Showing posts with label Islam Menindas Wanita?. Show all posts
Showing posts with label Islam Menindas Wanita?. Show all posts

Saturday, May 9, 2009

Adakah Islam Menindas Wanita (Bhg 2)


Ketika kegagalan niqab (Veil Fiasco) Jack Straw, beberapa ahli politik dan media Barat telah berlumba-lumba menonjolkan diri untuk menjelaskan bahawa niqab atau veil muka adalah menyusahkan masyarakat British. Tessa Jowell, Setiausaha Kebudayaan ketika itu turut memberi pendapat “two pence” beliau dalam perdebatan tersebut dengan memberi komen, “ Kita telah berjuang selama beberapa generasi untuk kesetaraan bagi wanita supaya wanita mendapat kesamaan hak dalam masyarakat.” Bukan niqab sahaja yang di lihat oleh Barat sebagai pengkhianatan Islam ke atas “Hak–hak wanita” (Women’ Rights) tetapi juga perundangan, tanggungjawab dan hak-hak yang berbeza diantara lelaki dan wanita dalam masyarakat; khimar (tudung) dan jilbab (pakaian luar); memberi keterangan, undang–undang pewarisan dan penceraian; poligami; larangan wanita menjadi ketua negara; tugas lelaki sebagai penjaga dan pencari nafkah keluarga sementara tugas wanita sebagai pengurus dan ibu rumahtangga kepada anak-anak; mematuhi suami dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak–hak suami. Perdebatan ini sering disampaikan seolah-olah undang-undang dan tugas–tugas ini mendiskriminasi wanita, hanya dikuasai oleh kaum lelaki, membuat wanita kurang penting dari kaum lelaki dan memberikan wanita status sebagai warga kelas kedua dalam masyarakat, tidak berharga berbanding lelaki. Yang paling penting adalah dakwaan bahawa undang-undang ini menunjukkan perbuatan khianat terhadap kesetaraan gender (gender equality) yang dilihat oleh Barat sebagai satu jalan bagi wanita untuk memiliki status, penghormatan dan kebebasan dalam masyarakat. Dalam artikel ini kita akan meneliti kepercayaan berkaitan dengan kesetaraan gender dan mencabar tanggapan bahawa perundangan Islam menindas wanita hanya kerana tarafnya dikatakan jauh lebih rendah dari kesetaraan gender.
Kesetaraan gender adalah dilahirkan oleh Barat, bukan dari pengalaman Islam.

Perkara pertama yang mesti kita perhatikan adalah konsep kesetaraan gender ini lahir dari pengalaman Barat akibat ketidakadilan yang dihadapi oleh wanita dalam masyarakat Barat. Ketidakupayaan untuk meninggalkan suami yang ganas, memulakan proses penceraian apabila berhadapan dengan masalah perkahwinan, tidak mendapat kemudahan dalam pendidikan dan pekerjaan, keadaan tempat kerja yang tidak memuaskan, kekurangan hak harta dalam perkahwinan dan ketiadaan hak berpolitik adalah keadaan yang dihadapi oleh wanita dalam masyarakat Barat dimana keadaan ini mencetuskan gerakan feminism yang pertama. Keadaan ini muncul dari pandangan bahawa wanita dalam masyarakat adalah kurang berharga atau bernilai daripada lelaki sebagai seorang manusia: spiritual dan intelektual. Malah, orang–orang yang dianggap sebagai yang berfikiran terbuka (enlightened thinkers) dalam sejarah Barat seperti Voltaire dan Rousseau, mengambarkan wanita sebagai seseorang yang kurang rasional dari lelaki dan oleh itu tidak sesuai untuk kehidupan umum. Mereka mengemukakan ini sebagai satu hujah mengapa lelaki mesti menjadi warga dalam masyarakat manakala wanita terhad sebagai isteri dan ibu. Wanita-wanita yang berani telah berjuang menentang norma dan pandangan yang menindas ini, sebahagiannya mengorbankan kehidupan mereka untuk membebaskan persepsi yang salah ini terhadap wanita untuk mendapatkan hak asas kewarganegaraan. Mereka telah cuba mendapatkan hak-hak ini dibawah panji “kesetaraan gender”.

Pandangan Islam:

Sebagai perbandingan, “perjuangan wanita” (women struggle) adalah asing dalam sejarah Islam atas beberapa perkara. Pertama, Islam sentiasa berpandangan bahawa lelaki dan wanita mempunyai keupayaan intelektual dan nilai kepentingan yang sama sebagai manusia kerana mereka dicipta dari satu roh yang tidak mempunyai perbezaan dari sifat manusia. Allah Subhanahu wa Taala berfirman,

“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa); dan dari keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan wanita..” [TMQ An-Nisa : 1]

“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, lak-laki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” [TMQ Al-Ahzab:35]

Kedua, banyak sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang mengangkat status wanita dalam masyarakat, melupuskan status rendah wanita sebagai warga kelas kedua, yang memperhambakan diri kepada laki-laki di Arab dan perkara-perkara yang lain dalam masyarakat, sebelum kedatangan Islam. Beliau Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang yang mempunyai tiga orang anak perempuan dan melindungi mereka, memberikan apa yang dikehendaki mereka dan menunjukkan belas kasihan kepada mereka, akan mendapat syurga.” Seorang laki-laki diantara orang ramai bertanya, “Dan jika ada dua, wahai Rasullullah? Dan baginda berkata, “Ya, walaupun mereka ada dua”. Baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Seorang yang benar-benar beriman itu adalah seorang yang mempunyai pekerti yang terbaik dan yang terbaik diantara kamu adalah orang–orang yang berbuat baik kepada wanita-wanita mereka”. Beliau Sallallahu Alaihi Wa Sallam berkata, “Syurga terletak dibawah tapak kaki ibu”. Dalam khutbah terakhirnya, baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam berkata, “Takutlah Allah berhubungan dengan wanita kerana mereka adalah amanah ditangan kamu”. Oleh itu, inilah pandangan terhadap wanita dan rasa tanggungjawab kepada Yang Maha Pencipta adalah langkah utama untuk mencegah dari tidak menghormati, mendiskriminasi dan mencederakan wanita.

