seperti kaum lelaki, mereka (wanita) juga wajib prihatin dan memperhatikan dirinya dengan urusan-urusan umat. Demikianlah Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka [adalah] menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh [mengerjakan] yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka ta’at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [TMQ At-Taubah:71]

Dalam Islam, peranan yang dilakukan kaum perempuan bukan sekadar pendorong kepada sang suami dan juga ibu yang bijak dalam mengatur urusan anak-anak. Sejarah telah membuktikan tentang keberanian perempuan dalam mengharungi kancah kehidupan demi memartabatkan deen yang mulia ini iaitu Islam. Shahidah Sumaiyah binti Khayyat Radiallahu Anha sebagai contoh, antara perempuan yang kisah hidupnya dan keberaniannya di dalam mempertahan aqidah Islamnya telah menggegarkan dunia Islam sehingga ke hari ini. Namanya mulai dikenali sejak berlaku penyeksaan oleh puak Kuffar ke atas keluarga Yasir di kala kaum Muslimin masih terlalu lemah di Mekah. Mereka menerima berbagai-bagai penyeksaan yang sukar ditanggung dan tidak dapat bersabar kecuali bagi orang-orang yang keimanannya laksana gunung yang tinggi.

Sumaiyah dahulunya adalah seorang hamba sahaya milik Huzaifah bin Al Mughirah dari suku Bani Makhzum. Beliau adalah orang yang ke tujuh beriman kepada Rasulullah serta memeluk Islam. Meskipun usianya telah lanjut dan memegang status nenek, namun dia masih dikenakan seksaan yang amat berat. Walaupun begitu Sumaiyah masih terus bersabar dan enggan murtad dari Islam. Pada suatu hari Abu Jahal mendatangi Sumaiyah untuk memujuknya keluar dari agama Islam, akan tetapi dia tidak dapat menerima jawapan Sumaiyah yang melukakan kesombongannya lalu mencabut pedang bengkoknya lantas menikam Sumaiyah di pangkal hatinya lalu terus membunuhnya. Sumaiyah binti Khayyat gugur syahid sebelum Hijrah dan beliau merupakan perempuan pertama syahid di dalam Islam. Kisahnya menjadi teladan sehingga ke hari ini. Bandingkan dengan wanita di zaman ini, sanggupkah kehilangan nyawa demi mempertahankan akidah?

Begitu juga dengan Ummu Umarah, atau nama penuhnya Nasibah binti Ka’ab . Beliau mendapat kedudukan yang terdepan antara wanita-wanita Muslimat. Dia seorang sahabiyah yang mulia, pejuang yang terulung, lurus, kuat beribadat, sangat rajin serta bergantung pada diri sendiri. Dia juga wanita pertama memeluk Islam. Dia pernah menghadiri malam ikatan setia di Aqabah. Sentiasa membai’at kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. dan sentiasa menyampaikan Islam di barisan kaum perempuan. Beliau adalah antara wanita yang terlibat secara langsung di dalam kancah peperangan bagi melindungi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Beliau berperang bagaikan seorang perwira yang tidak pernah takut kepada kematian. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah berkata “ Setiap aku menoleh ke kanan ataupun ke kiri, melainkan aku melihat Ummu Umarah berjuang mati-matian untuk melindungi ku.

Sebagai seorang ibu, Ummu Umarah sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak nya untuk terus berjuang membela agama Allah. Ini terbukti apabila Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melihat putera Ummu Umarah yang masih bertempur walhal darah dari lengan kirinya masih menitis. Maka baginda berkata kepadanya, “Berhenti dan ikatlah luka mu dulu!” Ummu Umarah dengan segera mendapatkan puteranya yang luka parah itu, lalu membalut luka itu dengan kuat, kemudian dia berkata kepada puteranya itu:“Sekarang pergilah semula berjuang wahai anak ku! Berjihadlah pada jalan Allah! ”

Teladan yang ditunjukkan oleh wanita di zaman Rasulullah yang mampu menggegar dunia ialah tatkala mereka memainkan peranannya sebagai seorang ibu yang berjaya mendidik anak-anaknya untuk tidak takut berjuang di jalan Allah tidak terhenti di situ. Sejarah telah membuktikan bahawa ramai para ibu yang mampu mendidik anak-anaknya menjadi insan yang agung. Antaranya ialah Al-Khansaa’. Beliau mempunyai empat anak lelaki, dan semuanya gugur sebagai syuhada. Di dalam mendidik anak-anaknya, beliau sentiasa mendorong si anak supaya tidak takut berjuang di jalan Allah. Sebelum mereka maju untuk bertempur, Al Khansaa’ akan mengumpulkan anak-anaknya seraya berkata:

“ Wahai anak-anakku! Kamu telah memeluk Islam dengan hati yang rela. Kemudian kamu berhijrah dengan suka rela. Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian dari putera-putera dari seorang lelaki dan seorang perempuan. Aku tidak pernah mengkhianati ayah mu, aku tidak pernah memburukkan bapa saudara kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah maklum apa yang telah disediakan oleh Allah kepada kaum Muslimin dari pahala yang besar dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah , bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik dari kampung yang binasa. Cuba perhatikan firman Allah dalam surah al-Imran ayat 200 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

“Nanti, jika kamu bangun pagi esok. Insya’ Allah , dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk memerangi musuh-musuh kamu dengan hati-hati, dan kerana Allah kamu menghadapi musuh-musuhNya dengan mendapat kemenangan. Jika kamu melihat api peperangan sudah mula meletus dari kakinya dan apinya mula bernyala memercikkan baranya , lalu bermaharajalela dari sekitarnya, maka hendaklah kamu menuju pada hatinya, dan dapatkanlah puncanya ketika perlagaan pertempurannya, moga-moga kamu akan berjaya mendapatkan balasan kemuliaan di kampung yang abadi, dan di tempat tinggal yang kekal.”

Di paginya, keempat-empat puteranya pun tergesa-gesa memasuki medan peperangan, sehingga keempat-empatnya gugur sebagai syuhada. Sebab itulah beliau digelar sebagai ‘ibu para syahid.’

Kisah ketabahan seorang ibu juga terdapat dalam diri Asma’ binti Abu Bakar. Beliau terkenal dengan jolokan ‘Dzatin-nithaqain’ atau pemilik dua tali pinggang. Beliau mempunyai seorang anak yang merupakan sahabat besar Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam iaitu Abdullah Ibn Zubair. Suaminya Al-Zubair telah gugur sebagai syuhada sewaktu pertempuran Jamal. Sejak dari itu, ibu tunggal ini telah mendidik Abdullah menjadi insan yang sentiasa patuh pada perintah Allah. Ada sebuah riwayat menyatakan, bahawa Abdullah bin Zubair pernah menemui ibunya Asma’ yang ketika itu telah berusia 100 tahun dan matanya buta. Abdullah berkata: “Wahai ibuku, orang ramai telah mengecewakan aku sehinggakan anakku sendiri dan isteriku telah menghampakan aku. Aku tidak punya penyokong, kecuali beberapa orang saja’. Abdullah terlalu sedih sekali.

“Engkau, wahai anakku, tentulah lebih tahu tentang dirimu sendiri”, kata Asma’ memberikan Abdullah buah fikirannya, “Kalau engkau yakin bahawa engkau atas kebenaran, dan kepada kebenaran engkau menyeru orang, maka teruskanlah. Sahabat-sahabatmu juga telah terbunuh atas kebenaran ini. Jangan engkau jadikan batang lehermu dipermain-mainkan oleh anak-anak bani Umayah, maka seburuk-buruk hamba adalah engkau. Engkau telah binasakan dirimu dan engkau telah binasakan orang-orang yang terbunuh bersama-sama engkau.. Dan kiranya engkau atas kebenaran, maka apabila sahabat-sahabatmu menghadapi kesulitan, apakah engkau pula menjadi lemah? Demi Allah ini bukanlah sikap orang-orang yang merdeka, dan bukan pula sikap ahli agama. Berapa lama engkau akan tinggal di dunia ini? Mati lebih baik.

Abdullah merasa tenang, apabila mendengar kata-kata ibunya itu. Beliau mendatangi Asma’ lalu mencium kepala ibunya sambil berkata: “Demi Allah, inilah pendapat ku, akan tetapi aku ingin mengambil fikiran daripada mu, dan kini engkau telah menambahkan kepada ku keteguhan hati di atas keteguhan yang telah ada pada ku . Ingatlah wahai ibu ku, kiralah aku ini sudah mati pada hari ini, dan aku harap engkau tidak terlalu sedih apabila mendengar berita ku nanti, dan serahkan perkara itu kepada Allah”. Abdullah memberikan kata selamat kepada ibunya.

“Benarlah katamu itu, wahai anak ku” kata Asma’ lagi, seolah-olah dia memberi semangat kepada anaknya itu supaya jangan mati pengecut, “Cukuplah keteguhan hatimu itu , dan mari kemari aku ingin mengucapkan selamat jalan kepada mu”

Abdullah datang menghampirinya, Asma’ lalu memeluknya dan menciumnya buat kali terakhir. Abdullah pun keluar ke medan perang sesudah itu, dan dia terus menerus berjuang hingga dia terus jatuh terbunuh. Bandingkan dengan wanita di zaman ini, bersediakah mereka menghantar anak-anak mereka ke gelanggang maut apabila seruan jihad berkumandang?