Ketiga, hak-hak seperti pendidikan, bekerja dan memberikan pekerjaan, memiliki harta, menyewa tanah, bekerja sebagai ahli perniagaan atau professional, memilih pemerintah dan menyuarakan pandangan politik mereka, memulakan proses penceraian dan memiliki kemewahan bagi seorang wanita sebagai seorang warganegara telah termaktub dalam teks-teks Islam dan telah terjamin semenjak permulaan tamadun Islam. Bulan Julai ini menandakan ulangtahun ke-80 “Equal Franchise Act” apabila wanita di Britain memenangi hak mengundi seperti lelaki, manakala bulan Disember ini pula, akan menandakan 1,430 tahun semenjak Islam memberikan wanita hak mengundi yang sama seperti lelaki. Manakala wanita di Eropah mengikat diri mereka dijeriji dan melakukan mogok lapar untuk menuntut suara berpolitik, Islam telah mewajibkan wanita untuk aktif berpolitik dalam masyarakat. Apabila akhirnya wanita yang telah berkahwin dalam banyak masyarakat Barat dibenarkan untuk menguruskan akaun bank mereka dan segala urusan kewangan mereka tinggal berasingan dari suami-suami mereka pada tahun 1960an, wanita Islam yang telah berkahwin mahupun bujang, telah pun diberikan kekuasaan mutlak keatas kekayaan dan harta benda mereka lebih dari 1400 tahun yang lalu.

Dilema “Kesetaraan Gender”:

Jika kita meneliti konsep “Kesetaraan Gender”, ironinya kita akan dapati bahawa ia adalah satu konsep yang mana lelaki yang menguasai kerana ia meletakkan lelaki sebagai seorang yang menjadi ketua pada nama sahaja atau pun satu matlamat yang ingin dicapai oleh wanita. Lebih beberapa generasi, ramai feminis Barat telah mendapati bahawa ia juga menimbulkan beberapa kontradiksi dan dilema yang tersendiri, Contohnya, dilema dimana seorang wanita yang menyeru kepada kesetaraan turut menyangkal kepentingan gender dalam kehidupan umum tetapi pada masa yang sama turut menyeru kepada hak-hak kehamilan atau waktu kerja yang lebih fleksibil berdasarkan kepada perbezaan gender. Idea kesetaraan gender yang menjejaskan apresiasi perbezaan gender ditempat kerja dan masyarakat, lebih menghalang dari memudahkan pencapaian untuk hak-hak asas yang akan turut membuka pintu diskriminasi. Seruan kearah undang-undang keneutralan gender yang tidak mengiktiraf perbezaan yang ketara antara jantina, berkemungkinan akan menyebabkan ketidakadilan terhadap wanita, dimana majikan akan mengharapkan komitmen kerja yang sama berkaitan masa dan aktiviti fizikal bagi wanita yang hamil ataupun yang mempunyai anak-anak kecil. Tambahan pula, secara teorinya konsep kesetaraan gender akan melahirkan “have it all woman”, tetapi realitinya akan melahirkan “do it all woman” – seseorang yang bukan sahaja akan sentiasa dibebani dengan tanggungjawab rumahtangga tetapi juga dibebani dengan tanggungjawab kewangan keluarga dengan bersusah payah memelihara kerjaya yang mencabar. Dengan “dirantai di sinki dapur” (being chained to the kitchen sink) dengan pantasnya akan diganti dengan “dirantai di pasaran ekonomi” (being chained to the economic market).

Tambahan pula, diskriminasi gender dan kesulitan untuk meningkat maju (glass ceilings) masih wujud dalam masyarakat Barat sama seperti keganasan rumahtangga dan penderaan terhadap wanita – dua abad setelah lahirnya laungan kesetaraan gender. Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan rang undang-undang kesetaraan (“Equalities Bill”) baru yang membahaskan isu-isu seperti perbezaan gaji dan meluluskan rang undang-undang mengenai diskriminasi terhadap wanita bagi menangani masalah diskriminasi yang berterusan terhadap wanita ditempat kerja – isu-isu dasar tentang hak-hak wanita yang berterusan melanda persekitaran tempat kerja dan kehidupan umum dalam masyarakat sekular Barat. Tambahan pula, baru-baru ini sebuah laporan dari Home Office telah mendapati lebih 650,000 kes-kes keganasan rumahtangga telah dilaporkan pada tahun lepas di United Kingdom – ini menunjukkan peningkatan tiga kali ganda dari tahun sebelumnya.

Apa yang nyata adalah dengan memperolehi kesetaraan peranan, tanggungjawab dan hak dalam perkahwinan dan masyarakat, tidak bererti secara automatik wanita mendapat jaminan tentang kehormatan, anti-diskriminasi dan perlindungan sama seperti peranan, tanggungjawab dan hak-hak lelaki dan wanita yang berbeza dalam Islam akan melahirkan penindasan, ketidakhormatan dan bahaya terhadap wanita pada umumnya. Layanan terhadap wanita bergantung kepada pandangan dan nilai-nilai yang telah dipropagandakan oleh mana-mana masyarakat sama seperti kepentingan dan penghargaan terhadap wanita. Dalam masyarakat liberal sekular, malah terdapat satu jurang antara seruan kearah memberi penghormatan dan penghargaan yang setara terhadap wanita dengan konsep kebebasan yang membolehkan lelaki untuk berpandangan dan melayan wanita seperti mana yang diingininya.

Pandangan Islam.

“Kesetaraan gender” bukanlah satu konsep yang terkandung dalam Islam. Islam tidak membandingkan wanita dengan lelaki atau melihat apakah yang terbaik untuk wanita berlawanan dengan apakah yang terbaik untuk lelaki apabila menerangkan hak dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga ataupun bermasyarakat. Lebih tepat ia melihat kepada keperluan lelaki dan wanita sebagai manusia dan apakah yang terbaik untuk kehidupan keluarga dan komuniti keseluruhannya untuk mencapai kesejahteraan. Oleh itu, dalam beberapa bidang, hak-hak dan peraturan-peraturan adalah serupa, contohnya hak sebagai warganegara termasuk hak keadilan, hukuman yang serupa untuk jenayah yang serupa, hak untuk mengundi ketua negara dan suara berpolitik dalam masyarakat. Dalam beberapa bahagian, tanggungjawab adalah sama, contohnya solat, puasa, mengerjakan haji, membayar zakat, dan muhasabah pemerintah.

Walaubagaimanapun, dalam beberapa isu, hak dan peranan antara lelaki dan perempuan adalah berbeza, contohnya dalam proses penceraian, kod berpakaian, harta warisan, mahar yang diberi oleh pengantin lelaki kepada pengantin wanita dalam perkahwinan, poligami, memerlukan 2 orang saksi wanita untuk memberi saksi di mahkamah berbanding dengan hanya seorang bagi lelaki, hak penjagaan anak serta peranan dan hak dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.

Oleh itu, dalam sesetengah perkara, Allah Subhanahu wa Taala telah memberikan lelaki hak-hak tertentu yang tidak mungkin mampu dipikul oleh wanita dan dalam isu yang lain Dia Subhanahu wa Taala pula telah memberikan wanita hak-hak yang tidak mungkin mampu dipikul oleh lelaki. Islam tidak melihat perbezaan sebagai masalah atau diskriminasi kerana ia tidak melihat satu peranan atau hak dalam sesuatu perkara itu mengatasi yang lain. Contohnya, dalam kehidupan berkeluarga, Islam menerangkan bahawa tanggungjawab lelaki sebagai pencari nafkah manakala wanita sebagai pengurus dan ibu rumahtangga kepada anak-anak. Allah Subhanahu wa Taala berfirman,

“Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’aruf” [TMQ Al-Baqarah:233]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Setiap kamu adalah penjaga, dan setiapnya bertanggungjawab keatas setiap orang dibawah jagaannya. Seorang pemerintah adalah penjaga; seorang lelaki adalah penjaga keluarganya; seorang wanita adalah penjaga rumah suami dan anak-anaknya. Dan setiap dari kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab keatas jagaannya”. [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Satu peranan mengatasi peranan yang lain, akan tetapi kedua-duanya adalah penting untuk memastikan kelangsungan fungsi sebuah keluarga dan kemajuan masyarakat amnya. Bagi masyarakat Barat, sebarang perbezaan hak dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita dalam Islam sering ditakrifkan sebagai satu pengkhianatan kesetaraan dan oleh itu, ia serta merta dianggap tidak adil dan menindas tanpa meneliti apakah yang ingin dicapai oleh hukum-hakam Islam dalam kehidupan berkeluarga atau masyarakat. Contohnya, Islam telah menetapkan peranan penjaga dan pemimpin keluarga kepada lelaki, bukan kerana lebih tinggi kedudukannya tetapi untuk tujuan pengurusan kehidupan berkeluarga. Sesungguhnya, Mary Astell, salah seorang diantara feminis English yang awal, telah membuat kesimpulan bahawa seorang isteri mesti mematuhi suami, bukan atas dasar lebih tinggi kedudukannya tetapi untuk pengurusan kehidupan rumahtangga. Dari segi kewangan dalam Islam, wanita sepatutnya dibiayai oleh ahli keluarganya yang lelaki, komuniti serta negaranya. Oleh itu, walaupun seorang wanita itu dibenarkan untuk bekerja, tidak harus ada tekanan masyarakat dan kewangan keatasnya jika dia memilih untuk tidak berkompromi akan tugas utamanya sebagai seorang isteri dan ibu serta mengasuh pemikiran dan tingkah laku generasi akan datang. Kekayaan yang diperolehi oleh seorang wanita dari bekerja atau warisan boleh dibelanjakan sesuka hatinya tanpa mengambil kira keperluan kewangan keluarganya. Walau bagaimanapun, lelaki bertanggungjawab untuk membelanjakan pendapatannya dan sebarang warisan bukan sahaja untuk membiayai isteri dan anak-anaknya tetapi juga saudara wanitanya jika diperlukan. Sesungguhnya ia adalah satu hujah yang aneh dimana ia menyatakan tugas dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga tidak adil keatas wanita. Walhal, ini adalah satu keringanan baginya kerana bebanan kewangan untuk keluarganya tidak lagi terletak dibahunya. Ia juga satu pandangan yang tidak rasional keatas wanita, seolah–olah buta keatas ketidakadilan yang diletakkan di bahu “superwoman” yang bertungkus-lumus setiap hari untuk mengimbangi tanggungjawab ke atas keluarga dan mencari nafkah. Wallahu ‘alam bisshawab.


Nota: bahagian terakhir artikel ini akan bersambung pada keluaran akan datang.

Adakah Islam Menindas Wanita (Bhg 1)



“Ini adalah kenyataan: Lebih Islami sesebuah negara itu, lebih terkongkong wanitanya…” – Peter Hitchens – [Mail, Ahad].