Semangat juang yang tinggi tidak hanya sebatas melahirkan anak-anak yang bersedia untuk syahid di jalan Allah, akan tetapi kaum wanita turut berganding bahu bersama-sama kaum lelaki di medan peperangan. Semasa pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq, Ummu Umarah telah meminta izin untuk berjuang menentang Musailamah al-Kazzab. Abu Bakar membenarkannya kerana Ummu Umarah telah biasa berperang bersama Rasulullah. Ummu Umarah mempunyai kelebihan yang utama kerana menunjukkan contoh yang baik bagi seorang wanita Muslimah dalam berjihad, yang mengambil tempat seiring dengan lelaki di medan pertempuran. Kata-katanya juga telah didengar oleh Allah Subhanahu wa Taala. ketika beliau berkata “Aku belum pernah melihat apa pun melainkan dia hanya untuk kaum lelaki saja. Aku tidak pernah melihat kaum wanita disebut-sebut.” Maka selepas kata-kata Ummu Umarah itu turunlah ayat Al-Quran pada surah al-Ahzab ayat 35 yang berbunyi: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan Yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki Yang bersedekah serta orang-orang perempuan Yang bersedekah, dan orang-orang lelaki Yang berpuasa serta orang-orang perempuan Yang berpuasa, dan orang-orang lelaki Yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan Yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki Yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

Jika dalam politik Kufur versi demokrasi kita melihat kaum wanita diberi peluang untuk mengemukakan pendapat atas tiket hak asasi manusia dan kebebasan bersuara, kemurnian politik Islam memberikan hak kepada perempuan sebagaimana para lelaki. Wanita bebas menyuarakan pendapatnya atau ketidak-puasan hatinya kepada pemerintah selagi perkataannya tidak bertentangan dengan hukum syarak, bukan atas prinsip hak asasi. Sejarah telah membuktikan bahawa ketika Rasulullah sedang duduk bersama para sahabatnya, tiba-tiba baginda didatangi oleh seorang wanita yang bernama Asma’. Asma’ dikira salah seorang dari perawi hadis. Dia seorang pejuang wanita yang mulia. Dia mempunyai akal fikiran yang waras, agama yang teguh, petah berpidato sehingga orang ramai menggelar dia sebagai jurucakap kaum wanita. Asma’ pernah mengetuai kaum wanita untuk menyatakan sesuatu kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam. Dia berkata:

“Aku jurucakap kaum wanita kepadamu. Sesungguhnya Allah Azzawajalla telah mengutusmu kepada kaum lelaki dan juga perempuan. Kami telah mempercayai mu dan mempercayai Tuhan mu. Dan bahawasanya kami ini, kaum wanita, terhad bilangan kami, sentiasa duduk di rumah untuk kamu melepaskan syahwat kamu, dan tempat mengandung anak-anak kamu. Dan bahawasanya kamu kaum lelaki , telah melebihi kami dalam bilangan dan perkumpulan, menziarahi orang sakit, menyaksikan jenazah, dan mengerjakan satu haji sesudah haji yang lain. Yang utama dari semua itu ialah berjihad di jalan Allah Azzawajalla. Apabila seseorang kamu keluar untuk berhaji atau berjihad, kamilah yang menjaga harta benda kamu dan kekayaan kamu, kami yang menjahitkan pakaian kamu, dan kami juga yang memelihara anak-anak kamu. Tidakkah dapat kami berkongsi dengan kamu dalam pahala ini?”

Sebaik sahaja jurucakap wanita ini habis dari pengaduannya, Rasulullah menoleh kepada para sahabatnya, seraya berkata kepada mereka: “Pernahkah kamu mendengar pembicaraan seorang wanita yang pandai mengemukakan masalah dalam agamanya daripada wanita ini?” Para sahabat menjawab serentak: “Kami tidak sangka ada seorang wanita yang dapat mengemukakan permasalahan seperti ini, duhai Rasulullah!” Rasulullah lalu menoleh kepada wanita itu seraya berkata: “Ketahuilah wahai wanita! Dan beritahulah kepada teman-teman kamu dari kaum wanita yang lain, bahawasanya penjagaan seorang wanita kepada suaminya, dengan mencari keredhaannya, dan membuat segala yang disukainya itu adalah menyamai semua itu.”

Sebenarnya Nabi kagum dengan sikap berterus-terang dan keberanian wanita tadi serta kebolehannya menyusun kata-kata dan mengemukakan permasalahannya dengan baik dan teratur. Hal seperti ini belum pernah didengar oleh Nabi atau para sahabatnya yang lain. Ini merupakan satu bukti yang jelas, bahawa Islam telah memberikan kebebasan yang penuh kepada kaum wanita. Mereka boleh menyuarakan masalah mereka kepada pemerintah dengan bebas, sama ada yang berkaitan dengan jalan hidupnya, keperibadiannya dan hak-haknya.