“Hijab….dengan serta-merta menunjukkan satu sistem kepercayaan dimana wanita adalah lebih rendah mertabatnya dari lelaki dan ini tidak boleh ditoleransi di sini.” – Minette Marrin – [The Times]

“(Berkenaan pakaian Islam)…kepada saya, nilai yang cuba ditonjolkan dengan berpakaian begini adalah menjijikan dan mengaibkan. Saya mendapati bahawa berpakaian sebegini merupakan satu manifestosatu amalan tradisi lapuk…yang menindas dan menjadikan wanita mangsa, adakalanya sangat hina, zalim dan kejam.” – [Deborah Orr – The Independent]

Sejak berabad, jika tidak berzaman, “wanita Muslim” telah dijadikan “poster–girl” lambang penindasan wanita secara global. Ungkapan “syariah” apabila dikaitkan dengan perkataan “Wanita”, sering dilabelkan sebagai warga kelas kedua (second-class citizen), diskriminasi, tidak adil, ganas, lebih rendah martabatnya dari lelaki, dikuasai oleh kaum lelaki, tidak penting kepada masyarakat, dan hamba kepada lelaki. Walau bagaimanapun, fakta yang nyata adalah secara global wanita lebih banyak memeluk Islam dibandingkan dengan lelaki (di beberapa negara Barat, nisbahnya 4:1); malah apa yang nyata adalah pertambahan wanita yang memakai hijab dan jilbab, walaupun di Barat.

Malah, dalam tinjauan terhadap pendapat umum di dunia Islam dalam beberapa tahun kebelakangan ini menujukkan pertambahan bilangan wanita Islam berharap penerapan undang-undang syariah di negara mereka, setidak-tidaknya semua ini boleh mempersoalkan persepsi tentang layanan terhadap wanita dalam Islam. Oleh yang demikian, adakah Islam menindas wanita dan jika tidak, dari manakah persepsi mengenai layanan wanita itu timbul? Dalam penulisan ini, bahagian pertama dari dua bahagian artikel, kita akan mengkaji dua hujah yang dibawa oleh Barat sebagai bukti bahawa Islam menindas wanita:

(1) Ketidakadilan yangdihadapi oleh wanita di dunia Islam dan komuniti Islam diBarat; (2) Pembatasan Islam terhadap kebebasan berpakaian, hubungan dan cara hidup oleh wanita.


1)Ketidakadilan yang dihadapi oleh wanita di dunia Islam dan komuniti Islam di Barat:

Tidak disangkal lagi, realiti saat ini yang dihadapi oleh berjuta wanita Muslim di dunia Islam termasuk beratus di Britain ini adalah saturealiti yang menyakitkan – kahwin paksa; pembunuhan terhormat (honour killing), beribu wanita dimasukkan ke hospital setiap tahun kerana muka mereka disimbah dengan asid kerana membantah untuk dijodohkan atau bertelagah dalam perkahwinan dan pemberian mas kahwin. Islam sering dikenal pasti sebagai faktor utama kepada semua ketidak-adilan terhadap wanita, walaupun satu kajian ringkas mengenai peraturannya akan menunjukkan perbuatan –perbuatan tersebut adalah dibenci oleh agama.

Perkara–perkara ini adalah akibat dari adat resam suku kaum yang tidak Islami atau budaya tradisi yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat. Tambahan pula, amalan–amalan ini telah menyediakan tapak– tapak yang subur untuk berkembang-biak oleh regim–regim diktator di dunia Islam. Pemerintah–pemerintah ini telah menutup sebelah mata terhadap budaya tradisi yang kejam ini dengan membiarkan jenayah ini tanpa hukuman. Malahan, semua ini telah memulakan ketidak-adilan terhadap wanita yang mana mangsa rogol meringkuk di dalam penjara, wanita menghadapi kemiskinan tegar, tidak berpeluang dalam bidang pendidikan, kesihatan, pekerjaaan dan hak berpolitik.

Sebahagian dari negeri- negeri ini telah dikaitkan dengan Islam, tetapi, jika diteliti secara dekat pada struktur pemerintahan, undang-undang dan perlembagaan mereka, telah memperlihatkan pemerintahan beraja, sistem kesukuan, pemerintahan diktator sekular atau republik – struktur yang telah meletakkan kedaulatan undang-undang itu ditangan–tangan manusia dan oleh itu pasti akan bercanggah dengan sistem pemerintahan Islam, Khilafah yang meletakkan kedaulatan undang – undang ditangan Sang Pencipta dimana peraturan dan hukumhakamnya berasal dari nas-nas Syarak. Jika dibandingkan, hak wanita dalam Islam adalah jelas: hak untuk belajar, bekerja, mengundi, berpolitik, mempunyai pilihan dalam perkahwinan dan hak untuk bercerai, hak sebagai warganegara setara dengan lelaki dalam masyarakat dan yang paling penting adalah hak kehidupan dan maruahnya mesti dihormati dan dilindungi.

Walau bagaimanapun, tidak seperti masyarakat Barat dimana wanita sering berlawan dengan sistem untuk mendapatkan hak-hak mereka, sejarah Islam telah menjelaskan bahawa hak-hak wanita diberi kepada mereka berlandaskan kepada hukumhakam Islam iaitu Sistem Khilafah. Apabila sistem ini menjadi lemah dan dihapuskan pada tahun 1924, hak-hak wanita tidak lagi mendapat jaminan dan wanita Islam tidak mendapat keadilan dalam aspek budaya kesukuan, menjadi mangsa regim autokratik serta tafsiran dan penerapan hukum-hakam Islam yang salah.

(2) Batasan Islam tentang kebebasan memilih bagi wanita:

Diantara hujah-hujah yang dibawa oleh Barat tentang Syariah hukum Islam yang didakwa sebagai menindas wanita adalah mengenai hukum-hakam yang membatasi wanita, tidak menjamin kebebasan peribadi dan seksual mereka, serta menafikan pilihan mereka tentang cara berpakaian, pemisahan dan larangan bersosial diantara lawan jenis, dan hukuman berat bagi zina atau persetubuhan haram. Masalah pokok disini adalah ‘method’ atau kaedah pembelajaran tentang Islam. Sesetengahnya telah mengkaji hukum-hukum Syarak secara berasingan dari sistem Islam yang komprehensif untuk masyarakat. Sebahagian lain telah mentafsir nilai-nilai dan hukum-hakam Islam berlatarbelakangkan standard, nilai dan peraturan Sekular-Barat. Sebarang perbezaan sentiasa dilabelkan sebagai penindasan tanpa mengkaji dan membandingkan keseluruhan kesan nilai-nilai dan
peraturan–peraturan tersebut keatas masyarakat. Berdasarkan kepada sejarah, terdapat satu keutamaan mempelajari Islam melalui kaca mata “Euro–centric”.

Di dalam perbahasan berkenaan Islam dan wanita, terdapat petikan kata-kata dari seorang penjajah: Lord Cromer, Konsul Jeneral British di Mesir di abad ke 19, pernah menulis, “Orang-orang Mesir seharusnya dipujuk atau dipaksa untuk menerima peradaban Barat yang sebenar” dan untuk mencapainya, adalah amat penting untuk menukar posisi wanita didalam Islam, kerana Islam sendiri merendahkan martabat wanita dengan bertudung dan memisahkan lelaki dan perempuan yang menjadi halangan utama bagi orang-orang Mesir untuk pencapaian yang tinggi dalam pemikiran dan peribadi yang sepatutnya mengiring peradaban Barat”.

Walau bagaimanapun, nilai-nilai liberal ini mempunyai masalah-masalah tersendiri. Contohnya, mereka diberi lesen untuk mengeksploitasikan tubuh wanita melalui industri pornografi, iklan dan hiburan. Apabila martabat wanita direndahkan, perbuatan seperti gangguan seksual, penderaan dan rogol mungkin kurang dibenci oleh sebahagian lelaki seperti yang terbukti dari peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat Barat. Menurut Kajian Jenayah British 2007, 230 wanita telah dirogol setiap hari di UK. Menurut Kajian Jenayah British 2004, satu diantara empat wanita di UK pernah mengalami beberapa gangguan seksual semenjak berumur 16 tahun. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat juga pernah melaporkan data mengenai serangan seksual di Amerika Syarikat, menunjukkan setiap 2 minit, seorang wanita akan mengalami serangan seksual. Di dalam masyarakat seperti ini, ujudkah pilihan untuk tidak merasa takut atas sebarang gangguan dan bahaya untuk berpergian, bekerja dan belajar?

Bahkan, kebebasan seksual telah melahirkan satu budaya perlakuan hubungan jenis secara rambang, malah peningkatan kadar kehamilan remaja, penguguran, penyakit jangkitan seksual atau sexuallytransmitted disease (STD) dan penzinaan, mengakibatkan runtuhnya institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Menurut satu kumpulan penasihat kerajaan tentang kesihatan seksual, terdapat 63% peningkatan STD sepanjang abad lalu. Ditambah pula, jika masyarakat memupuk sikap hak atau kebebasan peribadi melebihi segala yang lain, dia mesti memahami konsekuensinya – ‘pilihan’ oleh seorang lelaki untuk menjadi bapa kepada anak-anak yang berlainan ibu dan tidak bertanggungjawab dari segi fizikal dan mental keatas anak dan ibu;
‘pilihan’ oleh ibubapa untuk mengabaikan anak-anak mereka untuk mengejar impian sendiri; ‘pilihan’ seseorang individu itu untuk mengabaikan orang tua atau saudaranya kerana terlalu fokus dalam keinginan-keinginan mereka dalam hidup.

Islam tidak mempercayai kebebasan individu tetapi bertujuan untuk melindungi nilai-nilai di dalam masyarakat – nilai-nilai seperti kesucian, maruah dan kehormatan lelaki dan wanita, perkahwinan yang kukuh, kekuatan kekeluargaan dimana setiap anak dilahirkan didalam ikatan perkahwinan, mengetahui ibu dan bapa mereka, dan mengetahui tanggungjawab kewangan, fizikal dan kebajikan mental. Ia juga mempercayai kerjasama diantara lelaki dan perempuan didalam masyarakat disegi pendidikan, ekonomi, politik dan kehidupan sosial amnya. Ia tidak melihat apakah yang boleh memaksimakan keseronokan individu dalam masyarakat tetapi, apakah yang terbaik untuk kehormonian, keselamatan dan kehormatan untuk masyarakat keseluruhannya.

Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Perumpamaan orang-orang yang menjaga hukumhukum Allah (hudud) dan orang-orang yang meninggalkannya adalah umpama orang-orang yang berkongsi satu bahtera. Sebahagian akan duduk di tingkat atas dan sebahagian lagi di tingkat bawah. Orang–orang yang duduk ditingkat bawah perlu naik ketingkat atas jika memerlukan air. Jika mereka berkata, kenapa tidak dibuatkan lubang di tingkat kita supaya mudah mendapat air dan tidak perlu menyusahkan mereka yang ditingkat atas. Jika mereka yang di tingkat atas membiarkan perkara ini berlaku, kesemua penumpang kapal akan tenggelam. Tetapi, jika mereka dilarang melakukannya, maka kesemua mereka pasti akan terselamat.”

Islam yakin bahawa kebebasan seksual dan keseksualan masyarakat boleh melahirkan satu budaya hubungan seks secara rambang dan perzinaan yang akan membahayakan nilai-nilai yang ingin dilindungi dalam masyarakat. Oleh yang demikan, Islam telah menetapkan pelbagai undang-undang, hukumhakam dan batasan untuk mengatur hubungan diantara lelaki dan perempuan dalam masyarakat, berusaha dan memastikan bahawa keinginan dan hubungan seksual adalah terbatas iaitu hanya dengan wujudnya ikatan perkahwinan dan dijauhkan dari kehidupan umum.