Kisah keberanian perempuan dalam menegur pemimpin juga dapat dilihat pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab. Kisah ini bermula apabila Khalifah Umar melaksanakan khutbah di masjid yang mana beliau telah menyarankan agar batas nilai mas kahwin ditetapkan. Keadaan ini berlaku kerana pada masa itu pihak perempuan telah menaikkan nilai mas kahwin sehingga membebankan pihak lelaki. Ketika Khalifah Umar selesai berkhutbah, maka seorang wanita bernama Khaulah berdiri lalu bertanya, “Siapakah anda yang memberi batasan atas apa yang Allah Subhanahu wa Taala dan RasulNya tidak membatasinya?” kemudian Umar menyedari kesalahannya, lalu berkata: “Wanita ini adalah benar, dan Umar yang salah”. Kisah ini membuktikan betapa wanita pada masa itu faham akan hukum syarak dan tidak takut untuk menyatakan kesalahan khalifahnya walaupun di khalayak umum. Berbeza dengan sebahagian kaum wanita Muslim pada hari ini yang mengemukakan pendapat dan bermuhasabah kepada pemimpin bukan dalam rangka amar ma’ruf nahi mungkar tetapi atas prinsip hak asasi manusia (HAM). Sebenarnya Khaulah tergolong antara orang-orang yang fasih dalam berbicara dan bijak bertutur kata. Sekali peristiwa, Khaulah bertemu dengan Khalifah Umar Radiallahu Anhu ketika beliau baru saja keluar dari masjid dan bersamanya al-Jarud Al-Abdi . Umar telah memberi salam kepada Khaulah, padahal dia Amirul Mukminin, maka Khaulah menjawab salam Umar, seraya berkata kepadanya, “Bukan main megah kau sekarang, wahai Umar,” kata Khaulah. “Dahulu engkau dipanggil orang Umair di Pasar Ukaz. Kau mengembala kambing dengan tongkatmu. Tidak berapa lama pula, kau dipanggil orang Umar, dan belum lama lagi, dan kini kau dipanggil orang Amirul Mukminin. Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah mengenai rakyat jelata. Ingatlah bahawasanya siapa yang takut ancaman, akan dekatlah yang jauh kepadanya. Dan barang siapa yang takutkan maut, nescaya dia akan bimbang ketinggalan sesuatu.” “Kau telah melampau sangat ke atas Amirul Mukminin, wahai wanita !” pintas Al-Jarud kepada Khaulah. “ Biarkan dia ,wahai Al-Jarud,” kata Umar. Apakah engkau tidak kenal wanita ini? Inilah Khaulah, yang kata-katanya didengar oleh Allah dari atas tujuh petala langit. Sesungguhnya demi Allah, Umar lebih berhak untuk mendengar kata-katanya.”

Khatimah

Begitulah antara beberapa kisah perjuangan wanita pada zaman Rasulullah dan para sahabat. Mereka dimuliakan oleh Islam dengan memberikan hak-haknya sebagai seorang individu, isteri dan ibu dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam untuk mempertahankan dan berjuang demi untuk deen yang mulia ini. Semuanya dilakukan selaras dengan hukum syarak dan ternyata sumbangan mereka ini berjaya menggoncang dunia dengan tersebarnya Islam ke luar jazirah Arab. Kenyataan ini berbeza dengan wanita Islam di zaman ini yang mana racun sekuler-kapitalis telah mendominasi tingkah-laku dan perbuatan mereka sehingga kaum wanita tidak tahu apakah hak-hak dan tanggungjawab mereka yang sebenar, malah terikut-ikut dengan rentak perjuangan kaum Kuffar hatta untuk melakukan muhasabah/koreksi terhadap pemimpin. Mereka berfikir dan bertindak dalam kepompong pemikiran sekuler-kapitalis-demokrasi sehingga perjuangan untuk menggoncang dunia dilakukan sesuai dengan prinsip hak asasi manusia (HAM), kesetaraan gender, feminisme dan lain-lain.

Wahai umat Islam yang dimuliakan,

Sesungguhnya hanya kembali kepada Islam dengan mengkaji dan merujuk kepada nas yang sahih yang bersumber dari wahyu akan meletak martabat kaum wanita tinggi di sisi Islam kerana mereka akan memenuhi hak dan menjalankan tanggungjawab demi meraih keredhaan Ilahi, bukan selainnya.

Wallahu a’lam bi ash-shawab.

No comments:

Post a Comment