Hukum tentang berpakaian (khimar dan jilbab), larangan bersosial diantara berlainan jantina, larangan lelaki dan perempuan berdua-duaan di tempat yang sunyi dan hukuman
yang berat bagi zina, dan fitnah adalah diantara hukum dan peraturannya. Islam tidak
mempercayai idea bahawa seseorang wanita itu boleh dipandang menurut “kebebasan” atau ‘pilihan” oleh lelaki tetapi, mewajibkan masyarakat untuk memuliakannya dan menghormati pandanganya.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda,
“Dunia dan seluruh benda didalamnya adalah berharga tetapi yang paling berharga didalam dunia ini adalah seorang wanita yang suci.” Menggunakan tubuh wanita untuk menjual sebarang produk atau servis adalah diharamkan. Matlamatnya ialah untuk melahirkan satu masyarakat yang mana wanita boleh berinteraksi dengan lelaki dan
mempunyai kehidupan umum yang aktif tetapi juga selamat serta saling menghormati.

Di dalam Bahagian 2 (di keluaran yang akan datang), kita akan mengkaji hujah yang menyatakan Islam mendiskriminasikan wanita serta ketidak-samarataan gender akibat perbezaan hak, tanggungjawab dan hukum-hakam untuk lelaki dan perempuan dalam beberapa isu seperti peranan dan hak dalam perkahwinan dan hidup berkeluarga, hukum perceraian, hukum harta pusaka, hukum berpakaian, poligami dan larangan perempuan menjadi ketua sebuah negara.

Islam Memerdekakan Wanita



Bulan kemerdekaan muncul lagi. Bulan yang membawa seribu satu makna dalam kalendar sejarah tanahair. Kemunculannya dinantikan, ketibaannya disambut penuh kemeriahan. Kehadirannya dihayati dengan penuh semangat patriotisme dan kecintaan yang padu kepada tanahair. Sesetengah golongan alim ulamak yang menyokong semangat patriotisme ini menjustifikasikan hujah mereka berdasarkan sebuah hadis palsu iaitu “hubbul wathan minal iman” yang bermakna mencintai tanah air sebahagian dari iman. Di bulan ini juga pelbagai kempen dijalankan untuk menyemarakkan lagi suasana. Antara suatu kemestian yang lazim dan ‘wajib’ ialah mengibarkan jalur gemilang, lambang kemegahan negara. Pelbagai persoalan bermain di minda rakyat jelata. Selain persoalan tentang hukum merayakan kedatangan bulan kemerdekaan dengan rutin tahunan yang sudah sedia ada termasuk peruntukan wang hangus untuk acara pertunjukan bunga api, adakah acara itu akan terus diadakan juga pada tahun ini? Ironinya, di saat seluruh rakyat diminta berjimat cermat akibat kenaikan harga barang dan minyak, pemerintah yang bermazhab Islam Hadhari terus istiqamah dengan aktiviti yang membuatkan rakyat jelata ‘naik minyak’.

Hakikatnya bukanlah bulan kemerdekaan itu yang perlu dihayati sebaliknya apa yang lebih penting ialah satu persoalan yang perlu ditanya kepada setiap individu khususnya Muslimah iaitu adakah Muslimah hari ni benar-benar merdeka jika dilihat dari sudut pandangan Islam?

Kejatuhan Daulah Islamiyyah setelah dimakamkan secara rasminya pada tanggal 28hb Rejab 1342H oleh Mustafa Kamal Attarturk laknatullah alaihi telah menyebabkan pemikiran Islam sebahagian penganutnya yang sebelumnya lemah punah berderai. Natijah yang memilukan ini yang bermula seawal abad ke 16 Masehi dengan usaha golongan Missionaries menyuntik benih-benih pemikiran Kufur ke dalam minda umat Islam. Idea feminisme yang sebenarnya lahir hasil dari kebencian pada pemikiran Barat yang cenderung pada male chauvinism atau penguasaan kaum lelaki ke atas wanita yang kononnya dianggap ‘ubat’ atau ‘penawar’ rupa-rupanya telah menjadi virus yang menjerat diri kaum wanita. Seluruh dunia seolah-olah mengiktiraf bahawa wanita adalah spesis yang tidak pernah mendapat hak dan menikmati kebebasan sebagaimana kaum lelaki. Buktinya, kewujudan suatu konvensyen di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (‘PBB’) iaitu Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (Konvension tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi keatas Wanita) yang diadopsi oleh PBB pada tahun 1979 seringkali dianggap sebagai dokumen undang-undang antarabangsa berkenaan dengan hak asasi wanita [www.un.org/womenwatch]. Menerima-pakai konvensyen ini bermakna setiap negara yang menganggotai PBB akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menghentikan diskriminasi ke atas wanita dalam pelbagai aspek termasuk:-

i) Sistem perundangan yang mengandungi prinsip persamaan lelaki dan wanita, menghapuskan undang-undang yang mendiskriminasikan kaum wanita dan mengguna-pakai undang-undang yang menghapuskan diskriminasi pada golongan ini.

ii) Mengadakan tribunal dan institusi awam untuk memastikan perlindungan pada wanita dari didiskriminasi dan

iii) Memastikan penghapusan semua bentuk diskriminasi pada wanita oleh individu, organisasi dan syarikat.

Konvensyen ini menyediakan teras untuk merealisasikan persamaan hak atas lelaki dan wanita dengan memberi mereka akses dan peluang yang sama dalam bidang politik dan kehidupan umum termasuk hak untuk mengundi dan menjadi calon pilihanraya dalam sistem demokrasi, bidang pendidikan, kesihatan dan bidang pekerjaan. Negara-negara anggota juga bersetuju mengadopsi langkah-langkah yang sewajarnya termasuk aspek perundangan dan mengambil tindakan jangka pendek supaya wanita dapat menikmati hak asasi dan kebebasan umum.


Akibat dari mengambil jalan penyelesaian dari perspektif PBB yang berideologikan Kufur-Barat telah menyebabkan kaum wanita termasuk wanita Islam terjebak dalam kehidupan yang jauh dari kemerdekaan dan kebebasan yang mereka kejar dan perjuangkan. Ruang yang diberikan untuk terlibat dalam politik telah dimanfaatkan oleh wanita Islam bukan untuk memahami politik (siyasah) dari perspektif Islam iaitu pengaturan urusan umat di dalam dan di luar negara Daulah, sebaliknya menceburi bidang politik menyebabkan wanita Islam terlibat dalam maksiat (sebarang bentuk pelanggaran hukum) bilamana sebahagian mereka yang dianggap ‘heroin’ dan ‘serikandi’ kerana memenangi pilihanraya telah terlibat dalam membuat undang-undang sama ada di peringkat dewan undangan negeri (‘DUN”) atau di Parlimen sedangkan menggubal undang-undang itu adalah hak prerogatif Allah Subhanahu wa Taala selaku As-Syarik (Sang Pembuat Hukum). Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah [Surah Al-An’am (6 ):57].

Dalam bidang pekerjaan pula, demi merealisasikan sebuah impian bahawa kemerdekaan dan kebebasan dapat dikecapi oleh kaum wanita dengan terlibat dalam semua bidang pekerjaan yang lazimnya didominasi kaum lelaki, akibatnya kaum wanita menceburi bidang baru untuk menempatkan diri setaraf dengan kaum lelaki. Semua ini menyumbang pada runtuhnya institusi keluarga apabila sebahagian umat Islam berpendapat bahawa bekerja bagi kaum wanita adalah wajib iaitu sama seperti kaum lelaki. Hakikatnya, bekerja bagi kaum wanita secara umumnya adalah mubah (harus) selagi diizinkan wali atau suaminya dan tiada sebarang pelanggaran hukum dalam pekerjaannya.

Sistem Sekuler-Kapitalis yang bermaharajalela di persada pemerintahan negara yang telah melahirkan penguasa-penguasa yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan setiap warga negara sama ada Muslim atau bukan Muslim terpenuh keperluan asasi mereka telah memburukkan keadaan. Fakta ini, ditambah dengan kurang pemahaman tentang peranan utama wanita selaku ibu (ummu) dan pengatur rumahtangga (rabbatul bayt) telah menyebabkan berlaku insiden sumbang mahram dan terjebaknya anak-anak remaja dalam gejala seks luar-nikah hingga lahir anak-

anak haram serta pembuangan bayi hingga menjadi sebuah episod ngeri yang tidak bernoktah.

Selain dari itu, wanita Islam juga telah menjadi hamba pada dunia apabila melihat dan berpandangan bahawa kejayaan wanita diukur dari status perkahwinannya termasuk kebolehan mereka menarik perhatian lawan jenis. Sebahagian wanita Asia yang berkulit gelap dan sawo matang menggunakan pelbagai jenis krim pemutih kerana beranggapan bahawa cantik bermakna ‘memiliki kulit yang putih dan gebu’. Selain itu, sindrom 3G iaitu hasil kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menunjukkan hampir 20 peratus penduduk dewasa dan 21 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami masalah 3G ini turut memberi impak negatif kepada kaum wanita hingga sebahagian mereka berpendapat ‘if you’re thin you’re happy’ (jika anda kurus, anda bahagia). Persepsi negatif pada golongan 3G ini adalah selari dengan satu penemuan orang Barat iaitu kesan jangka masa panjang pula ialah mereka (golongan 3G) menerima layanan yang kurang adil di tempat kerja dan kadar perkahwinan yang rendah [Puhl & Brownell, 2003]. Akibatnya wanita menjadi hamba pada produk pil dan program pelangsingan hingga ada yang menjadi mangsa terlebih dos yang membawa kematian, bukan terfokus pada tingginya risiko penyakit pada golongan 3G ini. Sebaliknya mereka melakukan semua aktiviti ‘kecantikan melalui penderitaan’ demi untuk ‘diterima’ masyarakat. Menurut kajian Strauss dan Pollack (2003), kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan berlebihan sering menerima stigma oleh rakan-rakan sebaya mereka. Menerima ejekan dan panggilan nama serta mengalami pengasingan sosial, tidak diterima oleh rakan-rakan adalah antara kesan-kesan yang boleh diterima oleh pelajar-pelajar sekolah yang menghadapi masalah kegemukan berlebihan [Strauss & Pollack, 2003]. Realiti ini menyebabkan kaum wanita seawal usia kanak-kanak telah memasang impian bahawa mereka mesti berusaha memiliki tubuh seperti patung Barbie sedangkan pada hakikatnya, jika seorang wanita memiliki ‘vital statistic’ seperti pasangan Ken ini, pinggang mereka akan patah kerana saiz payu dara yang terlalu besar tidak dapat ditampung oleh pinggul yang kecil.



Semua ini seolah-olah telah terprogram dalam minda bahawa mereka mesti mencari jawapan akan persoalan yang dikemukakan oleh ibu tiri Snow White pada cermin ajaib iaitu ‘mirror mirror on the wall.. who’s the fairest of them all?’ (wahai cermin di dinding, siapakan yang paling cantik dari semua wanita?’. Hakikatnya, wanita Kaukasia (Caucasian) yang umumnya berkulit putih berusaha keras untuk memiliki kulit gelap atau ‘tan’ yang membuktikan bahawa manusia sama ada lelaki atau wanita, amat susah untuk merasa puas dan redha dengan apa yang mereka miliki, apabila pemikiran dan perasaan mereka dirasuk pemikiran Kufur-Barat yang sangat mementingkan penampilan fizikal.

Sebahagian umat Islam khususnya kaum wanita seperti Muslim Women League (Liga Wanita Muslim) yang berpangkalan di Los Angeles, California melalui laman web http://www.mwlusa.org/topics/equality/issues.htm memahami bahawa Islam mampu memerdekakan wanita dengan syarat persoalan-persoalan seperti di bawah hendaklah dirungkaikan terlebih dahulu:

i) Undang-undang keluarga Islam (munakahad) yang berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian hendaklah menguatkuasakan hak suami atas isteri dan lelaki atas wanita (atas kapasiti selaku wali) yang mana penguatkuasaan ini akan dapat menghalang wanita dari bertindak menurut hawa nafsu mereka sahaja.

ii) Keganasan ke atas wanita yang berlaku di rumah, dalam masyarakat dan kesan peperangan yang dibolehkan oleh sesetengah pihak, sedangkan pada hakikatnya tidak.

iii) Penyalah-gunaan hukum-hakam Islam yang memberi kesan negatif kepada kaum wanita seperti poligami dan perkahwinan secara muta’ah yang dilaksanakan tanpa kawalan.

iv) Mengecualikan wanita dari aktiviti keagamaan seperti mengimarahkan masjid yang telah diiktiraf sebagai salah satu hak wanita.

v) Kegagalan mempromosikan sumbangan wanita kepada masyarakat lebih dari sekadar melahirkan anak.

vi) Kegagalan untuk memberi peluang kepada wanita mendapat hak harta dan pewarisan sepertimana yang digariskan oleh hukum syarak.

vii) Fokus masyarakat pada perilaku wanita yang dianggap sebagai penanda aras (benchmark) status akhlak dan moral dalam masyarakat sehingga wanita menjadi mangsa gangguan (harrassment), intimidasi dan diskriminasi.

viii)Kurangnya kesedaran tentang peranan lelaki untuk menyumbang dan berperanan dalam melayarkan bahtera rumahtangga seperti membesar dan mendidik anak-anak sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam.

Walau apa jua saranan dan penyelesaian untuk memerdekakan wanita, Islam selaku rahmatan lil alamin tidak akan dapat menyelesaikan kemelut ini sekiranya keujudannya tidak secara menyeluruh (kaffah) dan pelaksanaan secara bersepadu. Pada hari ini, hukum-hakam Islam masih terpisah dan tercerai (fragmented) dan hanya terfokus pada ibadah khusus, sebahagian hukum-hakam kekeluargaan (munakahad) dan fara’id. Maka, sekadar mengubati gejala (sign & symptom) sahaja dan melaksanakan aktiviti islahiyyah (penambah-baikan) sebelum isu pokok iaitu keujudan Islam dalam bentuk Negara (Daulah) yang akan melaksanakan Islam secara kaffah tidak akan mampu mengubati duka-nestapa yang menyebabkan wanita terpenjara dan menjadi hamba pada sistem Kufur.

Sebuah Negara (Daulah) yang menerapkan Islam Kaffah sebagaimana perintah-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 iaitu “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya” tidak sekadar melaksanakan hukum-hakam Islam sahaja. Sebaliknya Negara yang pernah memayungi 2/3 dunia ini akan memerdekakan minda wanita dan menjernihkan pemikiran mereka agar bebas dari virus Sekuler-Kapitalis yang selama ini menjadikan mereka hamba melalui sistem pendidikan Islam. Natijahnya, wanita Islam masih boleh melakukan sebarang aktiviti dan tindakan dalam rangka untuk memenuhi keperluan jasmani (hajat al-udhuwiyyah) dan naluri-naluri (al-ghara’iz) mereka seperti bekerja untuk mengukuhkan ekonomi rumahtangga dan menyumbang tenaga dan kepakaran kepada masyarakat, semua ini dilakukan dalam ruang-lingkup yang dibenarkan syarak.

Negara yang memenuhi keperluan asas setiap warganegara akan turut memerdekakan wanita kerana mereka tidak lagi dihambat oleh keinginan pada duniawi semata-mata hingga menjejaskan tanggungjawab dan fungsi asas selaku ibu dan pengatur rumahtangga itu tadi. Apa yang paling penting sekali, negara yang bakal menerapkan sistem pendidikan Islam wanita akan melahirkan wanita-wanita solehah yang akan memahami bahawasanya cantik dan bahagia bukanlah untuk mendapat pengiktirafan dan dipandang tinggi oleh manusia, sebaliknya apa jua yang mereka inginkan, selama mana tidak menjejaskan tanggungjawab asas mereka seiring dengan tanggungjawab selaku pengemban dakwah yang juga satu kewajipan yang terbeban di bahu mereka, selagi tiada pelanggaran hukum dalam rangka untuk merealisasikannya, akan memberi mereka ketenangan, pahala dan balasan syurga di akhirat kelak.

Wahai Muslimah yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengembeling usaha dan tenaga untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan sehingga agama yang mulia ini akan wujud dalam bentuk negara iaitu Daulah Islamiyyah yang akan membebaskan seluruh umat manusia dari keburukan sistem buatan manusia iaitu ideologi Sekuler-Kapitalis.

Hai Nabi sesungguhnya kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada Agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi. [Surah Al-Ahzab (33) :46].

Dan mengutus seorang Rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan [bermacam-macam hukum] supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh dari kegelapan kepada cahaya [Surah Al-Talaq (65):11]
Wallahu alam bisshawab.